Tema Hari Guru 2026, Guru Bitara, Nadi Negara, menegaskan bahawa guru ialah asas penting dalam pembinaan negara bangsa. Keunggulan seorang guru bukan hanya dinilai pada pencapaian akademik murid, tetapi pada keupayaannya membentuk manusia yang berilmu, beradab, berintegriti dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.
Dalam kerangka Malaysia MADANI, guru memainkan peranan besar melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari sudut intelektual, tetapi mampu hidup dengan semangat hormat-menghormati, bertanggungjawab, berdisiplin serta memahami kepentingan perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai bangsa, agama, keturunan dan wilayah. Guru membina generasi yang mampu bersaing di peringkat global tanpa kehilangan jati diri dan akar budaya bangsa.
Profesion keguruan sentiasa dimuliakan kerana tugas mendidik manusia ialah amanah yang sangat besar. Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa Allah, para malaikat, penghuni langit dan bumi, bahkan semut di dalam lubangnya dan ikan di laut, berselawat ke atas orang yang mengajarkan manusia kebaikan. Hadis ini memperlihatkan betapa tingginya kedudukan seorang pendidik di sisi agama dan masyarakat.
Guru bukan sekadar mengajar mata pelajaran, tetapi membentuk cara manusia melihat kehidupan. Dalam bilik darjah, guru menyampaikan ilmu. Dalam masa yang sama, guru membina keyakinan, memupuk disiplin dan menyemai harapan.
Benarlah madah yang sering diungkapkan, “Guru ibarat lilin, membakar diri menerangi orang lain.”
Walaupun dunia pendidikan hari ini berdepan pelbagai cabaran baharu termasuk perubahan teknologi, tekanan sosial dan tuntutan masyarakat yang semakin kompleks, para guru terus berdiri sebagai tonggak utama pendidikan negara. Mereka mendidik dengan sabar, membimbing dengan hikmah dan terus berusaha memastikan setiap anak bangsa mendapat peluang untuk berjaya.
Sempena Hari Guru 2026, marilah kita bersama-sama mengangkat martabat profesion perguruan dan menghargai jasa para pendidik yang menjadi nadi kepada kekuatan negara.
Sesungguhnya, masa depan Malaysia akan ditentukan oleh kebitaraan guru yang membentuk generasi hari ini.
Bitara jasamu, guru, denyut nadi kemajuan bangsa.
Guru Bitara, Nadi Negara.
DR





