Kita memang patut bimbang tentang AI. Dunia pun sedang bimbang. Adakah murid terlalu bergantung kepada AI? Adakah mereka masih berfikir? Bagaimana data dilindungi? Bagaimana memastikan teknologi tidak menggantikan manusia?
Saya tidak menolak bahawa semua itu persoalan yang penting untuk dijawab.
Tetapi daripada persoalan itu, tiba-tiba kita sampai kepada kesimpulan bahawa pendigitalan pendidikan sedang merosakkan otak anak-anak kita.
Itu bukan analisis. Itu populisme.
Ambil satu perkara yang memang ibu bapa takut, seperti anak malas, gajet, AI, kerja sekolah siap 30 saat, paling mudah, dan boleh viral, letakkan semuanya di bahu Menteri.
Mudah.
Tetapi pendidikan tidak pernah semudah itu.
Malah, PISA 2025 menunjukkan 56% murid Malaysia menggunakan chatbot AI untuk membantu pembelajaran sekurang-kurangnya sekali seminggu. Ya, ini serius dan perlu diberi perhatian.
Tetapi OECD sendiri menegaskan hubungan antara penggunaan AI dengan prestasi pembelajaran adalah kompleks. Penggunaan AI secara berlebihan atau tanpa bimbingan boleh menjadi masalah, tetapi penggunaan yang bertujuan dan sederhana mempunyai kesan yang berbeza.
Jadi jangan ambil angka 56% lalu terus menjadikannya bukti bahawa AI sedang merosakkan otak anak-anak kita.
Murid menggunakan AI bukan bukti mereka sudah tidak boleh berfikir. Kalau murid menyalin jawapan AI dan menghantar tanpa memahami, memang salah.
Tetapi mengapa penyelesaiannya mesti ekstrem, “jangan digital?”
Bukankah penyelesaiannya ialah ajar murid menggunakan AI dengan betul?
Ajar mereka semak fakta. Kenal pasti halusinasi. Bandingkan sumber. Cabar jawapan mesin. Tahu bila AI boleh membantu dan bila mereka mesti berfikir sendiri.
Kalau guru belum cukup bersedia, latih guru. Kalau tugasan terlalu mudah dibuat AI, ubah tugasan. Kalau sistem lemah, baiki sistem.
Jangan salahkan teknologi untuk kelemahan pedagogi. Dan jangan pula gunakan nostalgia sebagai bukti.
“Dulu kita susah cari jawapan, sebab itu kita berfikir.” katanya begitu… Benarkah?
Tidak semestinya… tuan-tuan…
Dulu kita belajar dalam dunia kita. Zaman kita. Anak-anak kita akan hidup dalam dunia yang lain. Zaman mereka.
Saya fikir, it’s okay untuk kita mahu mereka membaca buku, menulis, mengira dan berfikir tanpa mesin.
Tetapi kita juga mesti memastikan mereka boleh menggunakan teknologi, memahami data dan menilai AI.
Kalau tidak, kita sedang menyediakan mereka untuk dunia yang sudah berlalu.
Lebih penting, jangan samakan Malaysia dengan negara yang sudah mempunyai ekosistem digital pendidikan jauh lebih matang.
Kita ni… masih membina asas. Masih ada banyak jurang peranti. Masih ada jurang Internet. Masih ada guru yang memerlukan latihan. Masih ada ramai murid yang memerlukan literasi digital.
Kita bukan terlalu maju dalam digitalisasi. Kita sebenarnya masih perlu mengejar.
Jadi jangan sampai ketakutan terhadap AI menyebabkan kita memperlahankan sesuatu yang anak-anak kita memang perlu kuasai.
Jangan salah faham saya.
Kita boleh kritik KPM. Kita boleh kritik Menteri. Malah, kita mesti kritik apabila dasar lemah. Tetapi kritiklah dasar.
Tanya tentang latihan guru. Tanya tentang keberkesanan sistem. Tanya tentang perlindungan data. Tanya tentang pedagogi. Tanya tentang hasil pembelajaran.
Jangan sekadar menakutkan ibu bapa dengan cerita bahawa AI sedang merosakkan otak anak-anak. Itu bukan membantu pendidikan. Itu hanya menghasilkan ketakutan.
AI bukan musuh. Tetapi AI juga bukan penyelamat. Ia kekal sebagai alat.
Tugas pendidikan ialah memastikan murid cukup bijak untuk menggunakan alat itu tanpa menyerahkan pemikiran mereka kepadanya.
Sebab itu kita tidak perlu pendidikan yang anti-teknologi. Kita perlukan pendidikan yang cukup kuat asasnya untuk berdepan teknologi.
Kerana kalau kita gagal mengajar anak-anak menggunakan AI dengan kritis, masalahnya bukan kerana teknologi terlalu maju.
Masalahnya kerana pendidikan kita gagal bergerak bersama zamannya.
DR





