Kisah Pejuang Muda yang Bertaubat

Surah al-Nisā’, ayat 93 hingga 96, turun dalam suasana umat yang sedang berdepan peperangan dan keputusan-keputusan besar yang melibatkan nyawa manusia. Allah memulakan dengan satu amaran yang keras: sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, balasannya ialah neraka, kemurkaan dan laknat-Nya.

Seolah-olah Allah mahu meletakkan asas yang jelas sebelum berbicara tentang keberanian dan perjuangan, fahami dahulu bahawa nyawa seorang mukmin itu terlalu mahal untuk dipertaruhkan dengan emosi atau sangkaan.

Dalam suasana tegang itulah berlaku satu peristiwa yang menjadi pelajaran sepanjang zaman. Usamah bin Zaid RA, sahabat muda yang sangat dikasihi Rasulullah SAW, berada dalam satu ekspedisi ketenteraan. Beliau dibesarkan dalam asuhan Nabi, dipercayai dan dihormati, malah dilantik memimpin pasukan pada usia muda.

Dalam satu pertempuran, beliau berjaya menewaskan seorang musuh. Saat pedang terangkat, lelaki itu melafazkan “La ilaha illallah”. Namun dalam detik yang genting itu, Usamah menyangka lafaz tersebut hanyalah helah untuk menyelamatkan diri. Keputusan dibuat dalam beberapa saat dan lelaki itu terbunuh.

Apabila berita itu sampai kepada Rasulullah SAW, suasana berubah sama sekali. Baginda tidak melihat kepada jasa, tidak menilai reputasi, tidak memuji keberanian. Dengan nada yang menusuk jiwa, Baginda bertanya, “Adakah engkau membelah dadanya untuk mengetahui isi hatinya?” Soalan itu diulang-ulang sehingga Usamah merasakan beban yang amat berat.

Di situlah kemuncak kisah ini, di mana seorang panglima muda yang gagah, berdiri dalam rasa sesal, menyedari bahawa satu tindakan yang dirasakan wajar rupa-rupanya melanggar disiplin wahyu.

Namun kisah ini tidak berakhir dengan celaan. Ia bergerak kepada taubat dan perubahan. Usamah tidak mempertahankan dirinya dengan alasan taktikal. Beliau menerima teguran itu dengan jiwa yang tunduk. Sejak peristiwa tersebut, beliau menjadi sangat berhati-hati dalam isu pertumpahan darah.

Ketika berlaku konflik sesama Muslim selepas kewafatan Rasulullah SAW, termasuk pada zaman Saidina Uthman dan pertembungan antara Saidina Ali dan Muawiyah, Usamah memilih untuk tidak menyertai peperangan tersebut. Bukan kerana kurang keberanian, tetapi kerana terlalu takut tersalah dalam menilai iman dan nyawa manusia.

Menariknya, kesilapan itu tidak menutup pintu masa depannya. Ayat 95 dan 96 tetap mengangkat darjat mereka yang berjihad dengan disiplin dan ketaatan. Rasulullah SAW tetap melantik Usamah sebagai panglima pasukan ke Syam, dan pelantikan itu diteruskan oleh Saidina Abu Bakar.

Ini menunjukkan bahawa kesilapan yang diiringi taubat dan perubahan sikap tidak memusnahkan potensi, sebaliknya ia mematangkan jiwa dan memurnikan kepimpinan.

Akhirnya, apa yang kita belajar, tuan-tuan. Pengajarannya sebenarnya jelas, iaitu keberanian tanpa disiplin boleh membawa penyesalan, tetapi disiplin yang lahir daripada taubat membina kematangan. Tabayyun bukan hanya arahan ketika perang, sebenarnya ia prinsip hidup yang menjaga kita daripada tergelincir ketika emosi memuncak dan keputusan perlu dibuat dengan pantas.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top