1. Saya membaca kenyataan cikgu Azmi, Presiden MAPIM yang saya hormati ini:
https://www.facebook.com/share/p/1EfmeBRb1A
2. Secara ringkas, beliau menegaskan bahawa isu UEC perlu kembali kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan, Perlembagaan Persekutuan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
3. Beliau juga membangkitkan kebimbangan bahawa pembukaan laluan khas kepada UEC boleh mewujudkan dualisme pendidikan, menjejaskan integrasi nasional serta melemahkan kedudukan Bahasa Melayu dan sistem pendidikan kebangsaan.
Saya menghormati kebimbangan tersebut.
4. Dan saya fikir kita perlu berhati-hati supaya isu pendidikan seperti ini tidak dibahaskan dalam nuansa politik kepartian atau ledakan emosi yang akhirnya mengaburkan konteks sebenar perbahasan.
5. Kita perlu wacanakan isu ini dalam kerangka pendidikan, dasar negara dan pentadbiran sistem pendidikan itu sendiri.
6. With due respect, saya juga fikir dalam perbahasan seperti ini, kita perlu mulakan dengan apa yang kita sama-sama setuju terlebih dahulu, sebelum pergi kepada bahagian yang kita mungkin berbeza pandangan.
7. Saya percaya kita semua setuju bahawa Bahasa Melayu mesti dipertahankan, Dasar Pendidikan Kebangsaan mesti dihormati, dan sistem pendidikan negara tidak boleh dipermainkan demi kepentingan politik mana-mana pihak.
8. Saya sendiri juga pernah menulis dan berhujah bahawa UEC tidak wajar diiktiraf sebagai kelayakan nasional rasmi yang setaraf dengan SPM atau STPM dalam kerangka Dasar Pendidikan Kebangsaan Malaysia.
https://www.facebook.com/share/p/18yMWSf3fr
Dan pendirian itu tidak berubah.
9. SPM dan STPM ialah peperiksaan rasmi kebangsaan dalam sistem pendidikan negara. Ia berada dalam kerangka Akta Pendidikan, Kurikulum Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
UEC tidak berada dalam kerangka itu.
10. Sebab itu sehingga hari ini, UEC tetap bukan peperiksaan kebangsaan Malaysia dan tidak pernah setaraf dengan SPM atau STPM dalam konteks sistem rasmi pendidikan negara.
11. Tetapi bahagian yang nampaknya kita berbeza pandangan ialah:
adakah membuka akses yang sangat terhad dan bersyarat ke IPTA automatik bermaksud kerajaan sedang mengiktiraf UEC sebagai sistem pendidikan rasmi negara?
12. Ada yang marah-marah dan mengatakan ini ialah “pengiktirafan separa”, atau permulaan kepada pengiktirafan UEC.
Saya tidak bersetuju.
Pada saya, itu dua perkara yang berbeza.
Konteksnya juga berbeza dengan perbahasan yang biasa kita wacanakan sebelum ini.
13. Selama ini, perbahasan tentang UEC lebih banyak berlaku dalam konteks sistem persekolahan kebangsaan, kurikulum, bahasa pengantar dan kedudukan rasmi dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.
14. Tetapi isu kali ini lebih berkait dengan soal laluan akses ke IPTA dalam kerangka pendidikan tinggi.
Itu maudhu yang berbeza.
15. Apa yang diumumkan KPT kali ini bukan pengiktirafan UEC sebagai peperiksaan kebangsaan.
16. Yang berlaku hanyalah pembukaan laluan akses yang sangat terhad, bersyarat dan tertakluk kepada meritokrasi serta keputusan Senat Universiti bagi program tertentu di IPTA.
Itu sahaja.
17. Sebab setakat hari ini:
Bahasa Melayu masih wajib.
SPM masih kekal syarat asas.
Akta Pendidikan tidak berubah.
Dan UEC masih bukan peperiksaan kebangsaan.
Jadi sebenarnya, dasar mana yang runtuh?
18. Pada saya, ramai masih gagal membezakan antara akses pendidikan tinggi, dengan status rasmi sesuatu sistem pendidikan.
Dua benda itu berbeza.
19. Dan ya, saya juga sebenarnya tidak bersetuju jika terlalu banyak aliran pendidikan bergerak terlalu jauh dan tidak selari dengan kerangka pendidikan kebangsaan.
20. Tetapi realitinya hari ini, Malaysia sudah mempunyai pelbagai aliran pendidikan yang berkembang dari seluruh dunia.
21. Termasuk lepasan tahfiz, pondok, sekolah agama persendirian, sekolah antarabangsa, International Baccalaureate (IB), IGCSE, Cambridge, homeschool, pendidikan Turki seperti Sulaimaniyah, sistem pendidikan Idrisiah dan pelbagai lagi aliran pendidikan global yang semakin berkembang dalam negara.
Jangan fikir 100% yang mengikuti aliran pendidikan yang pelbagai itu akhirnya meneruskan pengajian ke luar negara atau IPTS.
22. Pada saya, keputusan KPT ini juga boleh dilihat sebagai usaha membawa kembali pelbagai kelompok pendidikan yang selama ini bergerak secara berasingan supaya akhirnya bertemu semula di titik kenegaraan yang sama dalam pendidikan tinggi.
Aliran tahfiz sahaja, ada lebih 50,000 yang ada SPM, berapa orang yang tak ke mana-mana pasca tamat persekolahan menengah?
23. Dan waima datang daripada aliran mana sekalipun, apa yang tetap menjadi titik penyatuan nasional itu ialah SPM. Hanya SPM.
24. Sebab itu Bahasa Melayu SPM dan Sejarah SPM masih kekal syarat asas. Wajib dan kemestian.
Maksud saya mudah sahaja.
25. Kalau ketika di peringkat sekolah pun pelbagai aliran pendidikan sudah jarang bertemu titik yang sama…
…takkan bila masuk ke universiti pun kita mahu terus membiarkan semua kelompok hidup dalam dunia masing-masing tanpa pernah bertemu?
26. Di universiti, semua pelajar akhirnya berkongsi ruang yang sama, iaitu Bahasa Melayu, Perlembagaan, budaya kampus nasional, interaksi masyarakat majmuk, dan kefahaman tentang negara.
27. Bukankah itu lebih baik daripada membiarkan jurang sosial dan pendidikan terus melebar?
28. Dan sebab itu juga, IPTA perlu difahami sebagai institusi awam negara.
30. Sama seperti sekolah awam dan hospital awam, IPTA sepatutnya menjadi institusi milik semua warganegara Malaysia, selagi mereka akur kepada Perlembagaan Persekutuan, mematuhi perundangan negara dan memenuhi syarat yang ditetapkan.
31. Negara tidak boleh terlalu cepat membina tembok pemisahan sehingga akhirnya semua kelompok hidup dalam dunia masing-masing tanpa titik temu nasional yang sebenar.
32. Kerana pada akhirnya, universiti bukan sekadar tempat melahirkan graduan.
Universiti ialah ruang membina warga negara.
DR





