Ta‘awun

Minggu lepas, saya menjadi host kepada sesi usrah Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS) Kuala Langat. Adik-adik belia hadir sejak jam 5 petang, kami berbincang santai, berbuka bersama dan berakhir dengan moreh selepas tarawih. Antara perkara yang kami bahaskan ialah tentang ukhuwah dan bagaimana Al-Quran merakamkan konsep tolong-menolong dalam kehidupan manusia.

Saya berkongsi bahawa dalam Surah al-Ma’idah ayat 2, Allah meletakkan satu prinsip sosial yang sangat penting: “Wa ta‘āwanū ‘ala al-birri wa al-taqwā wa lā ta‘āwanū ‘ala al-ithmi wa al-‘udwān.” Bertolong-tolonganlah dalam kebaikan dan ketakwaan, dan jangan bertolong-tolongan dalam dosa dan permusuhan.

Menariknya, ayat ini memberi satu peringatan besar. Manusia memang makhluk yang suka bekerjasama. Kita bergerak dalam kumpulan, kita saling mempengaruhi. Tetapi Al-Quran mengingatkan bahawa kerjasama itu sendiri mesti dinilai. Tidak semua solidariti itu benar. Tidak semua kebersamaan membawa kepada kebaikan. Ada kerjasama yang membina kebajikan dan ketakwaan, dan ada juga kerjasama yang menyuburkan kerosakan dan kebatilan.

Dalam perbincangan itu juga kami kaitkan dengan tujuan puasa yang disebut dalam Surah al-Baqarah ayat 183: “la‘allakum tattaqūn”, agar kamu bertakwa. Selalunya kita memahami takwa dalam bentuk yang sangat peribadi, ibadah kita bertambah, disiplin rohani kita meningkat. Itu benar dan penting. Namun Ramadan tidak berhenti di situ. Ia membentuk jiwa supaya jiwa itu mampu melahirkan tanggungjawab sosial.

Saya tekankan kepada adik-adik bahawa takwa tidak boleh hidup sendirian. Takwa peribadi tanpa kesedaran sosial akan melahirkan individu yang baik untuk dirinya, tetapi tidak memberi manfaat kepada masyarakat. Sebaliknya, gerakan sosial tanpa asas takwa pula mudah terperangkap dalam emosi dan kepentingan kelompok. Islam tidak memisahkan dua perkara ini. Pembinaan diri dan pembinaan masyarakat berjalan serentak. Malah, insan terbaik adalah yang bermanfaat kepada manusia lain.

Perbincangan menjadi lebih menarik apabila kami kaitkan dengan realiti media sosial hari ini. Dalam dunia digital, algoritma sering mengangkat suara yang paling sensasi dan provokatif. Ramai orang akhirnya terikut arus, bercakap kasar, menghukum, mencaci hamun, fitnah mencarut, bukan kerana yakin, tetapi kerana takut tertinggal arus perbualan.

Hakikatnya algoritma tidak mengenal dosa atau pahala. Ia hanya mengira interaksi. Jika masyarakat gemar kandungan berunsur kebencian, sistem akan memperbanyakkan kebencian. Dalam keadaan ini, setiap klik, setiap perkongsian dan setiap komen sebenarnya adalah penyertaan moral. Kita sama ada sedang membantu menyebarkan kebaikan, atau tanpa sedar menyuburkan permusuhan.

Saya katakan kepada mereka, ujian takwa hari ini bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ujian kita ialah menahan jari daripada menulis yang keji, menahan diri daripada menyebarkan sesuatu yang belum pasti, dan berani memilih kata yang baik ketika orang lain memilih celaan.

Di pertengahan Ramadan ini, kita sering bercakap tentang memohon keampunan dan seterusnya mengejar takwa. Tetapi hakikatnya takwa itu adalah komitmen. Komitmen untuk menjadi hamba Allah yang lebih berdisiplin dan khalifah yang lebih bertanggungjawab. Ia menuntut keberanian, berani tidak menyertai gelombang kebencian walaupun kita bersendirian, dan berani mempertahankan adab ketika adab dianggap lemah. Itu sebenarnya lebih susah.

Akhirnya saya simpulkan kepada mereka: Ramadan bukan sekadar membina individu yang lebih taat, tetapi membina manusia yang lebih bertanggungjawab terhadap masyarakat. Takwa membentuk diri, dan ta‘awun membentuk peradaban. Jika kedua-duanya bergerak bersama, barulah kita benar-benar memahami makna menjadi hamba Allah dan khalifah di bumi.

Saya berharap adik-adik ini mendapat manfaat daripada usrah yang sederhana ini. Kami juga merancang beberapa inisiatif dan aktiviti susulan bersama PEPIAS Kuala Langat selepas Ramadan nanti. Mudah-mudahan usaha kecil ini dipermudahkan, dan menjadi sebahagian daripada langkah membina generasi yang bukan sahaja beriman, tetapi juga berperanan dalam membawa kebaikan kepada masyarakat.

DR

image

image

image

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top