Kenapa Pendidikan Karakter Semakin Mendesak Kini?

Saya berpandangan bahawa dalam konteks dunia hari ini, dalam era media sosial yang penuh gangguan, keterdedahan keterlaluan dan tanpa batasan melalui telefon pintar yang tiada sempadan, pendidikan karakter bukan lagi pelengkap kepada kurikulum, tetapi asas kepada pembinaan insan moden.

Kita sedang berdepan dengan generasi yang bijak maklumat tetapi lemah dalam mengurus emosi, cepat bereaksi tetapi lambat berempati. Di sinilah akar masalah sosial dan disiplin pelajar sering bermula bukan kerana mereka tidak tahu yang mana betul dan salah, tetapi kerana mereka tidak mampu mengurus diri apabila berdepan tekanan, konflik atau kegagalan. Common sense doesn’t common anymore.

image

Ada pandangan yang menyatakan bahawa memperkukuh Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral sudah memadai. Namun, hakikatnya kedua-dua subjek ini, meskipun sangat penting, berfungsi dalam kerangka teologi dan kognitif. Ia mendidik tentang apa itu nilai, bukan semestinya bagaimana mengamalkan nilai itu dalam kehidupan seharian.

Pendidikan karakter melangkaui sempadan agama atau moral semata-mata. Ia menggabungkan aspek sosial dan emosi yang bersifat universal, diterima oleh semua dalam konteks kenegaraan dan kemanusiaan.

Pendidikan karakter perlu melintasi semua subjek, daripada Bahasa Melayu, Sains, Matematik, sehinggalah Pendidikan Jasmani, kerana setiap ruang pembelajaran adalah peluang untuk membentuk sikap, disiplin dan nilai kemanusiaan.

Misalnya, ketika murid bekerjasama dalam eksperimen Sains atau bermain secara berpasukan dalam sukan, mereka sedang belajar nilai hormat, tanggungjawab dan empati dalam konteks sebenar, bukan secara teori. Apabila mereka secara praktikal berbincang isu kemanusiaan, mereka mencari hikmah dalam kerangka pendidikan kewarganegaraan global.

Kelebihan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) ialah penstrukturan masa khusus bagi pembentukan karakter melalui Pembelajaran Sosial dan Emosional (PSE). Ia bukan lagi hanya elemen merentas kurikulum seperti dahulu, tetapi masa terancang dan sistemik untuk menyemai nilai dan kemahiran sosial secara berterusan.

Semua guru terlibat, bukan hanya guru Pendidikan Islam atau Moral, kerana pembentukan karakter ialah tanggungjawab kolektif seluruh ekosistem sekolah.

Menariknya, pendekatan ini sejajar dengan amalan terbaik dunia. Jepun sudah lama melaksanakannya melalui Moral Education (Dōtoku) dan Life Studies (Seikatsu), di mana nilai diajar melalui kehidupan seharian dan interaksi sosial.

Indonesia pula memperkenalkan Gerakan Penguatan Pendidikan Karakter (PPK) yang melibatkan sekolah, keluarga dan komuniti sebagai tiga ekosistem utama.

Di Amerika Syarikat sendiri ada pendekatan Social and Emotional Learning (SEL) yang menekankan lima kompetensi, kesedaran diri, kawalan diri, kesedaran sosial, kemahiran berhubungan dan tanggungjawab membuat keputusan yang kini terbukti meningkatkan kesejahteraan murid dan guru.

Saya fikir Malaysia sedang berada di landasan yang tepat. KP2027 membuka peluang besar untuk mengadaptasi amalan baik dunia, tetapi dengan acuan kita sendiri, berakar pada nilai tempatan, berwajah Malaysia, dan paling penting, menekankan bahawa pembelajaran sosial dan emosi bukan hanya untuk murid, tetapi juga untuk guru. Kerana hanya guru yang sejahtera emosinya, mampu membentuk insan yang sejahtera jiwanya.

Dr Radin Muhd Imaduddin
Felo Penyelidik Pendidik MADANI

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top