Isunya Sebenarnya Bukan UPSR atau PT3

Isunya ialah mindset dan kefahaman falsafah dalam kalangan sebahagian pendidik dan pengurus pendidikan.

Mari kita berterus terang.

Kita bukan hidup dalam vakum penilaian. Sistem kita hari ini penuh instrumen. UASA, PBD, PKSK, dan di sekolah agama ada PSRA serta UKPK. Dulu? Lagi banyak. UPSR, PT3, ujian Penggal, pertengahan Penggal, Ujian Percubaaan berkali kali dan sebagainya. Maknanya apa? Maknanya data murid sentiasa ada saban tahun, penilaian berlaku sepanjang masa, bukan tunggu satu peperiksaan hujung tahun.

Masalah sebenar ialah apabila peperiksaan high-stakes (berkepentingan tinggi) seperti UPSR dan PT3 dimansuhkan, ada pendidik yang saya istilahkan, hilang kompas profesional. Seolah-olah tanpa UPSR, tiada sebab untuk mengajar dengan serius. Pada pandangan saya, ini satu kegagalan etika keguruan, bukan kegagalan dasar.

Sebab itu, saya tanyakan, jika UPSR dan PT3 ada kembali, tapi tak nak PBD, jadi dari awal tahun 4 sampai November tahun 6, akan bagaimana rupa sekolah kita? Tak ada Ujian? Tak ada pentaksiran? Ta ada PBD? Tak ada UASA? Seriously… Nampak tak ni?

Kalau benar budaya belajar itu difahami, belajar dan mengajar berjalan seperti biasa. Ujian bulanan atau PBD berlaku dalam kelas, analisis pencapaian perkembangan murid, Murid lemah diberikan intervensi awal, murid tercicir diberikan pemulihan berfokus, dan ujian akhir penggal pada akhir tahun. Itulah ABC atau 101 dalam profesion guru. Tak perlu UPSR untuk mengesahkannya.

Baik, sekarang kita masuk isu 3M (Membaca, Menulis, Mengira). Mengaitkan peningkatan buta huruf dengan ketiadaan UPSR ialah hujah yang sangat lemah dan defensif. UPSR diuji di Tahun 6. Soalan jujur yang perlu ditanya.

Habis tu, cikgu tak nampak ke murid buta huruf dari Darjah 1, 2, 3 sampai 6? Mana ada penilaian seragam yang hendak dikejar?

Kalau murid sampai Tahun 6 masih tak menguasai 3M, itu bukan kegagalan sebab tiada UPSR. Itu kegagalan kita menyediakan pengesanan awal, intervensi berterusan, malah saya fikir terkait juga dengan kepimpinan instruksional.

dan satu lagi yang mungkin akan kontroversional, keberanian profesional untuk mengakui murid sedang tercicir. Sebab tak nak akauntabiliti dengan pihak atasan, diberikan TP yang tidak memerlukan guru berikan justifikasi. Banyak kerja nanti. Jadi, letaklah TP yang ‘selamat’.

Kalau benar UPSR satu-satunya sebab intervensi dibuat, itu bermaksud selama ini intervensi bukan demi murid, tetapi demi statistik peperiksaan. Itu lebih berbahaya. Malah, intervensi yang dilaksanakan adalah untuk murid baharu, bukan murid yang hadapi UPSR tadi, sebab murid itu kita serahkan kepada guru tingkatan satu.

Hakikatnya, PBD memang dicipta untuk tujuan ini, iaitu mengesan, membetulkan, dan menyokong murid secara real time. Tapi, tidak… PBD sering dijadikan kerja dokumentasi, bukan alat pedagogi.

Ringkasnya begini, dan ini kenyataan yang mungkin pahit. Maaf ye.. Sebenarnya, UPSR bukan yang mendidik murid. Guru yang mendidik murid.

UPSR hanya memberi tekanan.

Kefahaman falsafah memberi arah.

Kalau tanpa UPSR guru tidak tahu bila perlu buat intervensi 3M, maka masalahnya bukan sistem, tetapi keupayaan profesional dan kefahaman terhadap Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Kita tidak perlukan peperiksaan besar untuk menyedarkan kita tentang murid yang gagal membaca. Kita laksanakan intervensi seperti Program Anak Kita, PLaN atau sebelum ini ketika era UPSR masih ada, kita jalankan LINUS. Eh, dulu pun ada murid yang tak boleh membaca? Ya tuan-tuan… Sebenarnya, anak-anak tak boleh membaca ini semakin menurun pasca 2024… Pasca tanpa UPSR…

Sebab itu, akhirnya, isunya bukan UPSR atau PT3… Kita perlukan keberanian untuk kembali menjadi pendidik yang sebenar.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top