Ada yang Pulang, Ada yang Masih Menunggu
(1)
Keputusan eGTukar September 2026 sudah keluar. Kepada rakan-rakan guru yang berjaya, tahniah saya ucapkan. Selepas berbulan-bulan, malah ada yang bertahun-tahun menunggu, akhirnya nama itu muncul juga. Ada yang dapat pulang ke negeri sendiri, ada yang dapat mendekati ibu bapa, pasangan dan anak-anak.
(2)
Kadang-kadang kita lupa, di sebalik satu permohonan eGTukar itu ada cerita manusia. Ada guru yang setiap minggu berulang ratusan kilometer. Ada yang hanya mahu lebih dekat dengan keluarga. Ada yang sudah lama menyimpan harapan untuk balik, bertugas di kampung halaman.
(3)
Saya kongsikan, data September 2026 ini menunjukkan betapa berbezanya tekanan permohonan antara negeri.
Bagi guru menengah, terdapat 4,332 permohonan masuk, tetapi 5,250 permohonan keluar. Bagi guru rendah pula, 4,531 memohon masuk, berbanding 4,661 memohon keluar.
(4)
Tetapi negeri yang paling biasa menarik perhatian saya ialah Kelantan. ![]()
Bagi menengah sahaja, terdapat 1,512 permohonan mahu masuk Kelantan, sedangkan hanya 10 permohonan keluar. Bagi rendah pula 1,491 mahu masuk, berbanding hanya 15 keluar.
Bayangkan hampir 3,000 guru memohon untuk masuk Kelantan, tetapi hanya 25 permohonan keluar daripada kedua-dua kategori. Jadi, kebarangkalian berjaya tu berapa? Sangat sangat sangat kecil.
(5)
Terengganu juga mempunyai pola yang hampir sama. 594 permohonan masuk menengah dan 573 permohonan masuk rendah, berbanding masing-masing hanya 36 dan 78 permohonan keluar.
(6)
Kedah pula menarik. Permohonan masuk tinggi, 347 bagi menengah dan 474 bagi rendah, tetapi pada masa yang sama banyak kekosongan masih ditunjukkan dalam paparan traffic light. Maknanya peluang ada, tetapi persaingan juga bukan kecil.
(7)
Sebaliknya, Johor mempunyai keadaan yang agak menarik. Permohonan keluar sangat tinggi, iaitu 828 guru menengah dan 987 guru rendah. Dalam masa yang sama, traffic light menunjukkan kekosongan bagi banyak kategori opsyen. Jadi Johor nampaknya antara negeri yang lebih terbuka, bergantung kepada opsyen guru.
Saya selalu nasihatkan bakal guru yang akan mendapat penempatan baharu, mintalah untuk mengajar di Johor, selain Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Insya-Allah dapat tempat.
(8)
Begitu juga beberapa kategori opsyen. SMK, SJKC, Pendidikan Islam Menengah dan TVET kelihatan mempunyai kekosongan di banyak negeri. Sebaliknya, laluan SK, Pendidikan Khas dan beberapa opsyen khusus jauh lebih terhad.
Tetapi perlu berhati-hati. Traffic light ini menunjukkan kategori opsyen, bukan terus menunjukkan bahawa sesuatu subjek seperti Matematik, Bahasa Melayu atau Sains diperlukan di negeri tertentu. Jadi jangan terus membuat kesimpulan berdasarkan warna semata-mata.
(9)
Kepada yang berjaya, jangan lupa bersyukur dan tunaikan amanah di tempat baharu. Mungkin pertukaran itu sudah lama dinanti, tetapi di sekolah baharu nanti ada pula anak-anak yang sedang menunggu guru seperti kita.
(10)
Kepada yang belum berjaya, jangan bergusar hati. Jangan anggap tidak berjaya kali ini sebagai
tidak akan berjaya selama-lamanya. Saya biasa dengar ayat seperti, “Saya dah minta banyak kali, masih tak dapat”. Angka yang disebut juga biasanya tinggi.
Sebenarnya, bukan berapa kali minta menjadi perkiraan. Begini, ye..
(11)
Setiap kali, kita akan menyemak, akan sentiasa ada perubahan.
kekosongan berubah atas pelbagai sebab. Guru bersara wajib dan pilihan, guru berpindah dalam daerah dan dalam negeri, keperluan opsyen berubah, dan ada juga pertimbangan khusus seperti kes sakit tenat, kes suami isteri berjauhan, dan kes kecemasan yang berisiko tinggi.
(12)
Ada juga terkait keperluan pelbagai peringkat perjawatan dan umur guru dalam satu-satu sekolah. Misalnya, kita tidak boleh biarkan dalam satu-satu sekolah, semuanya senior, tak ada yang muda, atau sebaliknya. Ketidakseimbangan sebegini juga akan merosakkan dinamika pengurusan dan pentadbiran sekolah.
(13)
Namun, ada pintu yang hari ini tertutup, tetapi mungkin terbuka pada sesi akan datang.
Teruskan memohon. Teruskan berkhidmat. Teruskan berdoa.
Rezeki kita sebagai guru kadang-kadang datang lewat daripada yang kita harapkan.
Tetapi lewat itu bukan bererti tiada.
Insya-Allah, ada rezeki nanti.
DR







