Kalau kita tanya ibu bapa, guru atau pembuat dasar, jawapannya memang pelbagai, daripada buli, tekanan akademik, gajet, obesiti, kesihatan mental. Well, Semuanya betul. Namun apabila kita melihat data OECD 2025, gambaran besarnya jauh lebih konsisten… dan agak menyedihkan. Dua isu paling besar, paling mendesak dan paling meluas di seluruh dunia ialah obesiti dan kekurangan aktiviti fizikal.
Ironinya, kita hidup dalam era paling “connected”, tetapi pada masa sama membesarkan generasi yang paling kurang bergerak, paling banyak duduk, dan semakin jauh daripada pengalaman masa kanak-kanak yang aktif, atau kata lain, paling disconnected.
Dalam konteks Malaysia, dapatan Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengesahkan trend sama. Kita berdepan fenomena malnutrisi dwi-beban, iaitu kadar berlebihan berat badan yang meningkat seiring dengan kadar kebantutan. Ertinya, ada kanak-kanak terlebih makan tetapi kurang nutrisi, dan ada pula yang kekurangan nutrisi asas.
Dalam bahasa yang mudah, mereka tidak makan dengan betul dan mereka juga tidak bergerak secukupnya. Ini bukan semata-mata masalah gaya hidup, tetapi masalah struktur. Kanak-kanak kita dibesarkan dalam ekosistem yang tidak menyokong kesihatan, makanan ultra-proses sentiasa di sekeliling, masa bermain semakin hilang, bandar tidak mesra pejalan kaki, dan budaya sekolah pula terlalu menekankan pencapaian akademik sehingga aktiviti fizikal menjadi sampingan.
Apa yang lebih ketara dalam data OECD ialah jumlah negara yang menyatakan “inadequate physical activity” sebagai cabaran kritikal. Ini mencerminkan satu kebimbangan global bahawa pergerakan, sesuatu yang sangat asas, kini menjadi penentu utama kepada kesihatan mental, sosial dan fizikal kanak-kanak.
Dan di sinilah persoalan sukar muncul, iaitu adakah kita sedang membesarkan generasi yang kehilangan masa kanak-kanak mereka sebelum sempat menikmatinya? Kanak-kanak yang tidak dapat berlari, bermain, memanjat dan meneroka akhirnya terperangkap dalam tubuh yang lemah, emosi yang rapuh dan minda yang mudah tertekan.
Bagaimana pula dengan isu sosial seperti buli dan penderaan? Ia tetap muncul sebagai kebimbangan besar dalam graf OECD, dan dalam konteks kita, Malaysia mengambil langkah serius mengenainya. Tahun ini, kerajaan meluluskan RUU Anti-Buli 2025, iaitu satu reformasi penting yang memberi definisi undang-undang yang jelas, mekanisme pelaporan lebih kukuh dan perlindungan mangsa yang lebih sistematik.
Seiring itu, KPM memperkukuh pelaksanaan Child Protection Policy serta Garis Panduan Sekolah Selamat, memastikan setiap sekolah mempunyai prosedur pencegahan, pelaporan dan intervensi selaras dengan Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).
Namun apabila semua data dan dasar ini ditenun bersama, satu hakikat muncul dengan jelas. Cabaran paling besar bukan pada kanak-kanak. Ia pada sistem yang membentuk kehidupan mereka. Kita terlalu lama memaksakan budaya peperiksaan sehingga merampas ruang untuk mereka bergerak, bermain, berkawan dan berkembang secara holistik. Kita mengukur kecemerlangan melalui kertas soalan tetapi meminggirkan kecergasan tubuh, keseimbangan emosi, kreativiti dan empati, aspek yang menentukan kualiti hidup seorang insan.
Jika kita benar-benar ingin menangani obesiti, masalah kesihatan mental dan risiko sosial, kita perlu berani melepaskan mentaliti lama bahawa “anak berjaya ialah anak yang skor A”. Sebaliknya, kita harus bergerak kepada naratif baharu, iaitu “anak yang sihat, seimbang, dan berkembang ialah masa depan negara.”
Tanpa keberanian ini, sekolah akan terus berputar dalam ritual peperiksaan, murid terus duduk diam enam jam sehari, kemudian disogok kerja rumah dan dihantar ke tuisyen. Itu bukan pendidikan, itu pengurusan jadual orang dewasa yang dipaksa ke atas kanak-kanak.
Akhirnya, isu paling mencabar yang melanda kanak-kanak hari ini bukan sekadar obesiti, kurang aktiviti fizikal atau buli. Isu paling besar ialah kita, orang dewasa, yang belum berjaya membina dunia yang benar-benar memihak kepada perkembangan mereka. Kanak-kanak bergerak apabila dunia membenarkan mereka bergerak. Mereka makan sihat apabila sistem memudahkannya. Mereka selamat apabila kita melindungi mereka dengan dasar yang tegas.
Haluan sebenar terletak pada pilihan kita, sama ada terus mempertahankan struktur lama yang membataskan potensi kanak-kanak, atau berani merangka semula ekosistem yang membolehkan mereka membesar dengan sihat, bebas dan yakin. Masa depan mereka bergantung pada keputusan orang dewasa hari ini, iaitu keputusan yang membezakan antara sekadar berbicara tentang perubahan dan benar-benar melaksanakannya.
Jika tidak, kita akan kembali melakukan perkara yang paling biasa kita lakukan, berpatah balik kepada cara lama, seolah-olah tiada apa yang perlu kita perbaiki.
DR





