(1)
Tengah hari tadi, saya mendengar ucapan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat. Dato’ Seri menyebut beberapa nama tokoh klasik yang saya sebenarnya tidak kenali, termasuk nama Odysseus, yang sekarang ini tengah hangat ditayangkan melalui filem The Odyssey karya pengarah prolifik, Christopher Nolan.
Maka, saya membuat rujukan. Saya membaca sedikit tentang Odysseus dan Marcus Aurelius.
(2)
Dan semakin saya membaca, saya fikir, sebenarnya banyak sekali yang mirip dengan diri sosok Anwar Ibrahim sendiri.
Bukan kerana Anwar itu Marcus Aurelius. Bukan juga kerana Anwar itu Odysseus.
Tetapi kerana ketiga-tiganya membawa kita kepada satu tema yang sama. Perjalanan manusia menuju puncak, dan persoalan apa yang dilakukan apabila akhirnya sampai ke sana.
(3)
Marcus Aurelius ialah Maharaja Rom yang memerintah dari tahun 161 hingga 180 Masihi. Beliau berada di puncak kuasa sebuah empayar yang sangat besar. Namun, seorang manusia yang mempunyai kuasa sedemikian masih menulis Meditations, satu catatan yang pada asasnya ditulis untuk dirinya sendiri. Ia adalah latihan untuk mengawal kemarahan, menundukkan ego, menerima perkara yang tidak dapat dikawal dan mengingatkan dirinya supaya terus berlaku adil.
Saya kagum dengan perkara ini.
Seorang maharaja pun perlu bermuhasabah.
Atau mungkin lebih tepat, untuk menjadi pemimpin yang hebat, seseorang perlu sentiasa bermuhasabah.
(4)
Beliau boleh mengarahkan tentera, tetapi masih perlu mengarahkan dirinya sendiri. Beliau boleh memerintah manusia, tetapi masih perlu belajar bagaimana untuk kekal manusia.
Di situlah sebenarnya ujian kuasa.
Bukan sekadar bagaimana seseorang mendapat kuasa, tetapi bagaimana dia memastikan kuasa tidak mengubah jiwanya.
(5)
Kemudian, tokoh yang bernama Odysseus.
Dalam epik Homer, Odysseus ialah raja Ithaca yang berangkat berperang ke Troy. Namun perjalanan pulangnya mengambil masa bertahun-tahun, penuh dengan peperangan, kehilangan, godaan, kesilapan dan penderitaan.
Christopher Nolan kini menghidupkan kembali kisah itu dalam The Odyssey, dengan Matt Damon sebagai Odysseus. Filem ini mengangkat kembali kisah klasik tentang seorang raja yang terpaksa menempuh perjalanan panjang sebelum kembali kepada rumah dan keluarganya.
(6)
Yang menarik bagi saya bukan sekadar perjalanan itu. Tetapi hakikat bahawa orang yang pulang dari peperangan epik, yang juga historical, kisah kuda Troy, ya tokoh itu.. tidak lagi sama apabila beliau pulang ke kampung halamannya.
Perjalanan telah membentuknya. 10 tahun berperanan dalam Perang Troy, dan 10 tahun perjalanan pulang…
(7)
Dan di sinilah saya teringat perjalanan Anwar Ibrahim. Kita tidak perlu menganggap Anwar sebagai manusia yang sempurna. Beliau boleh dikritik. Kerajaannya boleh dipersoalkan. Dasarnya boleh diperdebatkan.
Tetapi kita tidak boleh memadam perjalanan hidupnya hanya kerana kita tidak menyukai politiknya.
(8)
Daripada lebih 10 tahun aktivisme mahasiswa dan gerakan belia Islam, hampir 20 tahun memasuki kerajaan, menjadi Timbalan Perdana Menteri, tersingkir daripada kuasa, melalui penjara, hampir 20 tahun memimpin pembangkang, melalui pelbagai pergolakan politik, membina gabungan dan akhirnya kembali ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri.
Perjalanan itu sendiri ialah sebahagian daripada sejarah Malaysia.
(9)
Sebab itu saya kadangkala berasa tidak selesa apabila melihat kecaman terhadap Anwar yang begitu melampau. Seolah-olah sepanjang puluhan tahun kehidupannya, tidak pernah ada satu pun kebaikan yang dilakukan. Seolah-olah segala khidmat bakti kepada negara perlu dipadam hanya kerana seseorang tidak menyukai beliau. Itupun setelah dihasut, difitnah, dimalukan, dihitamkan, dan dibunuh karakter sehingga lunyai bertahun-tahun lamanya.
