(1) Dalam tulisan sebelum ini, saya menulis tentang “Siapa sebenarnya paling menghargai penjawat awam?”
Dalam artikel itu, saya mengangkat Anwar dan Pak Lah sebagai antara tokoh Menteri Kewangan yang memberikan impak besar kepada penjawat awam.
Ada yang tidak bersetuju dengan saya. Barangkali sebab itu ada yang bertanya kembali,
“Siapa pula yang menghapuskan pencen penjawat awam?”
(2) Kalau mahu menjawab secara jujur, jawapannya tidak boleh sekadar menunjuk kepada seorang Perdana Menteri atau sebuah kerajaan.
Persoalan mengenai kelestarian skim pencen sebenarnya sudah lama dibincangkan. Malah Anwar sendiri pernah menjelaskan bahawa isu ini sudah dibincangkan sejak 1990-an, ketika beliau pernah menjadi Menteri Kewangan.
Kemudian pada 2019, kajian reformasi pencen oleh JPA telah dibawa ke peringkat Kabinet, ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Antara perkara yang dibincangkan ialah pengambilan baharu melalui lantikan kontrak dan perubahan kepada model caruman seperti KWSP.
Tetapi ia tidak dilaksanakan ketika itu.
Kerajaan bertukar.
(3) Kemudian pada 2023, isu ini kembali menjadi keputusan dasar yang lebih konkrit.
Mulai 1 Februari 2024, pengambilan baharu penjawat awam dibuat melalui Lantikan Kontrak Interim.
Tetapi ada satu perkara penting yang sering terlepas pandang.
Kontrak interim bukan sistem akhir.
Ia ialah jambatan SEMENTARA MENUNGGU KAEDAH LANTIKAN TETAP BAHARU dimuktamadkan.
Sebab itu saya rasa kurang tepat kalau kita mengatakan,
“Anwar menghapuskan pencen penjawat awam.”
Lebih tepat, Anwar meneruskan perbincangan reformasi pencen yang sudah berlangsung lama dan mengambil langkah paling nyata setakat ini terhadap pengambilan generasi baharu.
TETAPI, MODEL LANTIKAN TETAP BERCARUM MASIH BELUM DIMUKTAMADKAN.
(4) Dan pada saya, persoalan yang lebih besar bukan siapa yang boleh kita jadikan villain untuk memenuhi selera politik kita.
Sebenarnya, villain dalam cerita ini ialah kemampuan fiskal negara.
Bayaran faedah persaraan kerajaan sudah mencecah sekitar RM33.7 bilion pada 2024 dan dijangka terus meningkat.
Kita masih ada kemampuan, kah?
Atau kita sebenarnya sudah sampai ke tahap terpaksa membuat pilihan yang tidak popular?
(5)
Sebab itu kita perlu bertanya lebih daripada sekadar:
“Kenapa pencen hendak diubah?”
Kita juga perlu bertanya,
Berapa banyak wang negara hilang kerana rasuah?
Berapa banyak ketirisan?
Berapa banyak pembaziran?
Berapa banyak projek terlebih kos?
Berapa banyak wang rakyat yang disakau?
Dan berapa banyak ruang fiskal yang boleh diwujudkan kalau kita benar-benar melawan RASUAH, KETIRISAN, SAKAU DAN KLEPTOKRASI?
Kalau wang negara cukup, lebih banyak ruang akan ada untuk membayar gaji, bonus dan faedah persaraan yang lebih baik.
Kalau wang negara bocor, akhirnya rakyat juga yang diminta berkorban.
Sebab itu reformasi pencen mesti datang bersama REFORMASI TATAKELOLA.
(6) Dan bagaimana pula dengan pencen Ahli Parlimen dan Anggota Pentadbiran?
Ini memang sering menjadi polemik.
Pada 2024, bayaran persaraan kepada Anggota Pentadbiran, Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Rakyat berjumlah sekitar RM80.71 juta, manakala pencen terbitan sekitar RM27.09 juta.
