(1) Kalau kita bercakap tentang penghargaan kepada penjawat awam, soalan pertama yang biasanya muncul dan menjadi indikator ialah, “Berapa bulan bonus?”
Setengah bulan? Sebulan? Dua bulan?
Atau… berapa ringgit?
Itu biasa.
Tetapi kalau kita mahu melihat perkara ini dengan sedikit lebih jauh, sejarah penghargaan kepada penjawat awam sebenarnya bukan sekadar cerita tentang bonus.
Ia tentang gaji. Tentang imbuhan. Tentang sistem saraan. Dan paling penting, tentang bagaimana sesebuah kerajaan melihat peranan penjawat awam dalam pembangunan negara.
Jadi saya cuba tengok perkara ini dari sudut yang sedikit berbeza.
Bukan siapa paling banyak beri bonus.
Tetapi…
siapa sebenarnya yang paling banyak mengubah kehidupan penjawat awam?
(2) Kita undur 30 tahun ke belakang.
Kita mulakan pada awal 1990-an.
Pada 1991, ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, kerajaan mula bergerak ke arah pembaharuan besar dalam sistem saraan penjawat awam.
Hasilnya ialah Sistem Saraan Baru (SSB) yang berkuat kuasa pada 1 Januari 1992.
Ini titik penting.
Sebab SSB bukan sekadar cerita tentang naik gaji. Ia memperkenalkan struktur saraan yang lebih tersusun, gaji asas, elaun tetap dan komponen berubah, termasuk IMBUHAN TAHUNAN yang antara lainnya mengambil kira keadaan ekonomi dan kedudukan kewangan kerajaan.
Dan bermulalah satu era baharu dalam pemberian imbuhan kepada penjawat awam.
1993 — Setengah bulan gaji, minimum RM400.
1994 & 1995 — 1 bulan gaji, minimum RM600.
1996 & 1997 — 1 bulan gaji, minimum RM700.
Nampak?
Daripada setengah bulan, menjadi satu bulan.
Jadi kalau kita mahu mencari satu titik penting dalam sejarah moden saraan penjawat awam, 1991–1992 memang tidak boleh diketepikan.
(3) Kemudian datang penghujung 1990-an.
Era Krisis Kewangan Asia.
Ekonomi tertekan. Kerajaan menjadi lebih berhati-hati.
Maka pada 1998, Bantuan Khas Kewangan yang diberikan ialah RM400.
Untuk 1999 pula, Imbuhan Tahunan ialah satu bulan gaji atau minimum RM1,000, termasuk RM600 Bantuan Khas Kewangan.
Tahun 2000 pula, Imbuhan Tahunan kembali kepada setengah bulan gaji.
Mungkin begitulah rupa sebuah zaman apabila setiap ringgit kerajaan perlu dikira berkali-kali.
Saya tidak mahu menghukum zaman itu. Keadaan ekonomi memang berbeza.
Tetapi kalau kita lihat angka-angka ini, kita boleh nampak satu perkara, iaitu penghargaan kepada penjawat awam sangat bergantung kepada kemampuan negara.
Dan selepas itu, cerita mula berubah.
(4) Kemudian datang era Tun Abdullah Badawi.
Dan kalau kita bercakap tentang penghargaan kepada penjawat awam dari sudut bayaran tunai, era Pak Lah memang sukar untuk tidak disebut.
Imbuhan Tahunan berserta Bayaran Khas Prestasi diteruskan.
2004 & 2005 — 1 setengah bulan bagi pegawai bergaji sehingga RM1,000, manakala yang bergaji lebih RM1,000 menerima satu bulan atau minimum RM1,500.
Tetapi tahun 2006 lebih menarik.
Mereka yang berpendapatan sehingga RM750 menerima dua bulan gaji.
Yang berpendapatan lebih tinggi pula menerima satu bulan gaji atau minimum RM1,500.
Kemudian pada 2007, berlaku pula pelarasan gaji yang sangat besar di bawah SSM.
