Kita baru mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 pada 31 Mac lalu. Pencapaiannya baik sekali, malah terbaik sejak 2021, iaitu ketika format baharu diperkenalkan. Namun, ada pula yang mempersoalkan kenapa hebat sangat? Mereka ini memetik keputusan Programme for International Student Assessment (PISA), satu penandaarasan antarabangsa kendalian OECD yang menunjukkan trend penurunan setiap kali pusingannya.
Eh, PISA menurun, SPM menaik. Apa sebenarnya yang berlaku? Apakah ada berlaku grade inflation? Rendahkan peratus skor untuk meningkatkan gred? Macam-macam dakwaan dan persepsi. Aduyai.
Kesian adik-adik SPM 2025. Eh, SPM tahun lepas pun ada juga bunyi macam ni.. Belajar rajin-rajin, cikgu bermatian buat kelas tambahan, bila jadi macam ni, senang-senang je pihak tersebut diskredit..
Kesian. Saya bantu jawab bagi bekap guru-guru dan murid-murid SPM. Jadi, artikel ini untuk kita berikan pencerahan kenapa SPM tak boleh dibandingkan ‘bodo-bodo’ dengan PISA.
(Q1)
Pertama, kita kena jelas satu perkara asas, apa sebenarnya yang sedang diukur oleh penilaian antarabangsa, macam PISA, TIMSS, SEA-PLM yang Malaysia sertai?
Programme for International Student Assessment (PISA) menilai pelajar berumur 15 tahun dalam kerangka literasi bacaan, Matematik dan saintifik.
Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) pula menilai murid Tahun 4 (±10 tahun) dan Tingkatan 2 (±14 tahun) dalam kompetensi Matematik dan Sains.
Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) menilai murid sekitar Tahun 5 (±11 tahun) dalam literasi asas membaca, menulis, mengira dan sains.
Manakala Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menilai murid akhir persekolahan Tingkatan 5 (±17 tahun) berdasarkan kurikulum kebangsaan.
Itupun belum masuk satu hakikat penting, iaitu setiap satu ada definisi tersendiri terhadap apa yang diukur. Empat perkara yang berbeza kerangka dan definisi, berbeza tujuan, berbeza kaedah, dan berbeza konteks.
Nampak tak? Kalau semua ini berbeza, kenapa masih ada yang banding ‘bodo bodo’ seperti tadi, SPM naik, PISA turun? hakikatnya the math is not mathing. Faham tak?
Ini bukan apple to apple. Ini kesilapan asas dalam berfikir. Paling vital. Benda tak sama, tapi dipaksa banding dan kemudian dibuat kesimpulan besar, lepas tu buat persepsi as if SPM ni ‘tak betul’, as if ada manipulasi dalam keputusan SPM. Ya Rabbi… Jahat betul..
Saya ringkaskan dalam empat perkara ini.
A. Kenapa nak membandingkan kumpulan umur yang berbeza? 10 tahun, 11 tahun, 14 tahun, 15 tahun, 17 tahun, jelas kot ini bukan kohort yang sama.
B. Kenapa nak membandingkan alat ukur yang ada tujuan yang berbeza? PISA, TIMSS dan SEA-PLM ialah alat bagi refleksi sistem. SPM pula ialah penilaian akademik individu di hujung persekolahan.
C. Kenapa nak membandingkan sedangkan kerangkanya berbeza sama sekali. PISA, kerangkanya Literasi murid dalam kehidupan sebenar, TIMSS kerangkanya untuk kompetensi, SEA-PLM tengok Literasi asas, SPM pencapaian kurikulum individu, jelas sangat empat dunia yang berbeza.
D. Kenapa nak membandingkan sedangkan konteks penilaian penandaarasan antarabangsa dengan Peperiksaan Pusat persijilan pertama bagi murid amat berbeza. Tahu tak, SPM ni peperiksaan persijilan pertama murid. Maksudnya apa? SPM ialah high-stakes exam.
Kita pun tahu, sebab itu, banyak murid, sekolah, ibu bapa, NGO buat dan bagi tusyen, kelas tambahan, latih tubi, teknik menjawab, trial exam berkali-kali. Format soalan pun setiap guru dah mahir, buku buku rujukan, buku latihan bersepah di pasaran. Siap ada doa selamat, bacaan Yasin lagi. Pressure dia, memang real. Murid, siap lepas kan segala jawatan, berhenti semua aktiviti kokurikulum bila masuk form 5, seawal bulan Mac, April. Sebab apa? Nak bersedia lah!
Penilaian antarabangsa pula low-stakes. Tiada implikasi langsung kepada murid. Cara dan metodologi pun berbeza. Jauh sangat bezanya.
