Disiplin Dalam Berorganisasi

Seni berkomunikasi dan disiplin menghormati hierarki organisasi sebenarnya tidak boleh dipisahkan. Kedua-duanya adalah asas kepada Kepemimpinan dan kepengikutan yang matang. Ya, kedua-duanya, leaders dan followers. Tanpa seni komunikasi, kebenaran boleh menjadi kasar. Tanpa disiplin terhadap struktur dan keputusan bersama, organisasi boleh menjadi kacau dan rapuh.

Dalam tradisi kita, khususnya dalam budaya Melayu dan ajaran Islam, komunikasi bukan sekadar soal menyampaikan mesej. Ia soal adab, hikmah dan strategi. Ada perkara yang perlu ditegaskan secara jelas dan terbuka. Ada perkara yang perlu disampaikan secara halus, berkias, memilih waktu dan tempat yang sesuai. Ketegasan tidak semestinya keras. Kelunakan pula tidak semestinya lemah. Bezanya terletak pada kebijaksanaan membaca situasi. Read the room.

Dalam perdebatan, kita boleh menolak hujah tanpa merendahkan maruah pihak lawan. Dalam pasukan sendiri, kita boleh tidak bersetuju tanpa membuka aib rakan seperjuangan. Bahkan dalam organisasi berhierarki seperti jabatan kerajaan atau mana-mana institusi rasmi, seni menyatakan ketidaksefahaman menjadi lebih penting. Teguran ada salurannya. Pandangan ada ruangnya. Kritik ada adabnya. Dan lawan kepada beradab ialah biadab!

Di sinilah prinsip syura memainkan peranan besar. Firman Allah dalam Surah Āli ‘Imrān ayat 159, “wa syāwirhum fil amr”, maksudnya, bermesyuaratlah kamu dalam urusan itu. Syura memberi ruang kepada perbezaan pandangan sebelum keputusan dibuat. Dalam bilik mesyuarat, semua hujah boleh dibentangkan. Di situlah medan intelektual sebenar. Kita berhujah dengan data, dengan rasional, dengan prinsip.

Namun disiplin sebenar bermula selepas keputusan dibuat. Sirah mengajar kita melalui peristiwa Perang Uhud. Nabi SAW secara peribadi mempunyai kecenderungan strategi yang berbeza, tetapi apabila majoriti sahabat memilih pendekatan lain, baginda menerima keputusan syura itu. Setelah baginda memakai baju perang, dan ada sahabat yang ingin menarik semula keputusan tersebut, Nabi tidak berganjak. Dalam riwayat disebut bahawa tidak wajar bagi seorang Nabi yang telah memakai baju perang untuk menanggalkannya sebelum Allah memutuskan antara dia dan musuhnya.

Di sini terletak pelajaran besar tentang integriti terhadap keputusan bersama. Nabi tidak mempertahankan ego peribadi, tetapi mempertahankan disiplin jemaah. Itu level Nabi pun jaga disiplin. Kita ni, takkan lebih hebat dari Nabi? Walaupun akhirnya berlaku ujian dan kesilapan taktikal, pendidikan tentang ketaatan dan kesatuan menjadi lebih besar nilainya. Keputusan adalah tanggungjawab kolektif semua.

Dalam konteks organisasi moden, prinsip ini sangat relevan. Sebelum keputusan dimuktamadkan, kita wajib bersuara jika ada pandangan yang berbeza. Diam kerana takut bukan adab. Tetapi setelah keputusan dibuat melalui proses yang sah, kita tidak lagi menjadi “penentang dalaman”. Kita menjadi pelaksana yang setia. Jika setiap orang terus mempertikai keputusan yang telah disepakati, organisasi akan kehilangan wibawa dan arah.

Menghormati hierarki bukan bermaksud menutup ruang muhasabah. Selepas pelaksanaan, ada ruang penilaian, ada ruang pembetulan. Tetapi ia dilakukan secara tertib, melalui saluran yang betul, bukan melalui sindiran terbuka atau perbincangan liar yang merosakkan kesatuan. Kata kuncinya, ‘saluran yang betul’.

Di sinilah seni komunikasi dan disiplin organisasi bertemu. Kita tidak boleh terlalu lurus macam pembaris sehingga menjadi naif dan mencetuskan konflik yang tidak perlu. Dalam masa yang sama, kita tidak boleh terlalu lunak sehingga prinsip teras tergadai. Prinsip mesti teguh. Pendekatan mesti bijak. Kritikan mesti beradab. Kesetiaan mesti jelas.

Akhirnya, komunikasi bukan untuk menang hujah, tetapi untuk membina pasukan. Syura bukan untuk menunjukkan siapa paling dominan, tetapi untuk mencari keberkatan dalam keputusan bersama. Dan hierarki bukan untuk mematikan suara, tetapi untuk memastikan organisasi bergerak dengan teratur.

Kekuatan sebenar sebuah organisasi bukan pada ketiadaan perbezaan pandangan, tetapi pada kematangan mengurus perbezaan itu, sebelum keputusan dibuat dengan keberanian berhujah, dan selepas keputusan dibuat dengan disiplin melaksanakan.

Di situlah letaknya hikmah, dan di situlah terbinanya kepimpinan yang benar-benar berwibawa.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top