Pengkhianatan kepada Dasar Pendidikan?

(1) Ada satu hantaran yang memetik Dokumen Dasar Pendidikan Kebangsaan muka surat 152 dengan menyatakan bahawa SMPC tidak akur kepada Akta Pendidikan 1996 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, manakala UEC pula tidak diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia. Berdasarkan petikan itu, penulis kemudian membuat kesimpulan bahawa adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak memberi laluan atau membenarkan penggunaan UEC bagi tujuan kemasukan ke IPTA.

(2) Sekali pandang, hujah tersebut kelihatan kemas kerana bersandarkan dokumen rasmi. Namun sebenarnya, saya berasakan kesimpulan itu terlalu simplistik dan mencampuradukkan beberapa perkara yang berbeza dalam kerangka perundangan dan pentadbiran pendidikan negara.

(3) Saya nak mulakan dengan hirarrki ini. Dalam sistem perundangan Malaysia, kedudukan tertinggi ialah Perlembagaan Persekutuan, diikuti Akta Parlimen dan perundangan subsidiari, kemudian barulah dasar, polisi serta peraturan pentadbiran. Sebab itu, sesuatu dasar perlu dibaca bersama keseluruhan kerangka undang-undang serta bidang kuasa institusi yang berkaitan.

(4) Dalam konteks ini, artikel itu sebenarnya telah mencampuradukkan tiga perkara yang berbeza:

1. status SMPC dalam sistem pendidikan kebangsaan,

2. kedudukan UEC sebagai peperiksaan kebangsaan,

3. syarat akses ke institusi pendidikan tinggi.

Ketiga-tiga perkara ini tidak membawa maksud yang sama.

(5) Memang benar, UEC tidak dianggap sebagai sijil peperiksaan kebangsaan Malaysia. Itu fakta yang tidak perlu dipertikaikan. SMPC juga berada di luar arus sistem pendidikan kebangsaan kerana tidak menggunakan Kurikulum Kebangsaan sepenuhnya, tidak menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dan tidak menduduki peperiksaan kebangsaan seperti SPM. Itu jelas.

(6) Namun daripada fakta tersebut, tidak secara automatik membawa maksud bahawa kerajaan tidak boleh langsung menerima pemegang UEC untuk tujuan tertentu, termasuk akses ke pendidikan tinggi.

(7) Ini kerana IPTA berada di bawah kerangka pendidikan tinggi, bukan semata-mata dasar pendidikan sekolah. Sebab itu dasar pendidikan sekolah tidak boleh dibaca secara terlalu literal sehingga menafikan keseluruhan bidang kuasa pendidikan tinggi negara.

(8) Universiti awam mempunyai autonomi akademik tertentu melalui Senat Universiti dan kerangka perundangan pendidikan tinggi untuk menentukan syarat kemasukan berdasarkan keperluan program, standard akademik dan dasar semasa kerajaan. Sebab itu universiti juga menerima pelbagai kelayakan lain yang bukan daripada sistem peperiksaan kebangsaan seperti A-Level, International Baccalaureate (IB), Australian Matriculation dan pelbagai kelayakan antarabangsa lain.

(9) Maka, “tidak diiktiraf sebagai peperiksaan kebangsaan” TIDAK SAMA MAKSUDNYA dengan “tidak boleh digunakan langsung untuk akses pendidikan tinggi”.

(10) Begitu juga, membuka laluan atau memberi akses tertentu kepada pemegang UEC tidak semestinya membawa maksud kerajaan mengiktiraf UEC sebagai sebahagian daripada sistem peperiksaan kebangsaan negara. Kedua-duanya adalah perkara yang BERBEZA.

(11) Pengiktirafan dalam konteks sistem pendidikan kebangsaan membawa maksud penerimaan sesuatu sijil sebagai sebahagian daripada sistem rasmi negara dari sudut kurikulum, bahasa pengantar dan struktur peperiksaannya. Itu TIDAK BERLAKU DALAM HAL INI.

Sedangkan akses ke pendidikan tinggi boleh berlaku atas pertimbangan SYARAT TAMBAHAN, KEPERLUAN PROGRAM , KEPUTUSAN SENAT UNIVERSITI dan DASAR SEMASA KERAJAAN tanpa menjadikan UEC sebahagian daripada sistem peperiksaan kebangsaan.

