Ada keputusan pentadbiran yang tidak pernah diangkat sebagai dasar besar negara. Ia tidak memerlukan pindaan akta, tidak mengubah kurikulum, dan tidak menentukan hala tuju peperiksaan. Namun keputusan-keputusan beginilah yang diam-diam menyentuh kehidupan seharian rakyat, dari dapur rumah, ke almari pakaian, hingga ke cara ibu bapa mengurus belanja persekolahan anak-anak. Penyelarasan pakaian seragam sekolah ialah salah satu contoh keputusan ekosistem pendidikan yang kecil pada rupa, tetapi besar pada kesannya.
Bila diumumkan bahawa pakaian seragam sekolah akan diselaraskan mulai 2027, tiada lagi pelbagai warna ikut sekolah, saya fikir, reaksi awam akan bercampur-campur. Ada yang kata, “Ini isu kecil.” seperti parti politik MCA, ada juga yang sinis, “Tak ada benda lain ke nak reform?” seperti kata sesetengah netizen…
Di sinilah kita perlu berhenti seketika dan bertanya soalan yang betul. Bukan apa yang diubah, tetapi kenapa ia diubah.
Dalam kerangka nilai MADANI, reformasi bukan semestinya tentang perubahan yang dramatik, grand, besar-besaran, atau melanggar arus. Kadang-kadang, ia tentang membaiki perkara asas yang selama ini kita anggap biasa, walhal sebenarnya membebankan. Seragam sekolah ialah contoh paling jelas bagaimana dasar kecil boleh memberi kesan besar dalam ekosistem pendidikan.
Serius, mari kita jujur. Tahukah kita, dalam realiti persekolahan hari ini, ada sekolah yang mempunyai sehingga lima atau tujuh jenis pakaian berbeza, daripada baju harian, baju sukan, Pendidikan Jasmani, badan beruniform, persatuan, blazer, vest, baju Melayu, jubah, batik, malah pakaian korporat. Untuk keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, ini bukan isu remeh. Ini isu kos sara hidup. Ini isu keadilan sosial.
Apabila pakaian sekolah terlalu berwarna-warni dan berlapis-lapis, ia secara senyap menghantar mesej kepada anak-anak bahawa perbezaan itu normal untuk dipamerkan, dan keseragaman itu tidak penting. Sedangkan pendidikan sepatutnya mendidik nilai kebersamaan, bukan persaingan simbolik.
Dalam bahasa mudah, bila baju pun jadi beban, fokus belajar akan terganggu.
Apabila KPPM mengeluarkan kenyataan untuk menyemak keseragaman pakaian sekolah, saya fikir keputusan ini bukan dibuat secara tergesa-gesa. Ia akan dan mungkin telah melalui kajian, libat urus, dan pendekatan berperingkat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Murid baharu akan menjadi kumpulan pertama, supaya tiada pembaziran, tiada paksaan mengejut, dan tiada kejutan budaya. Ini bukan gaya kerajaan tahu semua, tetapi gaya MADANI, iaitu berhemah, berperingkat, berempati.
Begitu juga dengan isu tali leher murid yang telah diumumkan sebelum ini. Ia tidak diwajibkan. Maksudnya, sekolah dan PIBG diberi ruang membuat keputusan bersama. Ini mesej yang sangat penting bahawa kerajaan tidak mengurus pendidikan dengan tangan besi, tetapi dengan tadbir urus yang percaya kepada kebijaksanaan komuniti.
Dari sudut murid, implikasinya jelas. Kurang tekanan, lebih selesa, dan lebih fokus. Dalam iklim negara yang panas, keselesaan bukan isu kecil. Murid yang selesa ialah murid yang boleh belajar dengan baik. Pendidikan MADANI bermula dengan memanusiakan murid, bukan mendisiplinkan mereka secara simbolik. Dan ini merupakan selaras dan seiring dengan kebenaran yang sama kepada penjawat awam sebelumnya, yang kita maklum kebanyakan pejabat kerajaan berhawa dingin.
Bagi sekolah pula, penyelarasan ini mengurangkan konflik yang tidak perlu dengan ibu bapa. Guru dan pentadbir boleh kembali memberi tumpuan kepada perkara teras, iaitu kualiti pengajaran, pembinaan sahsiah, dan kesejahteraan murid. Sekolah kembali menjadi ruang mendidik, bukan medan rundingan pakaian.
Dan untuk ibu bapa, ini adalah kelegaan yang nyata. Baju boleh diwarisi adik-beradik. Perbelanjaan dapat dirancang. Ini bukan bantuan tunai, tetapi reformasi struktur yang mengurangkan kos hidup secara senyap. Inilah keadilan sosial dalam bentuk paling praktikal.
Kemudian, ada yang bertanya, “Ini ke reformasi pendidikan?” ![]()
Jawapannya, ya, jika kita faham bahawa pendidikan ialah satu ekosistem. Ekosistem yang sihat bukan hanya tentang kurikulum dan peperiksaan, tetapi tentang persekitaran, kos, emosi dan maruah manusia.
Kita tidak kata seragam akan menyelesaikan semua masalah pendidikan. Kita cuma kata, jika satu perubahan kecil boleh mengurangkan beban ribuan keluarga dan mengembalikan fokus sekolah kepada mendidik manusia, kenapa kita perlu menolaknya? ![]()
Kadang-kadang, nilai MADANI tidak menjerit. Ia berbisik. Tetapi bisikan itulah yang paling dekat dengan kehidupan rakyat.
DR





