Surah al-Tawbah ayat 38 hingga 42 turun dalam suasana yang bukan biasa-biasa. Perang Tabuk. Cuaca panas membakar. Perjalanan jauh. Ekonomi tidak stabil. Hasil tanaman sedang masak. Secara logiknya, memang waktu itu orang mahu berehat dan menjaga kepentingan sendiri. Tetapi di situlah datang teguran Allah, mengapa apabila diseru keluar di jalan-Nya, kamu terasa berat dan melekat ke bumi? Teguran ini bukan semata-mata soal perang. Ia soal hati yang terlalu selesa. Soal jiwa yang lebih cinta kesenangan daripada tanggungjawab.
Allah menegur sikap berat itu. Berat bukan kerana tidak mampu, tetapi kerana terlalu selesa. Kita ini pun sama. Suka berada dalam zon selesa. Suka jadi pemerhati. Suka beri komentar. Tetapi bila tiba masa untuk berdiri mempertahankan kebenaran, kita mula berkira. Allah bertanya, adakah kamu reda dengan dunia menggantikan akhirat? Dalam Ramadan, soalan ini menikam. Kita sanggup tahan lapar. Tetapi adakah kita sanggup tahan diri daripada menyokong kebatilan? Kita rajin bertarawih. Tetapi adakah kita berani bersuara apabila fitnah dan kebencian disebarkan di depan mata?
Ayat 39 lebih keras. Jika kamu tidak keluar, Allah akan gantikan kamu dengan kaum lain. Jelas. Perjuangan ini tidak menunggu sesiapa. Jangan rasa kita terlalu penting. Jika kita enggan memikul amanah, Allah akan pilih orang lain. Ini bukan soal populariti atau kedudukan. Ini soal tanggungjawab. Ramadan melatih disiplin. Tetapi disiplin ibadah tanpa keberanian mempertahankan nilai hanyalah latihan separuh jalan. Kita tidak boleh jadi ‘terpaling’ beribadah, tetapi culas bila berdepan isu kebenaran dan keadilan. Ini tajam.
Ayat 40 membawa kita ke Gua Thur. Nabi SAW dan Abu Bakr dalam keadaan terancam. Musuh hampir tiba. Namun Nabi berkata, “Jangan bersedih, Allah bersama kita.” Inilah jiwa pejuang. Bukan tidak takut, tetapi tidak tunduk kepada ketakutan. Dalam dunia pendidikan hari ini, mempertahankan kebenaran memerlukan keberanian moral. Kita bercakap dengan data dan fakta, bukan emosi dan sentimen. Kita berbeza pandangan tanpa menjatuhkan maruah. Jiwa pejuang itu tegas pada prinsip, tetapi adil dalam menilai.
Ayat 41 menyeru agar keluar sama ada ringan atau berat. Maksudnya komitmen tidak bergantung kepada mood. Ada orang memang kuat, sesuai di barisan hadapan. Ada yang ada kekangan sebenar. Islam mengiktiraf keupayaan yang berbeza. Tetapi ayat 42 menegur mereka yang mencari alasan. Jika ada keuntungan, mereka muncul. Jika ada risiko, mereka hilang. Lebih parah, ada yang bukan sekadar tidak menyokong, tetapi menyokong pula suara yang memfitnah dan merosakkan. Ini yang berbahaya. Ya, sangat bahaya…
Di sinilah pentingnya khusnuzon. Kita tidak boleh mudah melabel. Ada yang benar-benar uzur. Ada yang benar-benar tersepit. Tetapi kita juga tidak boleh terlalu naif sehingga membenarkan alasan yang direka. Ramadan mendidik kejujuran dalaman. Puasa itu rahsia antara kita dengan Allah. Tiada siapa tahu kecuali Dia. Integriti inilah yang perlu dibawa dalam perjuangan sosial dan pendidikan. Jelas pada matlamat, jujur pada niat.
Ramadan tidak sepatutnya melahirkan mukmin yang hanya kuat di masjid tetapi lemah di medan kehidupan. Dan tidak juga wajar kita kelihatan berani di pentas wacana, tetapi sunyi daripada kepedulian terhadap umat dan kemanusiaan. Jiwa pejuang ialah jiwa yang seimbang. Disiplin dalam ibadah, sabar dalam tekanan, berani menyatakan kebenaran, dan beradab dalam perbezaan. Bukan emosi melulu. Bukan ‘terpaling’ pejuang tanpa akhlak.
Dalam pendidikan, ini bermaksud mempertahankan dasar yang adil walaupun tidak popular. Menolak manipulasi data walaupun ditekan. Membina generasi yang berfikir, bukan generasi yang hanya mengikut. Kita mesti berani bersuara, tetapi bersuara dengan ilmu dan hujah. Teguran al-Tawbah mengingatkan bahawa musuh perjuangan bukan semata-mata ancaman luar, tetapi rasa selesa yang melumpuhkan dalaman.
Ramadan ialah madrasah pembinaan watak pejuang. Sebulan kita dilatih menundukkan nafsu, menyusun disiplin, membersihkan niat. Soalnya, selepas Ramadan, adakah kita kembali kepada zon selesa, atau bangkit membawa disiplin itu ke medan kehidupan? Jika Ramadan benar-benar mendidik, kita akan menjadi lebih berani, lebih jujur dan lebih tegas mempertahankan prinsip kebenaran. Itulah jiwa pejuang yang dikehendaki oleh ayat-ayat ini.
DR





