Bila kita bercakap tentang dakwah, apa sebenarnya yang kita faham? Adakah dakwah itu kerja ustaz sahaja? Atau kerja penceramah agama yang ada tauliah? Atau sekadar mengajak orang “masuk Islam”? Kalau itu definisi kita, mungkin kita sudah terlalu menyempitkan maknanya.
Dakwah pada asasnya ialah seruan kepada kebaikan. Ia adalah ajakan kepada nilai yang benar, kepada akhlak yang baik, kepada kehidupan yang lebih tertib dan beradab. Ia bukan sekadar soal menambah bilangan orang Islam, tetapi membina manusia yang lebih baik. Sebab itu Nabi SAW bersabda, “Sampaikan daripadaku walau satu ayat.” Maksudnya apa? Maksudnya setiap kita ada peranan. Dakwah bukan monopoli “orang agama”.
Tetapi di sinilah pentingnya kita bertanya soalan ini, kita ni nak jadi apa sebenarnya? Nak jadi pendakwah yang membina, atau pendakwah yang memecahkan?
Al-Quran sudah beri panduan yang sangat jelas. “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berdebatlah dengan cara yang terbaik.” Perhatikan perkataan hikmah dan cara yang terbaik. Itu bukan hiasan ayat. Itu disiplin dakwah. Faham kan?
Saya nak perkenalkan sebuah buku klasik dan penting dalam hal ini. Tajuknya, Fiqh Dakwah, karya Muhammad Natsir. Dakwah bukan tentang soal content. Ia juga soal context. Boleh tak kita bercakap dengan nada yang sama di Kuala Lumpur dan Kota Bharu? Boleh tak pendekatan yang sama digunakan di media sosial dan di surau kampung? Tidak semudah itu. Maknanya, bukan sekadar penguasaan Tafaqquh fiddin, tetapi, di sinilah konsep tafaqquh finnas menjadi penting memahami manusia, memahami latar mereka, memahami suasana sosial mereka, apatah lagi latar perundangan, pihak berkuasa tempatan, dll.
Tahukah kita, kadang-kadang mesej itu betul, tetapi cara dan masanya salah? Apa masalahnya apabila kita menyampaikan perkara yang baik tetapi dengan bahasa yang menghina? Apa jadi apabila niat kita baik, tetapi pendekatan kita keras dan tidak beradab? Yang rosak bukan sekadar hubungan, tetapi imej Islam itu sendiri. Nampak?
Islam itu agama rahmah. Kalau dakwah kita mencetuskan kebencian, mencipta permusuhan, menimbulkan ketegangan, kita perlu jujur bertanya, di mana silapnya?
Sudah-sudahlah kita menyangka bahawa keras itu tegas, dan tegas itu mesti kasar. Hikmah bukan lemah. Hikmah ialah kebijaksanaan memilih masa, tempat, bahasa dan pendekatan. Dakwah yang baik mesti dilakukan dengan cara yang baik, bahasa yang baik, masa yang baik, dan tempat yang baik. Ini semuanya perlu seiring.
Kemudian, pernah dengar orang sebut, ‘pendakwah bebas’? Apa itu? Bebas apa? Ya, bebas untuk menyampaikan kebenaran. Tetapi tidak bebas untuk melanggar adab. Tidak bebas untuk menghina. Tidak bebas untuk mencetuskan huru-hara. Tidak bebas untuk mengabaikan undang-undang.
Al-Quran memerintahkan kita taat kepada Allah, Rasul dan ulil amri. Ini bermaksud dakwah juga berada dalam kerangka tertib sosial. Menghormati penguasa dan penguat kuasa bukan bermaksud kita membuta tuli. Tetapi kita tidak membina agama dengan membakar jambatan. Kita membinanya dengan disiplin dan kebijaksanaan.
Dan satu lagi perkara yang sering kita lupa, mencari kedamaian itu lebih afdal daripada mencipta permusuhan. Nabi SAW menyebut bahawa mendamaikan dua pihak yang bertelagah itu lebih utama daripada banyak ibadah sunat. Kenapa? Kerana kerosakan hubungan sosial boleh meruntuhkan lebih banyak perkara daripada yang kita sangka.
Saya nak ajak kita berfikir begini, ye. Dakwah bukan sekadar bercakap. Dakwah ialah ‘menjadi’. To become. Cara kita memandu, cara kita menulis, cara kita berbeza pendapat, itu semua dakwah. Orang tidak menilai Islam hanya melalui ceramah kita. Mereka menilai melalui tingkah laku kita. Seperti yang disebut, Uswatun Hasanah. Contoh yang baik.
Kalau kita benar-benar mahu Islam dihormati, maka kita sendiri mesti mempamerkan akhlak yang menghormati orang lain. Kalau kita mahu masyarakat tenang, dakwah kita mesti menenangkan, bukan mengapi-apikan.
Dan akhirnya, dakwah ialah amanah. Ia bukan pentas untuk populariti. Ia bukan alat untuk mengalahkan pihak lain. Ia adalah usaha membimbing manusia kepada kebaikan, dengan hikmah, dengan sabar, dan dengan kefahaman yang mendalam terhadap realiti.
Boleh tak kita ubah cara kita berdakwah? Boleh tak kita utamakan damai berbanding menang? Boleh tak kita fikir bukan sahaja apa yang kita sampaikan, tetapi bagaimana ia akan diterima?
Kalau kita mampu menjawab soalan-soalan itu dengan jujur, insya-Allah dakwah kita bukan sahaja benar dari sudut isi, tetapi indah dari sudut cara. Dan di situlah kekuatan sebenar Islam terserlah, bukan pada namanya ‘Islam’. Tetapi dari bagaimana rahmah itu dirasai umat.
DR