JUSA — 7.5%
Pengurusan & Profesional — 15%
Sokongan I — 25%
Sokongan II — 35%
Masuk 2008, satu bulan gaji atau minimum RM1,000.
Kemudian kepimpinan negara berubah.
2009 — RM500.
Istilahnya juga berubah kepada “Bantuan Khas Kewangan”, berbanding Imbuhan Tahunan atau Bayaran Khas Prestasi.
Dan di sinilah kita nampak satu lagi perubahan dalam sejarah penghargaan kepada penjawat awam.
Daripada bonus yang dikira berdasarkan gaji, kepada bayaran khas dalam jumlah tertentu.
(5) Selepas Pak Lah, datang pula era Najib.
Pada 2010 dan 2011, penjawat awam menerima pelbagai bentuk bayaran khas, berjumlah RM1,000.
Kemudian pada 2012, berlaku lagi pelarasan gaji yang besar di bawah SSM, antara 7% hingga 13%, mengikut kumpulan perkhidmatan.
Imbuhan Tahunan juga diberikan semula dan dibayar secara dua kali, berjumlah satu bulan gaji.
2013 & 2014 — Setengah bulan gaji, ditambah RM500 Bayaran Khas.
2015 — RM500.
2016 — RM1,000.
2017 — RM1,500.
Tetapi era Najib juga mempunyai satu bayang-bayang besar yang tidak boleh kita lupakan.
1MDB.
Skandal itu menjadi noda besar kepada pentadbirannya dan maruah Malaysia di mata dunia, dengan implikasi kewangan yang masih perlu diuruskan negara.
Kita boleh mengakui sesuatu yang baik dalam sesebuah pentadbiran. Pada masa yang sama, kita juga tidak perlu menutup mata terhadap kesalahan yang besar.
(6) Selepas 2018, kerajaan berubah.
Sebelum ini, Perdana Menteri bertukar, tetapi kerajaan masih datang daripada parti pemerintah yang sama.
Kali ini berbeza.
Kerajaan bertukar.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan kemudian Tengku Zafrul meneruskan beberapa bentuk pemberian khas kepada penjawat awam dalam keadaan ekonomi dan fiskal yang berbeza.
2018 — RM1,000
2019 — RM950
2020 — RM1,000
2021 — RM1,100
2022 — RM1,200
(7) Tetapi ada satu perkara kecil yang menarik perhatian saya.
Sejak 2013, “bahasanya” berubah.
Daripada IMBUHAN Tahunan, kepada Bayaran Khas PRESTASI, kemudian PEMBERIAN Khas, BANTUAN Khas, dan akhirnya BANTUAN Khas Kewangan.
Bahasa mungkin kecil.
Tetapi kadang-kadang bahasa memberitahu kita bagaimana sesuatu perkara sedang difikirkan.
Dulu imbuhan.
Akhirnya jadi bantuan.
Entahlah…
Perasaan saya sahaja barangkali.
(8) Kemudian pada 2022, Anwar kembali.
Kali ini bukan lagi sebagai Menteri Kewangan seperti tiga dekad sebelumnya.
Tetapi sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dalam sebuah kerajaan gabungan yang lebih kompleks selepas PRU15.
Pada 2023, penjawat awam menerima RM600 Bantuan Khas Aidilfitri, selain beberapa manfaat yang telah diumumkan sebelumnya.
Kemudian datang 2024.
Penjawat awam Gred 56 dan ke bawah menerima RM2,000 Insentif Awal.
Kemudian RM500 lagi sempena Aidilfitri.
Jumlahnya RM2,500 bagi kumpulan tersebut.
2023 — RM1,300
2024 — RM2,500
2025 — RM1,000
Tetapi sekali lagi…
Saya rasa bonus itu bukanlah cerita paling besar.
Cerita yang lebih besar ialah…
SSPA.
Sistem Saraan Perkhidmatan Awam.
(9) SSPA membawa pelarasan gaji keseluruhan sebanyak 15% bagi kumpulan Pelaksana dan Pengurusan & Profesional, dilaksanakan secara berfasa.
