5 Perkara WAJIB faham tentang UEC

1. Saya orang pendidikan. Bukan orang politik. Ya, saya minat mengikuti dunia politik. Tetapi saya masih melihat isu ini dari sudut dasar pendidikan, pentadbiran dan sistem negara.

2. Pendidikan di Malaysia WAJIB akur dan selari dengan Perlembagaan Persekutuan serta perundangan negara.

3. Sebab itu Dasar Pendidikan Kebangsaan, Akta Pendidikan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sistem peperiksaan kebangsaan tetap menjadi asas utama negara.

Dan sehingga hari ini, perkara itu tidak berubah.

4. Sebab itu saya cuba bezakan antara akses pendidikan tinggi, dengan status rasmi sesuatu sistem pendidikan.

5. Ramai sebenarnya sedang mencampuradukkan dua perkara ini.

6. Saya tak pernah kata UEC perlu dijadikan peperiksaan kebangsaan. Saya tak pernah kata SPM perlu diketepikan. Saya tak pernah kata Dasar Pendidikan Kebangsaan perlu diubah.

7. Yang saya cuba jelaskan cuma satu, iaitu membuka laluan akses yang terhad dan bersyarat tidak automatik bermaksud kerajaan mengiktiraf keseluruhan sistem pendidikan tersebut sebagai sebahagian sistem rasmi negara.

8. UEC sehingga hari ini tetap BUKAN peperiksaan kebangsaan Malaysia.

9. UEC juga TIDAK PERNAH setaraf dengan SPM atau STPM dalam kerangka Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Tidak pernah.

10. SPM dan STPM ialah peperiksaan rasmi kebangsaan dalam sistem pendidikan negara. Ia berada dalam kerangka Akta Pendidikan, Kurikulum Kebangsaan dan sistem rasmi pendidikan Malaysia.

UEC tidak berada dalam kerangka itu.

11. Sebab itu bila kerajaan membuka laluan tertentu kepada pemegang UEC ke program khas IPTA, ia langsung tidak menjadikan UEC “setaraf” dengan SPM atau STPM.

Ramai keliru di sini.

12. UEC mungkin boleh dianggap setara pada tahap tertentu bagi tujuan akses akademik atau pendidikan tinggi, sama seperti A-Level atau kelayakan antarabangsa lain.

Tetapi “setara” tidak sama dengan “setaraf”.

13. Setaraf membawa maksud kedudukan rasmi dalam sistem pendidikan negara. Dan sehingga hari ini, perkara itu tidak pernah berubah.

14. Sebab itu saya hairan bila ada yang terus melompat kepada naratif seolah-olah negara sedang runtuh hanya kerana wujud laluan akses yang sangat terhad dan bersyarat ke IPTA.

15. Dasar mana yang runtuh? Peruntukan Perlembagaan mana yang tercalar? Undang-undang mana yang dilanggar?

Adakah Bahasa Melayu dimansuhkan? Tidak.

Adakah SPM dihapuskan? Tidak.

Adakah UEC diiktiraf sebagai peperiksaan kebangsaan Malaysia? Tidak.

Adakah Akta Pendidikan dipinda? Tidak.

16. Mungkin saya boleh terangkan dengan cara paling mudah begini supaya ramai lebih faham.

Mana-mana rakyat atau warganegara Malaysia yang ingin memohon masuk ke IPTA, WAJIB dan MESTI mempunyai SPM.

Itu asasnya.

17. Sama ada seseorang itu datang daripada sekolah kebangsaan, sekolah antarabangsa, homeschool, tahfiz, SMPC atau apa sahaja aliran pendidikan sekalipun…

…untuk memohon ke IPTA, dia tetap perlu memenuhi syarat asas yang ditetapkan negara, termasuk SPM.

18. Selepas itu, sama ada diterima masuk atau tidak, itu pula bergantung kepada:

– syarat am,

– syarat khas program,

– merit akademik,

– temu duga,

– dan keputusan Senat Universiti masing-masing.

19. Yang berlaku hari ini hanyalah pembukaan laluan permohonan yang sangat terhad, bersyarat dan tertakluk kepada meritokrasi serta keputusan universiti bagi program tertentu.

Itu sahaja.

20. Kalau benar ada undang-undang yang dilanggar, maka bawalah ke mahkamah. Buat laporan polis. Failkan saman terhadap KPT.

21. Tetapi setakat ini, yang banyak kita dengar hanyalah tuduhan politik dan kemarahan emosi, bukan penjelasan undang-undang yang benar-benar menunjukkan bahagian mana yang dilanggar.

22. Kadang-kadang saya rasa masyarakat kita terlalu cepat marah sebelum cuba memahami keseluruhan konteks sesuatu isu.

Akhir sekali, ada 5 perkara WAJIB faham tentang isu UEC ini:

(1) UEC bukan peperiksaan kebangsaan Malaysia.

(2) UEC tidak setaraf dengan SPM atau STPM dalam kerangka Dasar Pendidikan Kebangsaan.

(3) SPM masih kekal syarat asas untuk memohon ke IPTA.

(4) Laluan yang dibuka KPT sangat terhad, bersyarat dan tertakluk kepada meritokrasi serta keputusan Senat Universiti.

(5) Membuka akses pendidikan tinggi tidak automatik bermaksud kerajaan mengiktiraf keseluruhan sistem pendidikan tersebut sebagai sebahagian daripada sistem rasmi negara.

Kalau 5 perkara asas ini pun gagal difahami, memang sampai bila-bila perbahasan ini akan terus bercampur-aduk.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top