Setiap kali pendidikan mahu direformasi, skripnya hampir sama. Ada suara mahu maju, ada suara mahu kembali ke “yang dulu”. Ada yang bercakap tentang masa depan anak-anak, ada yang bercakap tentang pengalaman peribadi mereka tiga puluh tahun lalu. Semua mahu didengari. Semua mendakwa niat mereka murni.
Masalahnya, pendidikan bukan projek emosi.
Dan negara tidak boleh dibina atas nostalgia.
Ya, kerajaan perlu mendengar. Tetapi kerajaan yang mendengar bukan kerajaan yang kehilangan pendirian. Lebih penting, pendidikan tidak boleh dijadikan alat politik jangka pendek, dibentuk atas populariti, sentimen, atau keinginan menaikkan rating. Pendidikan mesti dibina atas prinsip keilmuan, data, kajian, dan hala tuju negara yang realistik untuk masa depan, bukan romantik masa lalu.
Sebab itulah dalam perbahasan pentaksiran hari ini, kita perlu menarik satu garis yang jelas.
Red Line.
Garis yang tidak boleh kita lintasi, walaupun ditekan, walaupun tidak popular. Jika negara ini benar-benar mahu bergerak ke hadapan, sekurang-kurangnya ada tiga garis merah yang mesti kita pertahankan. Ini pandangan saya.
Garis Merah Pertama
Jangan Kembali Kepada Sistem Berorientasikan Peperiksaan
Sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan memang nampak cantik di atas kertas. Ada nombor, ada ranking, ada top students. Mudah diurus. Mudah dijual. Mudah dijadikan bahan kempen.
Tetapi sistem ini mahal, bukan dari segi kewangan, tetapi dari segi kemanusiaan. Maksudnya, apabila peperiksaan menjadi pusat sistem, pembelajaran automatik bertukar menjadi latihan menjawab soalan, guru pula bertukar menjadi jurulatih teknik menjawab, dan murid dinilai bukan berdasarkan potensi, tetapi kebolehan menyesuaikan diri dengan format dan skema.
Jangan kita keliru. Saya fikir, reformasi pentaksiran bukanlah usaha menghapuskan penilaian. Ia usaha mengalihkan fokus daripada keputusan kepada perkembangan. Persekolahan sepatutnya schooling for learning, bukan teaching for testing.
Kembali kepada exam-oriented education sebagai teras bukan langkah berani.
Ia langkah shortcut. Dan selalunya, langkah shortcut itulah yang membawa kita ke jalan buntu.
Garis Merah Kedua
Pentaksiran Mesti Untuk Pembelajaran
Di sinilah ramai tersalah faham, atau lebih tepat, dipermudahkan secara salah. ![]()
Apa bezanya? Pentaksiran tentang pembelajaran hanya menjawab satu soalan, berapa markah murid ini selepas semua itu?
Dan cerita berhenti di situ.
Pentaksiran untuk pembelajaran bertanya soalan yang jauh lebih penting, iaitu apa yang perlu kita buat selepas ini supaya murid ini boleh berkembang?
Nampak bezanya? Bezanya besar sekali.
Dalam kerangka ini, markah bukan penamat.
Markah ialah isyarat awal. Isyarat untuk guru membuat intervensi, untuk sekolah menyusun sokongan, dan untuk murid memahami di mana mereka perlu dibantu.
Selama UPSR dan PT3 ada, masalah berlaku apabila data pentaksiran ditarik keluar dari bilik darjah dan dijadikan bahan perbandingan, pelabelan dan legitimasi dasar. Pada saat itu, pentaksiran berhenti membantu murid dan mula membantu sistem. Salah besar. Sistem tidak perlu menjadi lebih berat kerana ditambah tambah berat dan bebannya dengan perkara seperti ini.
Prinsipnya, jika data pentaksiran tidak kembali kepada murid, maka pentaksiran itu gagal.
Membawa kepada garis merah ketiga.
Garis Merah Ketiga
Pentaksiran Mesti Kekal Low-Stakes
Ini garis merah paling kritikal, dan paling kerap cuba dilanggar secara senyap. Pentaksiran mesti kekal low-stakes. Maksudnya, ia tidak boleh menjadi segala-galanya dalam hidup seorang kanak-kanak.
Ia tidak boleh menentukan nilai diri. Ia tidak boleh menjadi tiket tunggal ke sekolah elit. Ia tidak boleh menjadi alat saringan sosial.
Sejarah sudah mengajar kita. Setiap kali pentaksiran dinaikkan menjadi high-stakes, kesannya hampir automatik. Saya maksudkan tekanan ibu bapa melonjak, industri tusyen (shadow education) berkembang tanpa kawalan, sekolah kembali berlumba mengejar angka,dan jurang sosial semakin melebar.
Pentaksiran yang sepatutnya membantu murid akhirnya menjadi sumber anxiety kolektif masyarakat. Bila kita naikkan semula stakes, dan jangan terkejut jika kita menghidupkan kembali semua penyakit lama, cuma dengan nama baharu.
Jadi, saya fikir, kerajaan telah usaha menjadi kerajaan yang mendengar. Ya, Mendengar, Tetapi Tidak Mundur.
Kita boleh dan perlu mendengar suara masyarakat. Kita boleh memperbaiki pelaksanaan, menutup kelemahan, dan memperkemas sistem. Tetapi dalam proses itu, ada sempadan yang tidak boleh kita lintasi.
Tiga garis merah ini bukan penghalang kemajuan. Ia kompas moral dan pedagogi. Saya fikir, kita masih kompromi kepada jenis pentaksiran yang seragam, serentak dan berpusat, tetapi tidak kepada tiga garis merah ini.
Ya, sekurang-kurangnya ini pandangan saya. Kajian MPPK? Saya tidak tahu. Kita tunggu lah nanti.
DR





