Kita sudah tahu keputusan Matematik Malaysia dalam PISA 2025 tidak menggembirakan. Skor kita turun daripada 409 pada 2022 kepada 397 pada 2025. Penurunan ini signifikan secara statistik.
Tetapi saya tidak mahu berhenti di situ.
Kalau ada sistem pendidikan lain yang berjaya meningkatkan pencapaian Matematik dalam tempoh yang sama, soalannya, Apa yang mereka lakukan sehingga boleh bangkit?
Dalam PISA 2025, Ada 9 buah sistem sahaja daripada 74 buah yang menyertai PISA 2022 dan boleh kita lihat perbandingannya. Sistem pendidikan yang menunjukkan peningkatan signifikan dalam Matematik adalah Kemboja, Georgia, Jordan, Emiriah Arab Bersatu, Filipina, Thailand, Türkiye, Republik Slovak dan Montenegro.
Cuma, nota yang saya fikir perlu dinyatakan di sini. Peningkatan ini tidak semestinya bermaksud mereka sudah lebih baik daripada Malaysia. Filipina dan Kemboja, misalnya, masih mencatat skor lebih rendah daripada kita pada 2025.
Jadi kita perlu melihat bukan sahaja di mana mereka berada, tetapi ke arah mana mereka bergerak. Right direction.
(4)
PISA memberikan beberapa petunjuk menarik tentang murid mereka, self-regulation, growth mindset, help-seeking, goal-setting dan sokongan guru.
Dalam bahasa mudahnya, murid tahu merancang cara belajar, tidak mudah berputus asa, tahu bila perlu meminta bantuan, mempunyai matlamat pembelajaran dan mendapat sokongan guru.
Kesemua ini penting.
Tetapi di sinilah paradoksnya. Sebab…
Malaysia pun ada.
Dalam PISA 2025, 92% murid Malaysia mengatakan mereka meminta bantuan guru apabila menghadapi masalah, manakala 94% meminta bantuan rakan sekelas.
Sokongan guru juga tinggi. 80% mengatakan guru menunjukkan minat terhadap pembelajaran mereka, 87% mengatakan guru terus mengajar sehingga mereka faham dan 86% mengatakan guru memberi bantuan tambahan.
Malah, goal-setting dan help-seeking dalam kalangan murid Malaysia mempunyai hubungan positif dengan pencapaian.
Jadi persoalannya…
Mereka ada. Kita pun ada.
Mereka naik. Kita turun.
Kenapa?
Saya mahu mengupas perkara ini melalui situasi ini.
Bayangkan seorang murid Tingkatan 2 tidak faham satu soalan Matematik.
Dia angkat tangan. Guru datang dan membantu. Murid itu akhirnya boleh menjawab. Kita pun berkata, “Bagus. Masalah selesai.”
Tetapi bagaimana kalau masalah sebenar bukan pada soalan itu? Bagaimana kalau sebenarnya soalan itu sepatutnya boleh dijawab apabila konsep asasnya, murid telah kuasai?
Bagaimana kalau dia sebenarnya belum menguasai kandungan asas seperti pecahan, nisbah atau peratus sejak Tahun 4, 5 dan 6? Iaitu tahun-tahun di mana mereka perlu melalui tempoh PdPr ketika COVID-19 berlaku pada 2020-2022.
Guru sudah membantu masalah hari ini. Tetapi jurang pembelajaran yang bermula beberapa tahun lalu masih ada.
Inilah yang perlu kita fikirkan, khususnya apabila melihat kesan COVID-19 terhadap kohort PISA 2025. Sebab itu, kita jangan sesekali memperkecilkan implikasi apabila sekolah ditutup berbulan bulan lamanya. Bukan murid tahun satu sahaja yang terkesan…
SEMUANYA TERKESAN!
Kenapa saya menegaskan begitu?
Bagaimana untuk kita memahami reka bentuk kurikulum?
Begini.
Prasekolah penting untuk asas pengetahuan dan kemahiran sosial dan emosional, serta asas aksara. Tahun 1 hingga 3 penting untuk penguasaan asas 3M dan asas alam sekitar mereka.
Tetapi Tahun 4 hingga 6 pula ialah fasa penting untuk membina penguasaan kandungan akademik sekolah rendah yang lebih luas, termasuk Matematik dan Sains. Kemudian asas itu sepatutnya menjadi tapak kepada pembelajaran akademik semasa tingkatan 1, 2 dan 3 dengan kandungan asas akademik peringkat menengah pula. Kandungan akademik dari tahun satu sehingga tingkatan tiga dipanggil Basic Education, atau Pendidikan Asas.
Kalau asas itu berlubang, kita boleh terus mengajar kandungan menengah rendah dan menengah atas. Tetapi kita sebenarnya sedang membina tingkat atas di atas asas yang belum kukuh.
Kalau kita masih ingat, dalam tempoh 2023 hingga 2025, tumpuan intervensi kita banyak diberikan kepada dua hujung, murid yang belum menguasai 3M dan murid yang bakal menduduki SPM, termasuk melalui Program Anak Kita, program kerjasama KPM dan MOF melalui Khazanah dengan peruntukan RM100 juta.
Kedua-duanya memang penting.
Alhamdulillah, sebenarnya keberkesanan intervensi pada 2023-2025, kita dapat lihat pada pemulihan anak-anak tahun satu dan dua yang menguasai asas 3M, dan pencapaian SPM 2024 & 2025 yang amat memberangsangkan.
Tetapi bagaimana dengan kelompok di tengah?
Murid yang sudah menguasai 3M, tidak cukup lemah untuk menjadi sasaran utama intervensi, tetapi mungkin masih membawa jurang penguasaan Matematik dari Tahun 4, 5 dan 6 ke sekolah menengah.
Mereka terus bergerak. Tahun 4. Tahun 5. Tahun 6. Tingkatan 1. Tingkatan 2. Tingkatan 3. Mereka naik kelas, tetapi jurangnya turut naik bersama.
Sebab itu kita perlu mengubah sedikit soalan.
Adakah kita membantu murid menjawab soalan hari ini? Atau kita telah menyebabkan dia tidak boleh menjawab soalan itu sejak beberapa tahun lalu?
Saya melihat bahawa dapatan PISA 2025 telah menunjukkan kita, bahawa intervensi pemulihan kepada kelompok ini telah tertinggal, yang hari ini, mereka berada di tahun 4, 5, 6, sehinggalah kelompok tingkatan 1, 2, 3.
Anak-anak di Tingkatan empat dan lima Malaysia agak bertuah sebab mereka akan diberikan tumpuan secara khusus secara berzaman untuk menduduki SPM yang sifatnya high-stakes untuk murid, guru, sekolah, ibu bapa, PPD, JPN, KPM, masyarakat, dan ahli politik.
Dan itu juga menjawab kenapa pencapaian SPM dan PISA tidak pernah selari.
Malaysia sebenarnya sudah mempunyai banyak perkara yang betul. Data PISA 2025 memang menunjukkannya. Sokongan guru ada. Murid sanggup meminta bantuan. Matlamat pembelajaran ada.
Tetapi memiliki semua itu tidak semestinya menghasilkan pembelajaran yang lebih baik. Mungkin inilah yang boleh kita pelajari daripada 9 buah sistem pendidikan yang berjaya bangkit itu.
Kita kena belajar bagaimana mereka menggunakan apa yang mereka ada untuk mengisi jurang yang telah lalu, memulihkan asas dan membawa murid bergerak ke hadapan.
DR





