Tahukah anda, untuk memahami perubahan prestasi, kita perlu melihat sekurang-kurangnya tiga titik, iaitu ketika pusingan 2018, 2022 dan 2025.
Kenapa 2022 penting?
Kerana itulah titik perbandingan yang membolehkan kita melihat bagaimana sistem pendidikan bergerak selepas gangguan besar COVID-19.
Maknanya, kalau hanya dibandingkan 2018 dengan 2025, kita mungkin nampak penurunan. Tetapi kita tidak nampak apa yang berlaku di tengah-tengahnya, ketika disruption paling besar berlaku di seluruh dunia, dan sama ada berlaku pemulihan.
Ambil Malaysia. Dalam Sains, skornya 2018: 438, kepada 2022: 416, dan seterusnya 2025: 419.
Ya, kita masih 19 mata di bawah 2018. Itu bukan sesuatu yang boleh kita banggakan. Pengkritik, mereka petik angka ini.
Tetapi dari 2022 ke 2025, kita tidak terus jatuh. Kita naik 3 mata, walaupun peningkatan itu tidak signifikan secara statistik. Istilah yang sesuai, stabil, atau stagnant. Tapi tu lah.. Pengkritik tak ambil angka ini.
Tapi, Maknanya apa? Naik 3 mata? Kita sedang pulih, tetapi pemulihan kita masih perlahan.
Dan di sinilah perbandingan negara menjadi menarik. Mari kita lihat negara kejiranan Asia Tenggara kita.
A. Thailand bergerak daripada 409 pada 2022 kepada 432 pada 2025, peningkatan 23 mata, malah sudah melepasi skor 2018. Ini memang wajar dikaji. Apa yang berlaku dalam sistem mereka sehingga pemulihan Sains begitu kuat?
B. Filipina pula naik 17 mata dan Kemboja 35 mata. Menarik, tetapi baseline juga mesti dilihat. Skor 2025 mereka masih 373 dan 382, masih jauh di bawah Malaysia pada skor 419.
Kenaikan besar mereka, tidak semestinya bermaksud tahap pencapaian sudah tinggi.
C. Begitu juga Indonesia. Sains mereka naik 6 mata daripada 2022. Malaysia naik 3 mata. Ya, 6 lebih besar daripada 3. Itu matematik sekolah rendah. Tapi, sekali lagi, kenaikan satu digit, ia tidak signifikan secara statistik. Stagnant.
Jadi kita tidak boleh memperlakukan +6 sebagai satu lonjakan besar dan +3 sebagai kegagalan untuk pulih. Bacalah data dan angka secara jujur.
D. Vietnam, jatuh merosot teruk. Mereka jatuh 15 mata dari 2022, dan 71 mata dari 2018, ini bermakna pemulihan masih terlalu jauh.
Sebab itu saya fikir kita perlu berhenti menjadikan PISA sekadar pertandingan ranking. Lihat konteks. Tengok baseline. Baca trend. Kemudian lihat nilai signifikan. Barulah kita tahu cerita sebenar.
Dan cerita Malaysia sebenarnya jelas. Kita belum kembali ke tahap 2018. Kita masih ada kerja besar.
Tetapi dalam Sains, kita juga belum melihat kemerosotan selepas 2022. Kita sudah mula bergerak. Sekarang kita perlu bergerak lebih laju.
Itulah data yang patut kita bincangkan. Bukan sekadar siapa naik, siapa turun.
Kalau angka pun kita pilih-pilih, bagaimana kita mahu memilih dasar yang betul?
DR