Keseluruhannya kira-kira RM107.8 juta setahun.
Nampak besar?
Ya.
Tetapi dibandingkan dengan keseluruhan bayaran faedah persaraan kerajaan sekitar RM33.7 bilion, skalanya hanya sekitar 0.3 peratus.
Bumi dengan langit.
(7) Jadi, kalau pencen politik dimansuhkan sekalipun, ia tidak akan menyelesaikan masalah fiskal pencen negara.
Penjimatan itu ada.
Tetapi kecil berbanding keseluruhan tanggungan.
Namun dari sudut PRINSIP, ia tetap besar.
Ahli Parlimen dan Anggota Pentadbiran ialah pemimpin masyarakat. Mereka berhadapan dengan rakyat setiap masa, termasuk menerima aduan, permohonan bantuan, masalah pendidikan, kesihatan, pekerjaan, rumah, bencana dan macam-macam lagi.
Apabila penjawat awam generasi baharu diminta menerima perubahan skim persaraan atas alasan kemampuan negara, wajarlah masyarakat bertanya,
Pemimpin yang membuat keputusan itu juga bersedia berkongsi beban yang sama?
(8) Perkara ini sebenarnya pernah dibuka oleh kerajaan untuk dikaji.
Anwar sendiri pernah menyatakan sukar dirasionalkan jika pencen penjawat awam diubah tetapi orang politik diberikan pengecualian.
Namun, ia masih memerlukan penelitian undang-undang dan BELUM DIMUKTAMADKAN.
Jadi isu ini bukan sekadar cakap-cakap.
Tetapi jangan pula kita mengatakan pencen ahli politik sudah dimansuhkan.
Belum.
Dan jangan pula kita mengatakan pencen penjawat awam sudah dihapuskan untuk semua.
Juga tidak.
Yang berubah ialah pengambilan generasi baharu, sementara kerajaan masih memuktamadkan bentuk sistem lantikan dan persaraan yang baharu.
(9) Jadi, kita jangan tersalah sasaran.
Musuh sebenar bukan pencen penjawat awam.
Bukan juga pencen Ahli Parlimen.
Musuh sebenar ialah apabila wang negara bocor, disalahgunakan dan dicuri sehingga negara kehilangan kemampuan untuk menjaga rakyatnya.
RM107.8 juta boleh dijimatkan.
Tetapi kalau mahu benar-benar menyelamatkan masa depan negara, kita mesti mencari BILION-BILION yang hilang kerana kebocoran dan salah urus.
Atas sebab itu, apa sahaja usaha kerajaan untuk melawan rasuah, ketirisan dan memperkukuh tatakelola wajar kita sokong, tanpa mengira siapa Perdana Menterinya. Dari isu 1MDB, TH, FELDA, & lain-lain lagi yang diperlukan. Dan, ya, sudah tentu dalam kerangka rule of law. Kerangka perundangan negara.
(10) Dan penjawat awam sendiri mempunyai peranan penting untuk memastikan amanah, integriti dan aset negara terus dijaga daripada sebarang bentuk kecurangan.
Kerana kestabilan ekonomi, disiplin fiskal, integriti dan tatakelola bukan perkara yang terpisah daripada gaji dan pencen.
Ia adalah asasnya.
Kerajaan boleh bertukar.
Perdana Menteri boleh bertukar.
Skim pencen boleh berubah.
Tetapi satu perkara jangan berubah:
AMANAH TERHADAP WANG RAKYAT.
Kalau amanah itu dijaga, lebih banyak ruang akan wujud untuk kita menjaga rakyat.
(11) Dan mungkin di situlah hikmahnya.
Jangan hanya bertanya siapa mengambil pencen kita.
Tanya juga siapa mengambil wang negara kita.
Yang kedua itu mungkin jauh lebih mahal harganya untuk negara.
DR




