KPM LAKSANA LANGKAH-LANGKAH TAMBAHAN UNTUK TINGKATKAN KESELAMATAN INSTITUSI PENDIDIKAN DAN TANGANI ISU DISIPLIN MURID

Kementerian Pendidikan (KPM) ingin memaklumkan beberapa langkah tambahan untuk meningkatkan aspek keselamatan dan menangani isu disiplin murid di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.

Langkah-langkah tambahan berikut akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat:

1. Peruntukan tambahan RM5 juta diperuntukkan bagi tujuan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah yang telah dikenal pasti di seluruh negara. Ini adalah tambahan kepada peruntukan RM3 juta yang diperuntukkan untuk pemasangan CCTV di sekolah sebelum ini.

2. Seramai 10,096 guru baharu termasuk lebih 500 orang Guru Bimbingan dan Kaunseling akan ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh negara pada bulan November 2025. Ia dapat membantu memenuhi keperluan semasa dan meningkatkan aspek psikososial murid.

3. Seramai 600 orang Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa akan dilantik dalam kalangan personel MySTEP bertujuan meningkatkan pemantauan keselamatan murid asrama sekaligus mengurangkan beban tugas Warden Asrama.

4. Jawatan kuasa Permuafakatan di peringkat sekolah akan diperkukuhkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut merangkumi fungsi Pegawai Penghubung Sekolah. PDRM akan melaksanakan pemantauan keselamatan di semua institusi pendidikan KPM.

5. Fungsi ‘Smart Support Team’ di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan terus diperkasakan bertujuan membantu dari aspek psikososial dalam situasi krisis. Guru-guru akan diberi latihan dan pendedahan berterusan bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan di sekolah.

6. Meningkatkan peranan Pengetua dan Guru Besar serta Jawatankuasa Disiplin dalam menangani isu-isu disiplin murid di sekolah. Pada waktu ini, peraturan dan garis panduan yang sedang berkuat kuasa turut melibatkan kuasa merotan murid, menggantung sekolah dan membuang sekolah.

7. Pengetua dan Guru Besar boleh menurunkan kuasa kepada guru untuk mendisiplinkan murid berdasarkan kepada keperluan. Pada waktu ini KPM sedang dalam proses menggubal semula peraturan disiplin murid.

8. Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) akan diteliti semula bagi tujuan tambah baik. Sistem ini perlu digunakan secara proaktif untuk mengurus isu disiplin termasuk langkah untuk menanganinya. Institusi pendidikan diminta untuk memberi tumpuan khusus kepada tindakan yang perlu diambil bagi menangani isu disiplin yang berbangkit.

9. Suara guru dan murid di sekolah perlu diberi perhatian. Sesi pertemuan dan dialog dengan murid dan guru perlu diadakan untuk mengetahui keperluan dan perkara yang berbangkit. Inisiatif ‘kotak suara murid’ adalah selaras dengan advokasi suara kanak-kanak seperti yang disyorkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

10. Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) akan dimuktamadkan dalam tempoh waktu terdekat bertujuan melindungi murid di sekolah.

11. KPM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkukuhkan program saringan kesihatan mental bermula dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam termasuk intervensi dan sokongan psikososial yang berterusan untuk murid.

KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan aspek keselamatan institusi pendidikan dan menangani isu disiplin murid. Semua pihak diseru untuk bekerjasama memastikan hasrat mewujudkan ekosistem selamat di semua institusi pendidikan dapat direalisasikan.

TAMAT

KEMENTERIAN PENDIDIKAN

22 OKTOBER 2025

Sumber: Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia

image
image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top