Tahukah Anda, Apa Persamaan Thailand, Brunei dan UAE?

Ada satu persamaan yang menarik antara Thailand, Brunei dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ketiga-tiganya pernah melaksanakan PISA for Schools, atau PISA-based Test for Schools (PBTS), satu instrumen OECD yang membawa kerangka PISA lebih dekat kepada peringkat sekolah.

Menariknya, Thailand dan UAE juga merupakan antara 9 daripada 74 sistem pendidikan yang menunjukkan peningkatan signifikan dalam Matematik PISA 2025.

Thailand meningkat daripada 394 kepada 407, manakala UAE daripada 432 kepada 453.

Brunei pula tidak menunjukkan peningkatan signifikan dalam Matematik antara 2022 dan 2025.

Tetapi jangan terus kaitkan PBTS dengan peningkatan. Kita perlu berhati-hati.

Saya tidak mengatakan Thailand atau UAE meningkat kerana mereka pernah melaksanakan PISA for Schools. Data PISA tidak membuktikan hubungan sebab-akibat itu.

Tetapi ada sesuatu yang wajar kita pelajari.

Daripada 74 sistem pendidikan yang boleh dibandingkan antara 2022 dan 2025, hanya 9 menunjukkan peningkatan signifikan dalam Matematik. Baki 65 sistem, hampir 88%, masih bergelut untuk bangkit.

Jadi apabila ada sistem yang berjaya bergerak ke hadapan, kita patut bertanya soalan seperti Apa yang mereka lakukan? Dan bagaimana mereka tahu apa yang perlu diperbaiki?

PISA negara memberikan kita gambaran besar, tentang kedudukan Malaysia sebagai sebuah sistem pendidikan. Tetapi selepas keputusan keluar, kita masih perlu menjawab persoalan yang lebih dekat dengan sekolah, contohnya, Sekolah mana yang bermasalah? Di mana jurangnya? Bila jurang itu mula terbentuk?

Dan mengapa ada sekolah yang menghadapi cabaran hampir sama tetapi menghasilkan pencapaian yang lebih baik?

Di sinilah PISA for Schools menjadi menarik. PISA pada peringkat negara tidak direka untuk menjawab semua persoalan di peringkat sekolah. PBTS membawa cermin tersebut lebih dekat kepada sekolah.

Ia mengukur murid sekitar umur 15 tahun dalam Matematik, Sains dan Bacaan, di samping mengumpulkan maklumat tentang faktor pembelajaran dan persekitaran sekolah.

Sekolah menerima laporan yang boleh digunakan untuk memahami prestasi, membuat penandaarasan dan merancang penambahbaikan.

OECD merumuskannya dengan tiga perkataan.

Measure. Explore. Act.

Ukur. Teroka. Bertindak.

Dan urutannya penting. Kita bukan mengukur untuk menghasilkan satu lagi angka. Kita mengukur supaya kita boleh meneroka puncanya, kemudian bertindak.

Bukan sekadar tahu murid lemah, tetapi tahu lemah di mana, mengapa lemah dan apa yang perlu dilakukan selepas itu.

Kita sebenarnya sudah mempunyai sebahagian daripada ekosistem ini. Pendekatan ini sesuai dengan arah Reformasi Pendidikan dan Reformasi Sekolah dalam RPM 2026–2035.

Malah, kita sudah mempunyai Pentaksiran Profisiensi dan Literasi (PPL) dalam Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik Malaysia 2026–2035.

Jadi kita tidak semestinya perlu mencipta sesuatu yang terpisah. Kita boleh menyambungkan apa yang sudah kita bina.

PPL melihat profisiensi dan literasi Matematik dalam konteks Malaysia. Data sekolah membantu mengenal pasti jurang dan menentukan intervensi. PBTS memberikan penandaarasan antarabangsa di peringkat sekolah.

PISA pula melihat kedudukan kita pada tahap sistem.

Mulakan secara kecil. Saya tidak fikir kita perlu melaksanakan PBTS di semua sekolah. Tidak perlu menjadikannya peperiksaan berimpak tinggi. Dan tidak perlu mencipta ranking sekolah.

Kita boleh memilih sekolah rintis dalam Reformasi Sekolah dan Transformasi Pendidikan Matematik, melibatkan sekolah bandar dan luar bandar, latar sosioekonomi berbeza, serta sekolah berprestasi tinggi dan sekolah yang memerlukan sokongan.

Kemudian kita lihat datanya.

Jangan hanya cari sekolah yang mendapat skor tinggi. Cari sekolah yang berjaya mengatasi cabaran. Dua sekolah mungkin mempunyai latar murid, sumber dan cabaran yang hampir sama.

Tetapi satu sekolah menghasilkan pembelajaran Matematik yang lebih baik. Apa yang mereka lakukan? Bagaimana mereka menggunakan data untuk mengesan jurang dan miskonsepsi? Bagaimana mereka memulihkan murid yang tertinggal?

Bagaimana mereka membina keupayaan murid untuk belajar, meminta bantuan dan menyelesaikan masalah?

Inilah maksud sebenar penandaarasan. Penandaarasan bukan mencari sekolah mana paling hebat. Kita mencari sekolah yang sudah berjaya, memahami bagaimana mereka berjaya, kemudian melihat apa yang boleh dipelajari dan dikembangkan di sekolah lain.

Begitu juga dengan negara.

Kalau ada sistem pendidikan yang berjaya bangkit ketika sebahagian besar dunia masih bergelut, kita patut mengkaji bagaimana mereka melakukannya.

Bukan untuk meniru bulat-bulat.

Tetapi untuk belajar.

Kita boleh terus berdebat tentang siapa yang patut bertanggungjawab, Menteri, KPM, guru, ibu bapa atau sistem.

Tetapi selepas semua itu selesai, soalan yang sama masih ada, iaitu Bagaimana hendak membaikinya?

Masalah kita bukan semata-mata kekurangan data. Kita sebenarnya mempunyai semakin banyak data. Persoalannya ialah bagaimana kita menukar data menjadi tindakan.

Kalau data sudah menunjukkan masalah, gunakan data itu. Kalau ada sekolah yang berjaya, belajar daripada mereka. Kalau ada sistem pendidikan yang bangkit, kaji bagaimana mereka melakukannya.

Kerana anak-anak kita tidak mendapat apa-apa daripada perbalahan kita.

Mereka mendapat manfaat apabila kita menemui cara yang lebih baik untuk membantu mereka belajar.

Bukan sekadar mengetahui di mana kita berada, tetapi belajar bagaimana hendak bergerak ke hadapan.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top