Catatan Perjalanan Pendidikan di Finland – Siri 1

Perjalanan ini bermula bukan dengan niat untuk membanding-banding siapa lebih hebat, tetapi dengan satu hasrat yang sederhana, untuk melihat sendiri. Saya dan pasukan, dua guru, dua pensyarah universiti, kami berkelana ke Finland dengan satu soalan asas, iaitu bagaimanakah pengalaman persekolahan di sekolah benar-benar berlaku di dalam bilik darjah, di sebalik laporan, indeks dan pujian antarabangsa yang sering kita dengar?

Kami datang bukan sebagai pelancong pendidikan, tetapi sebagai pemerhati yang ingin mencatat. Kami masuk ke sekolah, duduk di bilik darjah, berjalan di koridor, melihat jadual di dinding, dan mendengar cerita guru serta pentadbir sekolah. Apa yang kami cuba kumpulkan bukan data besar, tetapi pengalaman kecil yang membentuk gambaran besar.

Sepanjang lima hari di sebuah sekolah komprehensif di Finland, dan sebuah sekolah pendidikan awal, banyak perkara yang sering diperkatakan tentang pendidikan Finland sebenarnya perlu diperhalusi. Ada naratif yang terlalu memuja, dan ada juga perbandingan yang terlalu menyederhanakan realiti. Melalui pemerhatian kami, satu perkara menjadi jelas, pendidikan di Finland bukanlah tentang kandungan yang luar biasa, sebaliknya tentang bagaimana kandungan biasa itu diurus, dialami dan disokong oleh sistem. Maksudnya, ada yang luar biasa, banyak yang biasa-biasa sahaja seperti di Malaysia.

Pada masa yang sama, perjalanan ini juga membuatkan kami lebih menghargai pendidikan di Malaysia. Dari segi kandungan kurikulum, asas pembelajaran dan niat dasar, kita tidak bermula dari tempat yang lemah. Banyak perkara yang kita lakukan sebenarnya setara. Cabarannya bukan pada apa yang kita ajar, tetapi pada bagaimana sistem kita menyokong pengalaman mengajar dan belajar itu.

Kami juga sedar bahawa konteks Malaysia dan Finland tidak boleh disamakan secara bulat-bulat. Saiz negara, kepelbagaian latar belakang murid, struktur pentadbiran dan realiti sosial adalah berbeza. Apa yang berfungsi di Finland tidak semestinya boleh dipindahkan secara terus ke Malaysia. Dan itulah sebabnya perjalanan ini bukan tentang meniru, tetapi tentang memetik pengajaran yang sesuai dengan konteks kita sendiri.

Ada perkara yang boleh kita pelajari, tentang kepercayaan kepada guru, tentang pengurusan masa, dan tentang bagaimana kesejahteraan murid dilihat sebagai sebahagian daripada dasar, bukan tambahan. Ada juga perkara yang membuatkan kita sedar bahawa kita sudah berada di landasan yang betul, cuma memerlukan penambahbaikan yang lebih kemas dan berfokus.

Tulisan ini, dan siri artikel yang menyusul selepas ini, adalah catatan pengalaman. Ia ditulis sebagai perkongsian, bukan sebagai penghakiman. Apa yang kami lihat akan kami ceritakan. Apa yang kami pelajari akan kami refleksikan. Dan apa yang kami fikir boleh diperbaiki akan kami bincangkan dengan jujur dan berimbang.

Dalam episod-episod seterusnya, kami akan mengupas pengalaman ini mengikut tema, daripada kurikulum dan mata pelajaran, kepada pedagogi di bilik darjah, struktur sokongan guru, pengurusan masa dan rehat, sehinggalah kepada isu kepercayaan, autonomi dan pentaksiran.

Perjalanan ini mengajar kami satu perkara yang sederhana tetapi penting, sebagai sebuah negara yang sentiasa berusaha memperbaiki sistem pendidikannya, mungkin yang paling perlu ialah keberanian untuk melihat dengan jujur, apa yang kita sudah lakukan dengan baik, dan di mana ruang yang masih boleh kita perkemaskan.

Catatan ini hanyalah permulaan.

DR

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top