1. Merujuk kepada dapatan PISA 2022, antara langkah yang dicadangkan OECD untuk mendapatkan sistem pendidikan yang berdaya tahan ialah untuk memastikan sokongan tambahan diberikan kepada murid yang menghadapi kesukaran, namun tidak perlu menyediakan sistem yang memerlukan pengulangan tahun.
2. Penekanan pada sokongan tambahan dan penghindaran pengulangan tahun dapat membantu mencipta persekitaran pembelajaran yang lebih positif. Umum maklum bahawa pelajar yang diberikan sokongan tambahan cenderung mencapai prestasi yang lebih baik. Walau bagaimanapun, sistem pendidikan yang melibatkan lebih banyak pengulangan tahun cenderung menunjukkan prestasi matematik purata yang lebih rendah.
3. Dapatan PISA 2022 menunjukkan guru dalam sistem pendidikan dengan sistem tiada pengulangan tahun memberikan sokongan yang lebih besar kepada pelajar. Pelajar dalam sistem pendidikan ini lebih cenderung melaporkan bahawa guru matematik mereka memberikan sokongan dan mereka memiliki hubungan yang baik dengan guru mereka berbanding pelajar dalam sistem pendidikan yang menggunakan pengulangan tahun. Maka, justifikasi yang menyatakan bahawa pengasingan akan memberikan manfaat kepada murid yang lemah untuk ‘dibantu dengan lebih baik’, menurut OECD PISA, ianya tidak berlaku begitu.
4. Selain itu, sokongan kolaboratif rakan sebaya dapat diperoleh apabila murid berada dalam kelompok pelbagai keupayaan kognitif dan bakat. Dalam kes Malaysia, walaupun pengasingan kelas mengikut keupayaan kognitif telah dimansuhkan sepenuhnya mulai 2019, namun dapatan PISA 2022 menunjukkan tidak begitu halnya di sekolah-sekolah.
5. Dalam konteks Malaysia, PISA 2022 menunjukkan 29.6% murid melaporkan mereka hadir ke sekolah yang mana murid dikelompokkan mengikut keupayaan, dan ini adalah jauh lebih tinggi daripada purata negara OECD, iaitu dalam 6.7%. Maksudnya, dasar tersebut tak diikuti pun oleh pentadbir sekolah.
6. Sedangkan, kebanyakan negara berpencapaian tinggi seperti Singapura, Finland dan Korea tidak mengamalkan pengelompokkan murid mengikut keupayaan. Jika hujah mengatakan saiz kelas di Singapura atau Finland kecil, namun saiz kelas di Korea sebenarnya tidak jauh berbeza dengan Malaysia.
7. Satu lagi yang menarik untuk diperhatikan adalah sistem pendidikan di Denmark, Greece, Iceland, Malaysia, Chinese Taipei, Thailand, Singapore, dan Sweden menunjukkan hubungan negatif yang kuat antara kehadiran di prasekolah dan pengulangan gred.
8. Dengan kata lain, di negara-negara ini, pelajar yang menghadiri prasekolah lebih cenderung untuk mengelakkan pengulangan tahun. Menurut data laporan PADU 2022, di Malaysia, sekitar 85 peratus sahaja enrolmen murid dalam pendidikan awal prasekolah. Jika dikirakan, menunjukkan sekitar 65,000 murid tidak mendapat akses kepada pendidikan awal.
Jadi, saya rumuskan, berikan sokongan kepada yang perlu, jangan guna sistem pengulangan kelas, campurkan murid mengikut pelbagai keupayaan kognitif, dan pastikan murid bersekolah tadika.





