PKSK bukan cermin nilai diri anak-anak. Ia bukan penentu siapa lebih bijak, siapa lebih berjaya, siapa lebih bernilai sebagai manusia. PKSK hanyalah instrumen saringan, bukan alat penghukuman. Banyak sekali yang saya perhatikan, ibu bapa yang berlebih-lebihan kecewa berbanding anak-anak tersebut.
Maka, apabila emosi ibu bapa tidak terkawal, instrumen saringan ini dihitamkan, dipersalahkan, malah dijadikan simbol kegagalan keibubapaan. Itu bukan sahaja tidak adil kepada sistem, malah lebih menyakitkan, tidak adil kepada anak sendiri. Pada waktu sama, sepertinya sekolah harian ini begitu mengecewakan.
PKSK bukan ujian siapa paling pandai. Perlu difahami dengan jujur dan matang, PKSK bukan sekadar ujian kognitif. Ia adalah gabungan beberapa lapisan saringan. Antaranya, saringan kebolehan kognitif, saringan kecenderungan psikometrik, saringan kesesuaian dengan persekitaran berasrama penuh, dan ya, secara realistik, turut dipengaruhi oleh latar sosioekonomi dan pendedahan awal. Dan sudah tentu, itupun akan dilaksanakan dalam konteks memenuhi kuota 60% untuk B40, & selebihnya untuk Kumpulan SES sederhana dan tinggi.
Ini bukan konspirasi. Ini realiti reka bentuk sistem, termasuk mengangkat potensi anak-anak luar bandar dan pedalaman serta bersosioekonomi rendah. Yang kita perlu fahami, anak yang sangat bijak, tetapi tidak serasi dengan gaya kehidupan berasrama, mungkin tersisih. Anak yang berpotensi besar, tetapi cenderung kepada persekitaran berstruktur longgar, mungkin tidak menonjol. Anak yang kreatif, empatik dan reflektif mungkin tidak “bersinar” dalam ujian berjangka masa.
Adakah itu bermaksud mereka gagal?
Atau sistem sedang mengatakan, laluan ini mungkin bukan yang paling sesuai untuk mereka? Bezanya besar sekali.
Bertenang… Kegagalan PKSK bukan kegagalan keibubapaan. Instrumen ini bukan ujian keberjayaan keibubapaan. Pada masa sama, masalah sebenar bukan pada PKSK. Masalahnya ialah apabila ibu bapa memindahkan kekecewaan sendiri kepada anak, menjadikan keputusan saringan sebagai label nilai diri, dan tanpa sedar, melukakan emosi anak yang sedang membesar. Tidak boleh begitulah..
Sebenarnya, anak-anak tidak kecewa kerana tidak masuk sekolah elit. Mereka kecewa apabila melihat wajah ibu dan ayah yang muram, suara yang berubah, dan layanan yang tidak lagi sama. Di situlah luka sebenar terbentuk. Hakikatnya, parenting diuji bukan ketika anak berjaya, tetapi ketika anak tidak melepasi saringan.
Adakah kita menenangkan atau menekan? memeluk atau membandingkan? membimbing atau menyindir?
Cuma, saya nak tegaskan begini. Kita perlu berani berkata benar, bahawa sekolah yang baik itu membantu, tetapi sama sekali tidak menggantikan ibu dan ayah. Ada anak di sekolah elit yang tertekan, sunyi dan hilang arah. Ada anak di sekolah harian biasa yang membesar dengan yakin, seimbang dan berdaya tahan kerana rumahnya stabil dan emosinya terjaga.
PKSK tidak menilai siapa ibu ayah yang paling hadir. Ia tidak mengukur siapa yang paling memahami anak mereka. Ia tidak mengesan siapa yang membina keyakinan diri anak sejak kecil. Semua itu berlaku di rumah. Saya jumpa banyak sekali ibu bapa yang kesal apabila tidak sempat rasa, bersama-sama anak-anak ketika mereka membesar kerana dari awal dihantar ke sekolah berasrama penuh, sehingga ke masa universiti.
Poin saya ialah PKSK tidak menutup pintu masa depan anak. Yang boleh menutup pintu itu ialah label yang kita letakkan, nada kecewa yang kita pancarkan, dan kepercayaan yang kita runtuhkan.
Tenanglah, ini bukan garisan penamat. Jangan hitamkan PKSK. Ia hanya alat saringan, bukan penentu takdir. Yang lebih penting ialah apa yang berlaku selepas keputusan diumumkan, bagaimana ibu ayah bercakap, bagaimana anak ditenangkan, dan bagaimana laluan alternatif dibina dengan yakin. Jika perlu merayu dan mencari jalan untuk usahakan keberjayaan rayuan, saya fikir boleh dilakukan dalam ruang lingkup yang ada dan dibenarkan.
Kerana akhirnya, yang membesarkan manusia bukan instrumen, tetapi keibubapaan yang sedar dan berjiwa besar.
DR





