Meluruskan Kefahaman Yang Rosak Tentang Pendidikan

Saya mengambil peluang ini untuk memberikan maklum balas semula atas komen-komen yang saya jumpa dalam medsos. Pada fikiran saya, komen sebegini menunjukkan kesalahfahaman yang serius tentang pendidikan.

“Melentur buluh biar dari rebung, biasakan dengan ujian dan struggle.”

Yang ini kedengaran bijak, tapi sebenarnya jauh terpesong. Beliau merujuk kepada keperluan UPSR dan PT3 yang mana dilaksanakan pada umur ‘rebung’ untuk dibiasakan dengan ujian dan kesusahan (struggle)

Saya nak beritahu. Hakikatnya, murid hari ini bukan hidup tanpa ujian. Bezanya, ujian sekarang lebih banyak, lebih kerap, dan lebih pelbagai. Dalam PBD, murid diuji melalui Project Based Learning, Problem Based Learning, pop quiz, pembentangan, dan lain-lain.

Ini semua ujian. Cuma ia bukan lagi sekadar paper and pencil. Ujian sekarang berlaku sepanjang masa, dalam pelbagai bentuk, dan menilai lebih daripada hafalan. Nak kata tanpa UPSR murid tak kenal struggle, itu tak tepat langsung. Malah struggle hari ini lebih realistik, sebab ia datang berterusan, bukan sekali tembak. Semuanya sudah diuji melalui PBD dan juga UASA.

Tambahan pula, murid ini baru umur 12 tahun. Masa mereka masih panjang untuk jatuh, dibimbing, cuba semula, gagal lagi, bangkit balik. Itulah pendidikan. UPSR pula, selepas lebih 30 tahun, realitinya bukan lagi ujian ketahanan. Kita pun sedar, UPSR tahun 2020 tidak sama dengan UPSR tahun 1988 dulu.

Jadi jangan romantikkan UPSR seolah-olah ia latihan kehidupan. Ia bukan.

“…Supaya ada matlamat untuk dikejarkan.”

Yang ini sebenarnya bahaya dari segi falsafah. Sejak bila pula UPSR jadi matlamat hidup? UPSR hanyalah alat pentaksiran sementara, bukan destinasi. Kalau murid belajar semata-mata kerana UPSR, itu bukan sistem berjaya.

Matlamat pendidikan ialah faham kenapa belajar, tahu menilai diri, dan ada hala tuju jangka panjang. Kalau kita ajar murid belajar sebab ada peperiksaan, maka jangan terkejut bila mereka berhenti belajar bila peperiksaan itu hilang. Dan kehidupan mereka untuk belajar akan tamat sebaik tamat persekolahan, sebab tiada lagi peperiksaan. Itu masalah pemahaman pendidikan, bukan masalah murid.

“Nak jadi drebar lori pun ada ujian.”

Yang ini terus terang cakap, logik dia rosak teruk. Drebar lori diuji untuk mendapatkan lesen memandu barangkali untuk bekerja dan mencari rezeki keluarga. Lesen memandu lori ini merupakan kemahiran khusus, sudah tentu atas faktor keselamatan jalan raya, dan ia pun dilaksanakan apabila dia dewasa dan matang.

Kanak-kanak pula sedang membesar, sedang berkembang kognitif dan emosi, sedang mencari bakat dan potensi. Aneh sungguh apabila menyamakan kanak-kanak dengan drebar lori, seolah-olah satu ujian boleh menentukan hidup mereka.

Sebab itu, saya fikir, kenyataan seperti ini walaupun seperti bergurau, amat berbahaya dalam pemikiran pendidikan. Kanak-kanak bukan produk siap. Mereka projek jangka panjang. Jangan samakan dua benda yang langsung tak sama medan.

Akhirnya, kalau kita masih percaya bahawa tanpa satu peperiksaan besar murid tidak akan belajar, dan tanpa tekanan manusia akan menjadi lemah, maka yang sebenarnya belum matang itu bukan murid, tetapi cara kita memahami pendidikan. Kepercayaan sebegini lahir daripada sistem lama yang terlalu lama bergantung pada peperiksaan sebagai penggerak utama pembelajaran.

Walhal UPSR sendiri, pada namanya hanyalah ujian, tetapi telah terlalu lama dilayan sebagai peperiksaan high-stakes yang berisiko tinggi, seolah-olah penentu masa depan. Berhentilah menipu diri sendiri dengan menyatakan sebaliknya.

Pendidikan yang matang tidak berdiri atas satu kertas soalan, satu musim peperiksaan, atau satu label lulus dan gagal. Ia dibina melalui proses yang panjang, berlapik dan berperingkat jatuh, bangun, dibimbing, diperbaiki dan berkembang. Tugas pendidikan bukan untuk memilih siapa cepat, tetapi untuk memastikan tiada siapa tercicir.

Dan kalau kita benar-benar percaya pendidikan itu tentang membina manusia, bukan sekadar menilai keputusan, maka sudah tiba masanya kita berhenti mempertahankan peperiksaan sebagai simbol pendidikan, dan mula memperkukuh pendidikan sebagai proses pemanusiaan.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top