Apabila Pendidikan Disempitkan Menjadi Persekolahan

Kadang-kadang kita perlu berhenti sekejap dan bertanya pada diri sendiri, apa sebenarnya yang kita cari dalam pendidikan. Setiap kali sistem pendidikan kelihatan tidak kemas, tidak sekata, atau tidak seperti yang kita harapkan, jawapan paling mudah selalunya sama, iaitu bawa balik peperiksaan. Seolah-olah selagi ada peperiksaan besar, semuanya akan kembali teratur.

Aneh, tetapi itulah refleks kita. Persoalannya, benarkah begitu?

Sejak Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) diperkenalkan, pelbagai cerita kita dengar. Ada guru yang keliru, ada yang letih, ada ibu bapa yang tidak faham, dan ada pentadbir yang tertekan dengan dokumentasi. Semua ini benar. Tidak perlu dinafikan. Tetapi dalam kita sibuk melihat kekusutan ini, kita mungkin terlepas pandang sesuatu yang jauh lebih besar.

Di sebalik segala kekurangan dan ketidakteraturan, PBD sebenarnya telah membuka ruang yang sangat luas kepada kanak-kanak untuk mengalami pembelajaran yang sebenar. Buat pertama kali, murid tidak ditentukan sepenuhnya oleh satu kertas soalan. Mereka diberi peluang untuk mencuba, gagal, bangun semula, dan menunjukkan kebolehan dengan cara mereka sendiri. Bakat yang selama ini tersembunyi di balik gred mula kelihatan. Pembelajaran kembali hidup, walaupun belum sempurna. Jauh dari sempurna.

Sering kita lupa, pendidikan memang tidak pernah kemas. Ia proses kemanusiaan, bukan mesin atau robot yang diprogramkan. Yang caca-marba itu bukan niatnya, tetapi cara kita mengurus dan menyokongnya. Maka soalannya bukan sama ada PBD itu sempurna atau tidak, tetapi sama ada kita cukup sabar untuk mematangkannya. Dalam tempoh ketiadaan UPSR dan PT3, ramai menjangka sistem pendidikan akan runtuh. Pencapaian SPM kononnya akan merosot. Murid dikatakan tidak belajar.

Hakikatnya tidak berlaku begitu. Sekolah terus berjalan, murid terus belajar, dan apabila mereka sampai ke usia lebih matang dan menduduki SPM, ramai sebenarnya lebih bersedia, malah dalam banyak keadaan, lebih bersedia daripada kohort sebelumnya. Ini memberi isyarat jelas bahawa tekanan peperiksaan high-stakes di usia awal bukan prasyarat kejayaan. Pendidikan bukan pecut 100 meter. Ia maraton panjang yang memerlukan masa, ruang dan kepercayaan.

Apabila cadangan mengembalikan UPSR dan PT3 dalam kerangka peperiksaan high-stakes dibangkitkan, saya tidak melihatnya sebagai langkah ke hadapan. Ia lebih kepada langkah selesa, langkah yang memberi rasa kawalan, tetapi mengorbankan makna. Kita mungkin memperoleh semula angka dan peratus, tetapi kita juga akan menghidupkan semula budaya mengajar untuk lulus dan belajar untuk menjawab.

Di sinilah pendidikan sekali lagi disempitkan menjadi persekolahan semata-mata. Bayangkan jika tenaga dan sumber itu digunakan untuk memperkasakan guru, dari latihan yang bermakna, kefahaman yang seragam, beban dokumentasi yang munasabah, dan kepercayaan terhadap pertimbangan profesional pendidik. Jika dalam keadaan serba caca-marba pun kemenjadian murid boleh berlaku, bayangkan jika PBD benar-benar diperkasakan.

Akhirnya, persoalan ini kembali kepada asas. Kita mahu pendidikan yang membina manusia, atau sistem yang kelihatan kemas di atas kertas? Pendidikan yang sebenar meletakkan jiwa dan hati di pusatnya, di situlah bertakhta kesedaran, akhlak, dan kemuliaan insan.

Lima tahun kebelakangan ini, sejak pandemik COVID-19, kita sebenarnya telah melihat tanda-tandanya. Tanpa peperiksaan high-stakes, sahsiah dan bakat murid berkembang lebih jelas, penglibatan kurikulum dan kokurikulum melonjak sehingga ke peringkat antarabangsa, dan sekolah kembali menjadi ruang yang hidup. Namun begitulah kita. Tidak sabar menunggu proses, lalu kembali kepada alat lama, walaupun tanda kejayaan sudah pun ada di depan mata.

Pada saya, kohort inilah yang paling bertuah dalam sejarah pendidikan negara, jika kita cukup berani untuk mempercayai mereka. Pesan saya, ‘trust the process’, & pesan Saidina Ali r.a, “ajarlah anak-anak kamu untuk zaman yang bukan zaman kamu, anak adalah milik zamannya, maka didiklah anak-anak dengan zamannya.”

Maka, apabila pendidikan disempitkan kepada peperiksaan, ia akhirnya menjadi sekadar persekolahan. Sekolah akan terus berubah menjadi ruang mengejar silibus dan keputusan, bukan tempat membina manusia. Sistem mungkin kelihatan kemas, tetapi dalam kekemasan itu, makna pendidikan semakin terhakis. Usahlah bercakap tentang autonomi guru yang juga akan terganggu. Ini harga yang kita bayar untuk pendidikan yang berorientasikan peperiksaan.

Jika kita benar-benar percaya pendidikan ialah proses memanusiakan manusia, maka kita harus berani menolak penyempitan makna itu.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top