Tidak Berhenti Bekerja

(1)

Polisi Perlindungan Murid di sekolah itu penting. Sangat penting. Keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita bukan perkara yang boleh kita kompromi.

(2)

Pekeliling dah nyatakan, warga sekolah dan mana-mana pihak yang berurusan dengan sekolah dan warganya hendaklah menandatangani Aku Janji Kepatuhan Polisi.

Pada masa sama, Ketua Perkhidmatan kita dah berikan jaminan, tiada tindakan tatatertib pun kalau tak sign akujanji tersebut. Saya pilih untuk sign, baik sebagai bapa, baik sebagai yang berurusan dengan murid sekolah.

Yang tak sign, terpulanglah. Pilihan masing-masing.

Jadi, ya, terpulanglah masing-masing. Dah besar panjang, boleh fikir baik buruk. Habis seminggu dua ini, kita bahas mengenai ini.

(3)

Orang kata, “Ada lagi perkara penting, tak perlu beriya sangat dengan satu isu.”

Apa saudara ingat, bila isu ini viral, ingat kerja lain tak berjalan?

Berjalan, tuan-tuan. Banyak yang sedang berjalan.

Sebab itu saya nak kita lihat sedikit jauh daripada apa yang sedang bising di media sosial.

(4)

Ingat tak, mulai sesi persekolahan 2027, anak-anak berumur enam tahun akan mula diberi peluang memasuki Tahun Satu?

Persoalannya, prasarana kita ready?

Ya.

Inilah antara kerja yang sedang dibuat.

(5)

Untuk persediaan sesi 2027, sebanyak 524 projek bilik darjah tambahan sedang dilaksanakan di seluruh negara.

Melibatkan 459 sekolah, dengan 1,780 bilik darjah tambahan dan nilai keseluruhan RM668 juta.

Sebanyak 517 projek sudah menerima Surat Setuju Terima (SST) dan tiga projek telah siap.

Daripada 1,780 bilik darjah itu, 1,255 bilik darjah perdana dan 525 bilik darjah PPKI.

(6)

Maknanya apa?

Maknanya, ketika kita sedang bercakap tentang satu isu, kementerian tidak berhenti bekerja pada isu-isu yang lain.

Ada kerja yang viral.

Ada kerja yang tidak viral.

Tetapi kedua-duanya tetap kerja.

(7)

Malah, kerja yang paling penting kadang-kadang ialah kerja yang tidak masuk media sosial pun.

Merancang enrolmen. Menambah bilik darjah. Menyediakan guru. Memperkukuh pendidikan khas. Menambah baik kurikulum. Menjaga keselamatan. Mengurus kesejahteraan murid dan guru.

Semuanya perlu berjalan serentak.

(8)

Jadi janganlah kita terlalu sibuk dengan perkara sensasi sampai terlupa bahawa kita ini ada tugas yang jauh lebih besar.

Kita ada Ketua Perkhidmatan. KPPM kita sudah memberikan pedoman dan jaminan. Kita ada Ketua Jabatan. Kita ada struktur, peraturan dan disiplin perkhidmatan.

Ikut pedoman. Buat kerja.

(9)

Tuan-tuan, kita sendiri ajar anak-anak kita tentang disiplin, kan?

Kalau ada peraturan, kita patuh.

Kalau tidak faham, kita bertanya.

Kalau ada arahan yang sah, kita laksanakan.

Bukan setiap kali orang di luar sistem bercakap, kita terus hilang arah.

Banyak kerja kita, tuan-tuan.

(10)

Jangan habiskan terlalu banyak tenaga melayan bunyi-bunyi yang tidak membawa kita ke mana-mana.

Kita sedang menyediakan sekolah untuk anak-anak yang akan masuk pada 2027.

Kita sedang bekerja untuk masa depan pendidikan.

Jadi, jangan ukur kerja KPM hanya melalui apa yang viral.

Kerja kita jauh lebih besar daripada itu.

(11)

Dan akhirnya, apabila anak-anak itu datang ke sekolah pada 2027 nanti, mereka tidak akan bertanya apa yang pernah viral pada tahun 2026.

Mereka cuma perlukan perkara ini, iaitu Sekolah yang selamat, Guru yang bersedia. Dan sistem pendidikan yang sudah bersedia menerima mereka.

Itulah kerja kita.

Insya-Allah, kita teruskan usaha.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top