Manifesto Pendidikan Parti BERSAMA

Setiap kali muncul manifesto pendidikan daripada mana-mana parti politik, masyarakat biasanya akan terbahagi kepada dua kelompok. Satu kelompok akan melihatnya dengan penuh harapan. Biasanya pendukung parti. Satu lagi akan melihatnya dengan penuh sinikal, biasanya lawan parti. Tetapi dalam konteks manifesto pendidikan oleh Parti BERSAMA yang dipimpin oleh Sdr, Rafizi Ramli ini, saya fikir ada satu perkara yang lebih penting daripada sekadar soal setuju atau tidak setuju, iaitu adakah kita benar-benar memahami bagaimana pendidikan negara ini bergerak?

Kerana pendidikan negara bukan projek lima tahun. Pendidikan ialah projek generasi. Itu perkara pertama yang perlu kita faham sebelum kita berbicara tentang sasaran mahu berada dalam quartile teratas PISA ataupun menjadikan pendidikan awal kanak-kanak bersifat universal.

Secara jujurnya, sebagai seorang yang melihat pendidikan daripada kaca mata profesional dan dasar, saya mengalu-alukan mana-mana manifesto yang cuba mengangkat pendidikan sebagai agenda utama negara. Itu sesuatu yang baik. Kita memang perlukan politik yang bercakap tentang pendidikan, bukan sekadar politik kuasa dan sentimen semasa.

Tetapi dalam masa yang sama, kita juga perlu berani bertanya soalan yang lebih mendalam.

Adakah kita benar-benar memahami skala sebenar sistem pendidikan Malaysia?

Atau kita terlalu mudah melihat pendidikan seperti sebuah projek pentadbiran biasa yang boleh diubah hanya dengan satu pengumuman manifesto?

Hakikatnya sistem pendidikan Malaysia bukan kecil. Kita bercakap tentang hampir 500 ribu warga pendidikan, lebih lima juta murid, puluhan ribu institusi pendidikan, pelbagai kategori sekolah, jurang bandar dan luar bandar, cabaran kemiskinan, teknologi, latihan guru, kurikulum dan macam-macam lagi. Ini bukan ekosistem kecil.

Sebab itu reformasi pendidikan bukan kerja romantik politik.

Ia kerja yang perlahan, kompleks dan memerlukan kesabaran nasional.

Dalam manifesto BERSAMA, antara agenda yang paling mendapat perhatian ialah pendidikan awal universal bermula usia empat hingga lima tahun. Secara prinsip, siapa yang tidak setuju? Seluruh dunia sudah lama mengakui bahawa pendidikan awal kanak-kanak merupakan pelaburan paling penting dalam pembangunan manusia.

Tetapi persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia?

Maksud saya begini. Saya berikan konteksnya. Tahukah kita bahawa untuk enrolmen umur enam tahun ke Tahun Satu sendiri, kadar penyertaan masih belum menyeluruh? Kurang lebih, dalam 1/4 sahaja yang menyambutnya. Dan, Tahukah kita bahawa kerajaan pada hari ini pun masih berkongsi tanggungjawab besar bersama sektor swasta, NGO dan komuniti dalam menyediakan pendidikan awal kanak-kanak?

Maksudnya, bila kita bercakap tentang “universal”, kita sebenarnya bercakap tentang kecukupan guru, bangunan, latihan, pengangkutan, pemakanan, sokongan ibu bapa, dan dana yang sangat besar.

Ini bukan sekadar dasar. Ini pembinaan ekosistem nasional.

Dan di sinilah kadang-kadang politik suka simplistik, mempermudahkan perkara yang sebenarnya sangat rumit.

Saya tidak mengatakan ia mustahil. Tidak. Bahkan saya fikir Malaysia memang perlu bergerak ke arah pendidikan awal universal. Tetapi masyarakat juga perlu jujur bahawa reformasi seperti ini mengambil masa yang panjang. Mungkin satu dekad. Mungkin lebih.

Sebab pendidikan bukan seperti melancarkan aplikasi digital yang boleh terus digunakan esok hari. Ia melibatkan manusia, & kepercayaan masyarakat.

Dalam konteks dasar dan sistem pendidikan di Malaysia pula, kita tidak boleh bercakap seolah-olah sistem ini bermula daripada kosong. Pendidikan negara ini ada sejarah panjang, ada memori dasar dan ada kesinambungan falsafahnya sendiri. Bermula daripada Laporan Razak, Laporan Rahman Talib, Jawatankuasa Kabinet 1979 sehinggalah kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025 dan kini Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035. Semua ini menunjukkan bahawa pendidikan negara sebenarnya sentiasa berada dalam proses reformasi.

Maknanya, isu seperti PISA ini bukan benda baru. Sejak PPPM 2013–2025 diperkenalkan lagi, Malaysia memang sudah menetapkan sasaran untuk memperbaiki kedudukan dalam pentaksiran antarabangsa. Maknanya aspirasi untuk berada dalam kelompok teratas dunia itu sudah lama wujud dalam dasar pendidikan negara.

Namun selepas lebih sedekad pengalaman, saya fikir kita belajar satu perkara penting. Kita tidak perlu terlalu obses dengan pentaksiran antarabangsa.

Ya, PISA penting. Tetapi PISA bukan segala-galanya.

