Jangan Wariskan Kelemahan

Dalam Surah An-Nisa ayat 9, Allah mengingatkan kita tentang satu kebimbangan yang sangat manusiawi. Bayangkan kalau suatu hari nanti kita meninggalkan dunia ini, dan anak-anak kita terpaksa hidup tanpa kita. Mereka mungkin masih kecil, mungkin lemah dari segi ekonomi, mungkin belum cukup kuat untuk berdepan dengan dunia.

Dalam keadaan begitu, tentu kita berharap masyarakat di sekeliling mereka berlaku baik. Kita mahu orang berlaku adil kepada mereka. Kita tidak mahu ada yang menipu, mengambil kesempatan atau menindas mereka. Di sinilah Allah sebenarnya sedang mendidik kita. Logiknya mudah. Kalau kita mahu anak-anak kita dilayan dengan baik oleh masyarakat suatu hari nanti, maka kita juga mesti berlaku adil terhadap anak-anak orang lain hari ini.

Sebab itu ayat ini memberi dua peringatan yang sangat jelas. Pertama, falyattaqullah, bertakwalah kepada Allah. Maksudnya, bila kita membuat keputusan yang melibatkan orang lain, terutama golongan yang lemah, kita ingat bahawa Allah sedang memerhati.

Kedua, walyaqulu qawlan sadida, bercakaplah dengan kata yang benar. Jangan tipu, buat fitnah dan tabur persepsi jahat. Jangan putar fakta. Jangan cerita separuh-separuh. Jangan hukum seluruh sistem hanya dengan satu dua kisah yang tular. Jangan buat keputusan yang akhirnya menzalimi orang yang tidak berdaya mempertahankan diri.

Menariknya, ayat ini tidak bermula dengan hukum yang keras. Allah tidak terus memberi larangan atau ancaman. Allah membangunkan empati terlebih dahulu. Allah suruh kita bayangkan anak-anak kita sendiri. Dari situlah lahir rasa tanggungjawab.

Bila kita membaca ayat ini dalam suasana Ramadan, mesejnya terasa lebih dekat. Ramadan sebenarnya sekolah untuk membina taqwa. Allah sendiri menyebut tujuan puasa, la‘allakum tattaqun, supaya kamu menjadi orang yang bertakwa. Siapa? Kita semua lah tuan-tuan sekalian..

Dalam bulan ini kita belajar menahan diri, mengawal nafsu dan memperbetulkan niat. Tetapi kalau taqwa itu benar-benar terbina, ia tidak berhenti setakat ibadah peribadi sahaja. Ia sepatutnya mempengaruhi cara kita berfikir tentang masyarakat, dasar negara dan masa depan anak-anak kita.

Sebab itu ayat ini sangat relevan bila kita bercakap tentang agenda besar negara seperti Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035. Soalannya mudah sahaja sebenarnya, sistem yang kita bina hari ini, adakah ia benar-benar menjaga masa depan generasi akan datang? Apa yang kita belajar sebelum ini?

Di sinilah pentingnya sikap matang dalam masyarakat.

Boleh kritik? Boleh.

Boleh tegur dasar? Boleh.

Kena tabayyun dan semak fakta? Sudah tentu.

Dalam masyarakat yang sihat, kritikan bukan masalah. Kritikan yang jujur dan membina adalah sebahagian daripada qawlan sadida, iaitu bercakap benar.

Tetapi apa yang sering berlaku ialah kita mula menuntut kesempurnaan mutlak daripada manusia dan sistem. Seolah-olah jika sesuatu dasar itu tidak sempurna seratus peratus, maka semuanya dianggap gagal.

Hakikatnya negara, seperti juga manusia, bergerak dalam ruang kemampuan yang terbatas. Ada kekangan sumber, masa dan realiti sosial yang tidak boleh diubah sekelip mata. Dalam ekosistem pendidikan arus perdana di Malaysia sendiri, skalanya sangat besar. Lebih 10,000 sekolah menampung sekitar 5 juta murid di seluruh negara, dengan ratusan ribu guru menggerakkan operasi harian sistem pendidikan. Dalam masa yang sama, ada sekolah bandar yang sangat padat, dan ada juga ribuan sekolah kurang murid di kawasan luar bandar yang berdepan cabaran akses dan sumber.

Sebab itu perubahan pendidikan tidak pernah berlaku sekelip mata. Ia melibatkan sistem yang sangat besar, pelbagai dan kompleks. Kita boleh dan memang perlu menambah baiknya dari semasa ke semasa. Tetapi kita juga perlu memahami realiti skala dan kerumitan sistem tersebut.

Di sinilah taqwa memainkan peranan yang halus. Taqwa bukan sekadar takut kepada Allah ketika beribadah. Taqwa juga bermaksud rendah hati dalam menilai usaha manusia. Apa guna Ramadan berlalu tanpa memberi kesan kepada cara kita berfikir dan bertindak?

Kita bincang. Kita bahas. Kita kritik untuk tambah baik. Tetapi pada masa yang sama kita juga sedar bahawa kesempurnaan mutlak bukan milik manusia.

Sebab itu tradisi Islam sangat seimbang. Islam mengajar tiga langkah, musyawarah, azam dan tawakkal. Allah berfirman dalam Surah Ali ‘Imran ayat 159 agar urusan diputuskan melalui musyawarah, dan apabila telah berazam maka bertawakkallah kepada Allah.

Maksudnya, kita bincang dahulu, dengar pandangan yang berbeza dan perhalusi idea. Sudah buat? Sudah. Selepas itu kita buat keputusan dengan azam. Kemudian kita bertawakkal kepada Allah.

Dalam bahasa mudahnya, kita tidak tunggu semuanya sempurna sebelum bergerak. Kita bergerak sambil memperbaiki.

Allah tidak meminta manusia membina dunia yang sempurna. Allah meminta kita membina dunia dengan taqwa dan kejujuran, supaya anak-anak yang datang selepas kita tidak mewarisi sebuah masyarakat yang rosak kerana kezaliman, ketamakan atau kecuaian generasi sebelumnya.

Kalau kita sudah berusaha dengan jujur, sudah berbincang, membuat libat urus, membuat penandaarasan dan merujuk kajian yang berkaitan, walaupun belum sempurna, insya-Allah kita telah menunaikan amanah kita kepada generasi yang akan datang.

Selepas itu, fatawakkal ‘ala Allah.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top