(10)
Kita boleh tidak suka. Tetapi jangan sampai kebencian membuatkan kita tidak adil. Kritiklah keputusan, tetapi jangan padamkan sejarah.
Pertikaikan dasar, tetapi jangan nafikan jasa. Kita juga perlu cukup jujur untuk melihat apa yang sedang berlaku kepada negara.
Malaysia bukan sebuah negara yang sedang runtuh. Bukalah mata. Buka hati dan paling penting, buka minda. Ekonomi kita misalnya.. terus menunjukkan daya tahan. Pada 2025 misalnya, ekonomi berkembang 5.2%. Pada separuh pertama 2026, pertumbuhan mencapai 5.7%, dengan suku kedua mencatat 6.0%, seperti yang ditunjukkan dalam angka rasmi KDNK terkini. Tertinggi sejak 2014!
(11)
Ini bukan bermakna semua masalah telah selesai. Ya, sudah tentu. Baru tiga tahun setengah pentadbiran Anwar.
Kos sara hidup masih menjadi keresahan. Ketidaksamaan masih wujud. Reformasi masih panjang. Banyak perkara masih perlu diperbaiki.
Tetapi negara yang sedang membaiki dirinya tidak wajar diceritakan seolah-olah semuanya gagal. Seolah-olah lebih 30 tahun Anwar mentadbir.
(12)
Ambil sahaja contoh inisiatif subsidi bersasar. Ia mungkin tidak popular. Tetapi negara tidak boleh selama-lamanya membelanjakan wang awam secara pukal kepada semua orang, termasuk mereka yang tidak memerlukannya.
Setiap ringgit negara ada kos peluangnya.
Jika kita mahu pendidikan yang lebih baik, kesihatan yang lebih baik, infrastruktur yang lebih baik, perlindungan sosial yang lebih kuat dan kewangan negara yang lebih mampan, kita perlu berani membuat keputusan yang kadangkala tidak menghasilkan tepukan hari ini.
(13)
Kepimpinan bukan pertandingan mencari tepukan. Kadangkala pemimpin perlu memilih antara apa yang popular hari ini dengan apa yang lebih baik untuk negara sepuluh atau dua puluh tahun akan datang.
Marcus Aurelius memahami keperluan mengawal diri ketika berada di puncak. Manakala, Odysseus mengajar kita bahawa perjalanan yang panjang boleh mengubah jiwa.
Anwar pula membawa kita kepada versi moden persoalan yang sama, iaitu apakah yang berlaku kepada seorang manusia selepas puluhan tahun jatuh, bangun, kehilangan dan akhirnya kembali ke pusat kuasa?
(14)
Mungkin sebab itu saya rasa kita patut menghargai sosok Anwar. Sudah tentu bukan untuk memujanya. Malah, bukan juga untuk membebaskannya daripada kritikan. Tetapi untuk mengakui bahawa sejarah manusia tidak pernah hitam putih.
Seorang pemimpin boleh melakukan kesilapan dan pada masa yang sama melakukan banyak kebaikan. Seseorang boleh membuat keputusan yang kita tidak setujui dan pada masa yang sama membuat keputusan yang baik untuk negara.
Dan kadangkala, keputusan yang paling penting untuk masa depan memang bukan keputusan yang paling popular hari ini.
Inilah yang mungkin kita lupa apabila terlalu ghairah berpolitik.
(15)
Sejarah bukan sekadar nama dan tarikh. Sejarah ialah cermin.
Marcus Aurelius mengingatkan kita bahawa manusia di puncak kuasa masih perlu bermuhasabah.
Odysseus mengingatkan kita bahawa perjalanan yang panjang membentuk manusia sebelum dia pulang.
Dan Anwar mengingatkan kita bahawa dalam sejarah politik Malaysia, seorang manusia juga boleh melalui perjalanan yang sangat panjang sebelum akhirnya sampai ke tempat yang sekian lama diperjuangkannya.
(16)
Pemimpin, ketika berada di puncak, adakah dia masih mampu melihat rakyat sebagai manusia yang perlu dibela, bukan sekadar manusia yang perlu dipuaskan? Membalas dendam dihina dicaci maki? Atau terus menabur kebaikan?
Dan mungkin kita sebagai rakyat juga mempunyai satu tanggungjawab, adakah kita cukup adil untuk mengakui yang baik, walaupun ia dilakukan oleh orang yang tidak kita sukai?
Sesungguhnya, bersifat adil itu lebih dekat dengan takwa.
Barangkali itulah pelajaran sejarah yang paling sukar.
Dan yang paling mudah kita lupakan.
DR




