Peristiwa Israk Mikraj wajar direnungi semula, bukan sekadar sebagai kisah mukjizat, tetapi sebagai cerminan ujian kepercayaan. Ia adalah peristiwa yang, jika dinilai dengan logik semata-mata, sukar untuk diterima. Malah pada zaman Nabi Muhammad SAW sendiri, tidak semua orang mampu mempercayainya. Ada yang ragu, ada yang mengejek, dan ada yang berpaling. Namun di situlah letaknya makna sebenar iman, bukan pada apa yang mudah diterima, tetapi pada kebenaran yang menuntut kepercayaan dan keyakinan yang utuh.
Peristiwa ini juga mengangkat satu watak penting dalam sejarah Islam, iaitu Abu Bakar as-Siddiq. Gelaran as-Siddiq tidak diberikan kerana hujah yang panjang atau bukti yang terperinci, tetapi kerana kepercayaan yang tidak berbelah bahagi terhadap kebenaran. Apabila sesuatu itu datang daripada Nabi, maka kepercayaannya penuh, bukan separuh.
Daripada kepercayaan itulah lahir keteguhan, kesetiaan dan kekuatan untuk terus bersama misi yang besar, walaupun berdepan tentangan dan ejekan. Hakikatnya, sejak zaman Nabi lagi, kebenaran itu tidak pernah mudah, & ia sering menuntut keberanian untuk percaya sebelum semuanya jelas dan selesa.
Jika pada zaman yang dekat dengan Nabi pun kepercayaan itu diuji, apatah lagi pada zaman kita hari ini, yang jauh daripada suasana wahyu, dan sarat dengan kebisingan, keraguan serta sentimen. Maka persoalan yang wajar kita ajukan kepada diri sendiri ialah bagaimana kita mahu membina masa depan pendidikan negara jika kepercayaan kita sendiri masih separuh-separuh? Lebih aneh kita yang telah berkhidmat hampir separuh hayat kita, dalam sektor pendidikan yang kita sendiri separuh percaya? Bagaimana kita mahu melahirkan sistem yang kukuh jika setiap usaha pembaikan sentiasa dibayangi curiga, ketakutan dan ketidaktentuan?
Peristiwa Israk Mikraj mengajar kita bahawa perubahan besar tidak berlaku dengan kepercayaan separuh hati. Ia menuntut sepenuh iman, sepenuh keyakinan dan sepenuh kesungguhan. Dalam konteks hari ini, ia bermaksud memberikan sepenuh hati kita, bukan sekadar slogan atau wacana, tetapi sepenuh tenaga, sepenuh kejujuran dan sedaya upaya untuk memperbaiki serta meningkatkan mutu pendidikan negara. Kerana kebenaran dan pembaikan, sejak dahulu hingga kini, memang tidak pernah mudah. Tetapi ia sentiasa bermula dengan satu perkara yang sama, iaitu kepercayaan yang tidak berbelah bahagi.
Justeru, jika kita benar-benar mahu memacu perubahan, langkah pertama bukan sekadar merombak struktur atau menukar dasar, tetapi memegang nilai. Sejarah para sahabat mengajar kita bahawa keyakinan penuh kepada Rasulullah SAW tidak lahir dalam ruang kosong, tetapi berakar pada nilai yang kukuh.
(I) Nilai kesetiaan dan kepercayaan, yang menjadikan perubahan konsisten dan tidak mudah goyah.
(II) Nilai amanah, yang memastikan perubahan dilaksanakan dengan integriti, jujur dengan data dan telus dengan realiti.
(III) Nilai fatonah, yang menuntut kebijaksanaan, kompetensi dan keupayaan melihat jauh ke hadapan dalam mengurus isu yang kompleks. Dan
(IV) Nilai tabligh, iaitu keberanian untuk terus menyampaikan kebenaran secara beretika, khususnya dalam era media sosial yang penuh maklumat bercampur aduk antara fakta dan sentimen.
Empat nilai inilah, siddiq, amanah, fatonah dan tabligh, hakikatnya ialah nilai wajib para nabi, yang diteladani para sahabat, dan akhirnya dinormalisasikan dan mengubah masyarakat jahiliah kepada masyarakat madaniyah yang bertamadun. Dalam Al-Quran, generasi itu disebut sebagai generasi terbaik, khaira ummah. Dan nilai yang sama inilah yang perlu kita hidupkan kembali hari ini, bukan sebagai slogan agama, tetapi sebagai asas moral dalam mengurus perubahan negara.
Sudah tentu perlu diperjelaskan bahawa kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW ialah kebenaran wahyu yang mutlak. Manakala kebenaran yang kita uruskan hari ini dalam pendidikan dan tadbir urus negara, bersandarkan ilmu, institusi dan proses, serta sentiasa terbuka kepada semakan dan penambahbaikan. Kedua-duanya tidak boleh disamakan. Namun perbandingan ini bukan tentang menyamakan darjat kebenaran, tetapi tentang sikap kita terhadap kebenaran, iaitu bagaimana kita mendengar suara rakyat, menimbang hujah dengan adil, dan bergerak ke hadapan dengan niat yang baik.
Dalam mengurus perubahan hari ini, kita tidak diminta percaya secara membuta tuli, tetapi percaya secara berasas, berasaskan ilmu, integriti dan kejujuran. Kepercayaan yang matang inilah yang membolehkan negara keluar daripada keadaan negara separuh-separuh yang saya bahaskan ini. Bukan negara yang menutup telinga kepada suara rakyat, dan bukan juga negara yang hilang arah kerana terlalu takut membuat keputusan. Tetapi sebuah negara yang mendengar, menimbang, dan kemudian berani melangkah ke hadapan demi masa depan bersama dengan bijaksana.
Salam Israk Mikraj
DR





