1. Untuk penyertaan PISA pada pusingan tahun 2022, seluruh dunia dihempas dengan serangan pandemik COVID-19 yang telah menyebabkan sekolah ditutup begitu lama. Untuk kali pertama, persekolahan berubah serta-merta dengan murid dipaksa untuk belajar secara jarak jauh tanpa mengira status sosioekonomi. Apa yang membezakan antara satu negara dengan negara lain adalah sejauh mana kerajaan dapat menyediakan ekosistem bagi penerusan pembelajaran.
2. PISA 2022 seterusnya mempamerkan dapatan kepada faktor pendidikan yang berdaya tahan terhadap cabaran pandemik. Daripada keseluruhan penyertaan bagi mengukur penguasaan literasi bacaan, saintifik dan matematik, banyak sekali negara telah terjejas teruk. Untuk literasi Matematik, 58 buah negara merosot, literasi saintifik, 36 buah negara merosot, manakala untuk literasi bacaan, 55 buah negara merosot.
3. Kemerosotan ini memang dijangkakan, namun yang menarik perhatian ialah negara yang berupaya meningkatkan pencapaian dalam keadaan ini. Dalam konteks Malaysia, bagi literasi Matematik misalnya, hampir semua murid menunjukkan kemerosotan, namun murid berpencapaian tinggi merosot teruk sehingga 40.2 mata berbanding murid berpencapaian rendah yang turut merosot dalam lingkungan 18.7 mata.
4. Dalam kontes status sosioekonomi, pencapaian murid yang berkelebihan juga merosot lebih teruk untuk ketiga-tiga literasi matematik, saintifik dan bacaan berbanding murid yang tidak berkelebihan. Daya tahan murid berstatus sosioekonomi rendah adalah dalam lingkungan 9%, iaitu hampir menyamai purata antarabangsa.
5. Hal ini menunjukkan terdapat isu ‘daya tahan’ yang menjadi teras dalam sistem pendidikan negara, khususnya kepada murid yang berkelebihan dan bersosioekonomi tinggi ketika dilanda hentaman sebegini, baik akibat pandemik, atau lain-lain bencana yang memerlukan murid mandiri dalam pembelajaran.
6. Bagaimana Malaysia melangkah dan belajar daripada pengalaman ini akan membentuk landskap masa depan pendidikan negara. Dengan kata lain, beberapa negara yang telah berhasil mengatasi cabaran pandemik telah menerapkan inisiatif tertentu, dan Malaysia boleh mempelajarinya.
7. Perkara pertama dan utama adalah keperluan untuk memaksimumkan kualiti pembelajaran. Maka, adalah amat penting untuk menekankan pengurusan waktu operasi sekolah dengan bijak. Keputusan PISA 2022 menunjukkan murid semakin ketinggalan dalam pembelajaran apabila sekolah lebih lama ditutup. Di Malaysia, soal selidik murid melaporkan bilangan bulan sekolah ditutup adalah sebanyak 5.8 bulan atau 174 hari. Jumlah ini jauh lebih lama berbanding purata negara OECD, iaitu sebagai 4.4 bulan atau 132 hari. Beza sebanyak 42 hari!
8. Jadi, adakah kemerosotan ini tidak berlaku kepada negara lain? Sebenarnya, banyak sekali negara terkesan. Analisis dapatan PISA 2022 menunjukkan bahawa pengurusan kecekapan waktu persekolahan bersemuka amat penting memandangkan murid dan guru tidak dapat mengoptimumkan pembelajaran sewaktu sekolah ditutup. Dapatan PISA 2022 juga menunjukkan sebanyak 13.3% murid Malaysia tidak hadir ke sekolah melebihi 3 bulan berturut-turut, dan peratusan ini jauh lebih tinggi daripada purata OECD, iaitu sebanyak 7.6%.
9. Oleh itu, penyelarasan jadual pembelajaran untuk mengatasi ketidakseragaman pembelajaran merupakan keutamaan yang mendesak. Dalam konteks ini, waktu murid berada di sekolah menjadi waktu paling berharga untuk mengoptimumkan pembelajaran. Bunyinya agak klise dan membosankan. Namun, itulah perkara utama yang mana telah diambil ringan. PISA 2022 mengungkapkan lebih daripada 50% murid Malaysia tidak yakin untuk menyiapkan kerja rumah sendiri. Maka, hakikatnya, sekolah adalah medan utama membina daya tahan murid kepada cabaran pembelajaran.
10. Seterusnya adalah berkaitan autonomi pembelajaran. Hal ini dapat memperkukuhkan keupayaan murid dan membentuk mereka menjadi murid yang mandiri. Perkara ini memerlukan kesedaran bahawa hanya mereka yang boleh menentukan masa depan sendiri. Pemikiran ini dipanggil growth mindset, atau pemikiran pertumbuhan. Ideanya adalah untuk membentuk murid yang mampu belajar secara autonomi.
11. Atas sebab itu, apabila YB Menteri Pendidikan mengumumkan bahawa eleman growth mindset akan diterapkan dengan serius melalui slot pendidikan karakter dan pembelajaran bersepadu, itu suatu yang perlu diangkat sebaiknya.
Tugas kita, bersama-sama memberikan input kepada membina negara.