Dunia pendidikan hari ini mempunyai pelbagai bentuk pentaksiran antarabangsa seperti TIMSS, PIRLS, SEA-PLM dan sebagainya. Dalam negara pula kita ada sistem pentaksiran sendiri seperti SPM, STPM, pentaksiran bilik darjah dan pelbagai instrumen pengukuran lain, terbaharu, Matriks Pembelajaran Malaysia. Maknanya pendidikan tidak boleh diukur dan dimaknakan semata-mata hanya melalui satu ranking global daripada satu pengukuran sahaja.

Yang lebih membimbangkan saya ialah apabila sesebuah negara mula terlalu obses dengan skor dan kedudukan. Malaysia juga pernah terjebak dengan pemikiran sebegini.

Tahukah anda banyak negara akhirnya mula “mengajar untuk peperiksaan antarabangsa”? Ada negara yang memberi latihan khusus format PISA. Ada yang terlalu menekankan teknik menjawab, kelas tusyen khas. Ada yang menggunakan pendekatan statistik dan pemilihan sampel secara taktikal menguntungkan mereka.

Akhirnya apa yang berlaku?

Sistem pendidikan menjadi terlalu berorientasikan angka.

Sedangkan pendidikan sepatutnya membina manusia, bukan sekadar menghasilkan skor.

Perlu ke kita begitu?

Perlu ke kita terlalu tertekan mahu mengejar ranking sehingga terlupa bahawa pendidikan juga berkaitan akhlak, identiti nasional, kreativiti, kesejahteraan emosi dan nilai kemanusiaan? Soalan ini, kita kena ikhlas menjawabnya.

Ini persoalan besar yang perlu dibincangkan.

Kadang-kadang kita terlalu kagum dengan negara yang tinggi skor PISA, tetapi kita lupa melihat tekanan hidup pelajarnya, budaya pembelajaran yang terlalu kompetitif atau krisis sosial yang mereka hadapi.

Sebab itu saya berpandangan, sasaran pendidikan perlu bersifat seimbang. Kita boleh ada aspirasi antarabangsa. Kita boleh menetapkan sasaran besar. Itu penting supaya sistem tidak menjadi selesa.

Tetapi jangan sampai kita terperangkap dengan obsesi ranking.

Yang lebih penting ialah peningkatan yang konsisten.

Adakah murid kita semakin baik daripada sebelumnya? Adakah jurang pendidikan semakin mengecil? Adakah akses semakin adil? Adakah guru semakin berkualiti? Adakah budaya membaca semakin kuat? Adakah sekolah semakin mampu membina pemikiran?

Itu ukuran yang lebih penting sebenarnya.

Tambahan pula, kita sendiri belum mencapai sasaran satu pertiga teratas yang pernah digariskan dalam PPPM. Jadi apabila muncul sasaran mahu berada dalam satu perempat teratas pula, ia kedengaran agak terlalu ambitious dalam konteks realiti semasa.

Bukan mustahil. Tetapi ia memberi gambaran seolah-olah PISA itu menjadi fokus utama pendidikan negara.

Sedangkan pendidikan negara tidak boleh dibina hanya untuk memenuhi satu instrumen pengukuran antarabangsa.

Kalau tidak, kita akan memberi gambaran yang salah kepada masyarakat, seolah-olah mutu pendidikan hanya diukur melalui satu ranking global.

Padahal sistem pendidikan yang baik jauh lebih kompleks daripada itu.

Hari ini pun Malaysia masih berdepan persoalan besar berkaitan pembiayaan pendidikan. Peruntukan pendidikan negara masih sekitar 3 hingga 3.5 peratus daripada KDNK, sedangkan banyak negara maju memperuntukkan sehingga 5 hingga 6 peratus untuk pendidikan.

Maksudnya kalau kita benar-benar serius mahu memperkukuh pendidikan awal, meningkatkan mutu sekolah dan memperbaiki pencapaian murid, maka perbahasan paling besar sebenarnya ialah, sejauh mana negara benar-benar sanggup melabur untuk peningkatan pendidikan?

Kerana akhirnya pendidikan bukan soal slogan.

Ia soal keberanian politik untuk menentukan keutamaan negara. Ya, maknanya kek ekonomi kita, diberikan sekali ganda lebih untuk sektor pendidikan. Berani?

Jadi akhirnya, saya melihat manifesto pendidikan BERSAMA ini sebagai satu usaha yang baik untuk membuka perbincangan nasional dan mengangkat semula pendidikan sebagai agenda penting negara. Tetapi dalam masa yang sama, kita juga perlu berhati-hati supaya pendidikan tidak menjadi sekadar retorik politik yang terlalu idealistik tanpa memahami realiti besar ekosistem pendidikan Malaysia yang sangat kompleks dan memerlukan kesinambungan jangka panjang.

Saya juga berharap pendidikan tidak dipolitikkan secara sempit. Apa sahaja impian, manifesto dan cita-cita berkaitan pendidikan sepatutnya bertujuan menambah baik mutu pendidikan negara demi masa depan anak-anak kita. Hari ini kita sudah mempunyai Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035. Jadi saya lebih melihat keperluan untuk parti-parti politik menambah nilai, melengkapkan dan memperkukuh rancangan sedia ada tersebut, bukan bergerak dalam naratif yang terpisah-pisah mengikut musim politik. Dengan kata lain, ‘seronok sembang’ sahaja.

Kerana akhirnya, pendidikan bukan projek satu penggal politik. Pendidikan ialah projek masa depan negara yang memerlukan kestabilan, kesabaran dan kesepakatan nasional.

DR

image

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top