Jadi bila hasilnya tidak selari antara satu penilaian dengan satu penilaian, termasuk SPM, itu bukan pelik. Memang tak boleh dibandingkan pun. Jangan naif sangat baca sebelah menyebelah. Itu yang jadi mengarut tu.
(Q2)
Sekarang kita masuk kepada isu yang tengah hangat dibangkitkan. Ni, bila pihak tersebut macam tak percaya SPM meningkat, dari 2021 sampai 2025, tak pernah turun. Jadi, Adakah ini tanda grade inflation?
Sebenarnya, format SPM telah berubah pada 2021. Soalan KBAT telah dinaikkan sepenuhnya kepada 50%. Sebenarnya, ada penurunan teruk juga pada 2021 ketimbang tahun sebelumnya. Tapi, terus terang saya katakan, saya agak kecewa soalan seperti ini dilontarkan. Apa kita ingat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini peperiksaan main-main?
SPM ini bukan sekadar kertas soalan dan gred. Ini maruah sistem pendidikan negara. Bila tuduhan seperti grade inflation dilontarkan tanpa asas yang jelas, kita sebenarnya sedang mempersoalkan profesionalisme pegawai peperiksaan KPM yang mengurus sistem ini, termasuk secara tidak langsung mempertikaikan badan pentaksiran antarabangsa seperti Cambridge Assessment, Pearson dan lain-lain yang terlibat dalam proses penetapan standard yang telah diamalkan sejak dahulu lagi.
Ya, sempadan markah boleh berubah, tetapi proses penetapan standard dibuat dengan PROSEDUR KETAT BERSAMA-SAMA BADAN ANTARABANGSA atas pertimbangan tahap kesukaran soalan, untuk MENGEKALKAN STANDARD, bukan untuk memudahkan lulus. Ini kerja profesional, bukan kerja orang politik.
Dalam proses ini, sempadan markah bagi setiap gred ditentukan berdasarkan analisis data psikometrik, kesukaran item, taburan prestasi calon, serta pertimbangan pakar terhadap kualiti jawapan. Ini bukan keputusan individu.
Proses ini melibatkan analisis data, pertimbangan pakar, semakan berlapis, dan validasi badan antarabangsa, diiktiraf pihak luar termasuk Cambridge Assessment, Pearson, New Zealand Assessment, dan lain-lain. Bukan boleh bangun pagi, ubah gred sesuka hati. Bukan boleh “bagi naik” sebab nak nampak cantik. Ni fitnah jahat. Bertaubat lah. Baru habis Ramadan. Syawal pun tak habis lagi. Terus kita buat fitnah.
Sebab itu, naratif bahawa sistem ini dimanipulasi secara sewenang-wenangnya memang tidak berasas. Sebenarnya, sejak saya mula jadi cikgu tahun 2006 lagi, saya dah dengar dakwaan ini. Saya rasa, sebelum itu juga ada. Cubalah tanya guru-guru yang lebih senior dan yang sudah bersara.
Saya nak katakan begini. Kalau kita terus ulang tuduhan seperti ini tanpa memahami bagaimana sistem berfungsi, kita bukan sahaja mengelirukan orang ramai, kita juga merendahkan kredibiliti satu institusi yang telah dibina dengan disiplin profesional selama puluhan tahun. SPM ni tuan-tuan, satu dunia iktiraf. Sampai ada penilaian yang tak diiktiraf bekerja keras nak sama tahap dengan SPM. Murid-murid kita, anak-anak kita ada sijil SPM, boleh diterima di mana-mana IPT seluruh dunia. Tahap dia setanding O-Level Cambridge.
Dan lebih daripada itu, kita sedang menafikan usaha anak-anak kita yang belajar bersungguh-sungguh, dan guru-guru yang membimbing tanpa jemu.
Akhir sekali, satu soalan penting.
(Q3)
Kalau semua ini tidak sama, kenapa Malaysia masih sertai PISA, TIMSS dan SEA-PLM?
Kerana kita faham tujuan sebenar.
Kita sertai BUKAN UNTUK BERLUMBA RANKING. Kita sertai untuk melihat diri kita dengan lebih jujur, kenal pasti kelemahan, belajar daripada amalan baik, dan tambah baik keberhasilan sistem pendidikan kita. Sudah tentu ada banyak ruang untuk kita perbaiki.
Jadi, kalau masih juga mahu banding secara simplistik seperti yang dibuat KJ dan OT… hingga merendahkan usaha murid dan guru yang bekerja keras untuk SPM secara langsung atau tak langsung, maka, masalahnya bukan pada data atau pencapaian SPM, tetapi pada cara kita berfikir.
Bila asas perbandingan pun salah, semua kesimpulan selepas itu pasti tersasar.
DR