Gaji permulaan terendah pula dinaikkan kepada RM1,500.
Dan ada satu lagi perkara menarik tentang SSPA.
Kenaikan itu tidak dibuat sekali gus.
8% mulai Disember 2024.
Kemudian 7% lagi mulai Januari 2026.
Secara rasmi, jumlah pelarasan ialah 15%.
Tetapi Fasa 2 dikira atas gaji yang sudah menerima Fasa 1. Ditambah pula dengan Pergerakan Gaji Tahunan (PGT).
Jadi kesan sebenar kepada gaji seseorang boleh menjadi lebih tinggi, dalam keadaan tertentu sekitar 18% hingga 21% atau lebih, bergantung pada gred dan pergerakan gaji untuk kumpulan profesional.
Bermakna, ini kenaikan paling tinggi dalam sejarah perkhidmatan awam.
(10) Dan di sinilah kita perlu bezakan dua perkara. Bonus ini sifatnya one-off. Tetapi struktur gaji yang lebih baik memberi kesan setiap bulan.
Dan di sinilah juga saya melihat sejarah yang menarik.
SSB — 1992.
SSPA — 2024.
Tiga puluh dua tahun terpisah.
Dua zaman yang sangat berbeza.
Tetapi pada kedua-duanya, Anwar berada pada titik perubahan besar dalam sistem saraan penjawat awam.
Nampak cara kerja Anwar apabila menjawat Menteri Kewangan?
Salah satu perkara yang konsisten ialah perhatian kepada sistem saraan, bukan sekadar pemberian sekali-sekala.
Bagi saya, ini beza antara:
“Bagi bonus.”
dengan
“Bina sistem.”
(11) Jadi…
Siapa sebenarnya paling menghargai penjawat awam?
Kalau ukurannya jumlah penghargaan tunai, era Pak Lah memang sangat kuat.
Kalau kita melihat pelarasan gaji, era Najib juga mempunyai pencapaian yang besar.
Tetapi kalau kita melihat kepada pembaharuan sistem saraan, Anwar mempunyai satu kekuatan yang sukar dinafikan.
Kesan perubahan sistem bukan setakat untuk tahun itu.
Ia boleh mempengaruhi gaji dan saraan penjawat awam untuk bertahun-tahun selepas itu.
Dan beliau muncul dalam dua titik masa yang sangat penting dalam sejarah saraan penjawat awam:
SSB pada 1992.
Dan…
SSPA pada 2024.
(12) Tetapi akhirnya, mungkin soalan yang lebih penting bukanlah siapa paling banyak memberi bonus.
Sebab…
Kerajaan berubah.
Perdana Menteri berubah.
Menteri berubah.
Dasar berubah.
Bonus naik dan turun.
Tetapi ada satu perkara yang mesti kita jaga bersama.
Dan ini perkara yang saya kira amat utama:
KESTABILAN DAN KEMAKMURAN NEGARA.
Anwar, Pak Lah dan Najib dapat memberikan pelbagai bentuk imbuhan kerana negara pada zaman masing-masing mempunyai ruang ekonomi dan fiskal untuk berbuat demikian.
(13) Sebab itu, kalau kita mahu penjawat awam terus dihargai, jangan hanya fikir tentang bonus.
Jaga negara yang membolehkan bonus itu diberikan.
Kita boleh berbeza politik.
Kita boleh mengkritik kerajaan.
Kita boleh memilih pemimpin yang berbeza.
Tetapi jangan kerana perbezaan itu kita memecah-belahkan masyarakat, menanam kebencian dan mencalarkan kanvas kenegaraan yang dibina oleh generasi terdahulu.
Jaga kestabilan.
Jaga kemakmuran.
Jaga negara.
Kerana daripada situlah datangnya ruang untuk kerajaan menjaga rakyat.
Dan semua yang kita nikmati hari ini, pada akhirnya, adalah nikmat Tuhan yang perlu kita syukuri dan pelihara bersama.
DR