(12) Sebab itu, keputusan kerajaan pada 14 Mei 2026 untuk membuka laluan tertentu kepada lepasan UEC ke IPTA bagi program khusus perlu difahami dalam KERANGKA PENTADBIRAN dan POLISI PELAKSANAAN PENDIDIKAN TINGGI, bukannya sebagai perubahan terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan atau pengiktirafan UEC sebagai peperiksaan kebangsaan Malaysia.

(13) Dasar Pendidikan Kebangsaan KEKAL seperti sedia ada. Tiada pindaan terhadap Akta Pendidikan 1996. Tiada perubahan terhadap kedudukan UEC dalam sistem peperiksaan kebangsaan negara. Yang berlaku ialah PELUASAN AKSES pendidikan tinggi bagi program tertentu berdasarkan keperluan semasa, syarat akademik serta keputusan Senat Universiti.

(14) Kalau kerajaan benar-benar mahu mengiktiraf UEC sebagai sebahagian daripada sistem rasmi negara, implikasinya jauh lebih besar. Ia akan melibatkan persoalan kesetaraan dengan SPM atau STPM, pengiktirafan kurikulum, bahasa pengantar, struktur peperiksaan dan juga implikasi terhadap perkhidmatan awam.

Namun keputusan pada 14 Mei itu tidak pergi sejauh itu. Ia lebih bersifat laluan AKSES YANG KHUSUS, TERKAWAL dan BERSYARAT untuk PROGRAM TERTENTU SAHAJA.

(15) Dalam masa yang sama, fahami betul-betul, dokumen dasar pendidikan mengakui kewujudan SMPC dan UEC dalam KERANGKA STATUS QUO YANG DIBENARKAN UNDANG-UNDANG. Maknanya, negara tidak pernah menganggap kewujudan institusi tersebut sebagai tidak sah di sisi undang-undang. YANG TIDAK DIIKTIRAF IALAH KEDUDUKANNYA SEBAGAI PEPERIKSAAN KEBANGSAAN MALAYSIA.

Itu dua perkara yang berbeza.

(16) Sebab itu juga penggunaan frasa seperti “kehinaan kepada dasar negara” sebenarnya agak keterlaluan dan tidak menggambarkan amalan sebenar kerajaan Malaysia selama ini.

Hakikatnya, sejak sekian lama pemegang UEC telah diterima memasuki pelbagai institusi pendidikan tinggi swasta dan Pendidikan Tinggi Awam Negeri.

Selain itu, terdapat juga laluan khas tertentu bagi lepasan UEC ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk bidang berkaitan Bahasa Cina dengan syarat tambahan tertentu termasuk kelulusan SPM dan kepujian Bahasa Melayu. Ini menunjukkan bahawa dalam amalan pentadbiran sebenar, kerajaan mengambil pendekatan yang lebih bersifat fungsional berdasarkan keperluan sistem pendidikan negara.

(17) Pada peringkat akhirnya, yang perlu difahami ialah Dasar Pendidikan Kebangsaan tetap penting dan mesti dipertahankan, khususnya dalam soal bahasa kebangsaan, kurikulum kebangsaan dan identiti nasional negara. Tiada perubahan terhadap asas tersebut.

(18) Yang berubah sebenarnya ialah kerangka akses pendidikan tinggi yang kini semakin bersifat lebih inklusif dan lebih responsif terhadap realiti masyarakat serta keperluan negara melalui keputusan pentadbiran dan polisi pelaksanaan pendidikan tinggi.

(19) Dan perubahan ini bukan hanya melibatkan UEC semata-mata.

Pendekatan yang sama juga membuka lebih banyak ruang kepada pelbagai bentuk pensijilan lain termasuk lepasan tahfiz dan aliran pendidikan alternatif yang sebelum ini mempunyai keterbatasan akses ke pendidikan tinggi arus perdana.

(20) Maka, membuka laluan akses pendidikan tinggi yang bersifat terhad, terkawal dan bersyarat tidak bermaksud negara mengorbankan dasar, identiti atau prinsip asas Pendidikan Kebangsaan yang selama ini terus dipertahankan.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top