“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya),
dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): “Engkau bukan orang yang beriman” (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak.
Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu dengan memberi salam atau mengucap kalimah Syahadat), lalu Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu.
Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.”
Ayat ini (seperti dalam gambar) ialah firman Allah dalam Surah al-Nisā’, ayat 94. Ia turun dalam konteks peperangan, tetapi mesejnya jauh lebih luas daripada sekadar medan tempur. Ia adalah ayat tentang disiplin moral, tentang integriti keputusan, dan tentang bahaya membuat penilaian terburu-buru terhadap manusia lain.
Allah memulakan dengan panggilan penuh kemuliaan: “Wahai orang-orang yang beriman.” Ini bukan teguran biasa. Ini peringatan kepada orang yang sudah mengaku beriman. Dalam situasi peperangan, emosi memuncak, syak wasangka tinggi, dan harta rampasan menjadi godaan. Lalu Allah menetapkan satu prinsip besar, fatabayyanu, iaitu selidikilah, pastikan, jangan gopoh.
Bayangkan suasana itu. Seorang individu di medan perang memberi salam, atau melafazkan syahadah. Dalam logik ketenteraan biasa, mungkin itu dianggap helah. Tetapi Allah melarang keras sikap tergesa-gesa menuduh, “Engkau bukan orang beriman.” Lebih keras lagi, Allah menyingkap niat tersembunyi, iaitu penegasan, jangan sampai dorongan dunia, harta dan kepentingan, menjadi sebab kita menafikan iman seseorang.
Di sini, Islam membina satu etika yang sangat tinggi,iaitu nyawa dan maruah seseorang tidak boleh ditentukan oleh sangkaan, apatah lagi oleh kepentingan dunia.
Menariknya, Allah mengingatkan, “Kamu dahulu pun seperti itu.” Maksudnya, dahulu orang lain mungkin tidak mengenali keislaman kita. Kita juga pernah berada pada posisi yang diragui. Tetapi Allah memberi nikmat hidayah. Maka bagaimana kita sanggup menafikan peluang itu kepada orang lain?
Kalau kita keluarkan ayat ini daripada konteks peperangan dan bawa ke realiti hari ini, mesejnya sangat tajam. Kita hidup dalam zaman media sosial, zaman tangkap layar, zaman viral. Tuduhan dibuat dalam masa 30 saat. Label diberi dalam satu ayat. “Dia bukan orang baik.” “Dia bukan pejuang.” “Dia bukan Islam sebenar.” Tanpa siasatan. Tanpa tabayyun. Tanpa adil. Ayat ini seolah-olah menjadi tamparan keras kepada budaya menghukum tanpa bukti.
Lebih mendalam lagi, Allah menyebut, “Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.” Ini dimensi integriti dalaman. Bukan hanya soal tindakan zahir, tetapi niat tersembunyi. Adakah kita menolak seseorang kerana prinsip, atau kerana kepentingan? Adakah kita menghukum kerana kebenaran, atau kerana ego?
Bagi saya, ayat ini membentuk tiga prinsip besar dalam pembinaan masyarakat dan juga dalam kepimpinan.
(a) Pertama, tabayyun sebelum tindakan. Dalam apa jua keputusan, pendidikan, pentadbiran, dakwah, politik, jangan gopoh. Data mesti sahih. Maklumat mesti lengkap.
(b) Kedua, jangan merampas hak orang atas dasar sangkaan. Hak hidup, hak reputasi, hak didengar. Maksudnya, jangan jadi ‘terpaling’.
(c) Ketiga, nilai manusia lebih tinggi daripada keuntungan dunia. Jangan sampai agenda, projek, pengaruh atau kedudukan membuatkan kita menutup mata terhadap kebenaran.
Inilah keindahan Islam. Dalam suasana paling tegang, dalam peperangan pun Allah mengajar kita untuk berhati-hati dan berperikemanusiaan. Apatah lagi dalam kehidupan biasa. Ini memang makan dalam.
Ayat ini, pada saya, merupakan asas kepada etika sosial, etika kepimpinan dan etika komunikasi. Dan dalam dunia yang semakin laju menghukum, saya kira kita sangat memerlukan semula roh “fatabayyanu” ini, menyelidik dengan jujur, menilai dengan adil, dan bertindak dengan takut kepada Allah.
Dalam konteks Ramadan, nilai ini menjadi lebih bermakna. Semua orang tahu, diingatkan berkali kali, Ramadan ialah madrasah taqwa yang melatih kita menahan diri, bukan hanya daripada makan dan minum, tetapi daripada menghukum, melabel dan menuduh tanpa kepastian. Jika kita mampu menahan lapar, kita juga sepatutnya mampu menahan ego dan emosi. Inilah roh Ramadan, membina jiwa yang adil, tenang dan berhati-hati kerana sedar bahawa Allah sentiasa memerhati setiap tindakan kita.
DR





