Fardhu Sosial

Konsep fardhu sosial pada hemat saya ialah tanggungjawab kolektif yang lahir daripada kesedaran iman, bukan sekadar kewajipan individu yang terasing. Jika fardhu ain menuntut setiap orang melaksanakan ibadah asas secara peribadi, maka fardhu sosial mengikat kita dengan tanggungjawab terhadap masyarakat.

Ia merangkumi amanah menjaga maklumat, memelihara maruah orang lain, menegakkan keadilan, mencegah fitnah, dan memastikan ruang awam kekal sihat serta beradab. Dalam konteks tabayyun, menahan diri daripada menyebarkan berita yang belum sahih bukan pilihan peribadi semata-mata, tetapi satu kewajipan sosial kerana kesannya melibatkan orang ramai. Kadangkala soal dakwah pun boleh bergaduh dan berpecah.

Kita sedang hidup dalam zaman di mana satu klik boleh mencetuskan gelombang persepsi. Maka fardhu sosial hari ini menuntut kematangan digital. Tidak semua perkara perlu dikongsi, tidak semua maklumat perlu diviralkan. Kadangkala tindakan paling bertanggungjawab ialah diam, menyemak, dan bertanya secara tertutup.

Jika kita serius mahu membina masyarakat berintegriti, budaya tabayyun mesti dinaikkan sebagai etika bersama. Di situlah letaknya dimensi ibadah sosial, kita menjaga lidah dan jari bukan hanya kerana diri sendiri, tetapi kerana kita tidak mahu menjadi punca kerosakan dalam komuniti.

Saya nak pesan juga, perkara paling biasa dalam kehidupan seharian kita. Dalam mengurus berita atau cerita di WhatsApp, anggaplah ia seperti menjaga kesihatan diri. Kita tidak akan terus menelan ubat tanpa membaca label dan memastikan kesesuaiannya, begitu juga dengan maklumat, jangan terus “telan” dan jangan terus “edarkan”.

Amalkan saringan awal, mudah sahaja. Semak sumber, periksa kesahihan, lihat konteks dan tarikh. Jika ragu, dapatkan pandangan daripada sumber yang lebih berautoriti, bukan daripada sembang sesama yang sama-sama tidak pasti. Lepas tu, tak pasal pasal, kita dakwa macam-macam, lawan Islam lah, lawan raja lah, lawan Melayu lah.. Sedangkan kita pun tak pasti apa yang kita forward.

Disiplin kecil ini ibarat amalan gaya hidup sihat, mungkin nampak remeh, tetapi dalam jangka panjang ia membina ketahanan masyarakat daripada wabak fitnah dan kekeliruan.

DR

image

image

image

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top