Masuk dalam FYP saya satu video pendek yang menunjukkan dua keadaan. Pertama, sekolah swasta dan sekolah kerajaan, digambarkan ramai ibu bapa memilih sekolah swasta, manakala sekolah kerajaan semakin kurang mendapat pilihan. Kemudian ditunjukkan pula sektor pekerjaan, sektor swasta kurang mendapat sambutan, sedangkan pekerjaan kerajaan menjadi rebutan. Di hujung video itu tertulis “DARK REALITY.”
Saya tertarik dengan gambaran itu. Betulkah ini realiti pendidikan dan pekerjaan kita? Kebetulan pula saya baru membaca satu tulisan portal Ekonomi Rakyat yang melaporkan enrolmen sekolah antarabangsa meningkat 48 peratus dalam tempoh 2022 hingga 2024. Angka itu memang menarik. Tetapi adakah peningkatan tersebut bermaksud masyarakat Malaysia telah meninggalkan sekolah kerajaan?
Pada saya, TIDAK. Jauh sekali.
Malah, kalau kita mahu memahami video tersebut, kita perlu berhati-hati membezakan dua perkara, pilihan pendidikan dan pilihan pekerjaan. Anak-anak kita mungkin mempunyai lebih banyak pilihan ketika bersekolah, tetapi itu tidak bermaksud apabila dewasa nanti mereka tidak akan memilih pekerjaan kerajaan. Memilih sekolah swasta tidak bermakna menolak kerajaan. Begitu juga memilih pekerjaan kerajaan tidak bermakna seseorang itu mesti bersekolah di sekolah kerajaan.
Jadi, saya tidak fikir gambaran “dark reality” itu cukup untuk menggambarkan realiti sebenar masyarakat kita.
Mari saya kongsikan data pendidikan ini untuk kita sama-sama telaah.
Malaysia memang mempunyai ekosistem pendidikan yang pelbagai. Ada sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, SK, SJKC, SJKT, sekolah agama, sekolah persendirian, sekolah swasta dan sekolah antarabangsa. Kewujudan pilihan-pilihan ini bukan sesuatu yang pelik. Ia merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan yang dibenarkan dan dikawal selia melalui kerangka undang-undang negara.
Pada tahun 2012 pula, kerajaan memansuhkan kuota kemasukan murid warganegara Malaysia ke sekolah antarabangsa. Ini membuka ruang yang lebih luas kepada ibu bapa untuk memilih laluan pendidikan yang mereka fikir sesuai untuk anak-anak mereka.
Jadi, apabila ibu bapa memilih sekolah swasta atau sekolah antarabangsa, kita tidak boleh terus menganggap mereka sedang menolak sekolah kerajaan.
Pilihan tidak semestinya bermaksud penolakan.
Sekolah-sekolah dalam sistem kita sebenarnya saling melengkapi. Sekolah kerajaan mempunyai kekuatan dan fungsi tersendiri. Sekolah swasta, persendirian dan antarabangsa pula menyediakan pilihan alternatif berdasarkan keperluan dan kemampuan keluarga.
Kita juga perlu mengakui bahawa sekolah kerajaan mempunyai batas dan cabaran. Di kawasan padat seperti Lembah Klang dan pusat bandar, terdapat sekolah yang berhadapan dengan jumlah murid yang sangat ramai. Kelas 40 orang atau lebih bukan sesuatu yang asing.
Jika ibu bapa yang mempunyai kemampuan kewangan memilih sekolah alternatif kerana tidak mahu anak belajar dalam kelas yang terlalu padat, mahukan kemudahan tertentu, persekitaran berbeza, bahasa pengantar tertentu, lokasi yang lebih sesuai atau waktu persekolahan yang lebih panjang, itu ialah pilihan yang rasional.
Tetapi kita jangan lupa perkara paling besar. Sekolah kerajaan masih menjadi pilihan majoriti rakyat Malaysia. Pilihan paling besar. Jauh melangkaui sekolah bukan kerajaan.
Data KPM menunjukkan sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan sahaja mempunyai sekitar 2.75 juta murid pada 2025. Pada masa yang sama, keseluruhan enrolmen sekolah swasta peringkat rendah dan menengah sekitar 215,577 murid, dan angka ini merangkumi pelbagai kategori sekolah bukan kerajaan.
Maksudnya? Masih sekitar 95 peratus berada dalam sistem kerajaan dan bantuan kerajaan, manakala, bakinya hanya kira-kira 5 peratus berada dalam pelbagai laluan bukan kerajaan, bergantung kepada takrif dan kategori statistik yang digunakan.
Jadi, kalau 95 peratus masih berada dalam sistem kerajaan, agak sukar untuk kita mengatakan bahawa masyarakat telah meninggalkan sekolah kerajaan.
Namun, jangan pula kita abaikan angka 48 peratus tadi.
Enrolmen sekolah antarabangsa memang meningkat daripada 71,713 pada 2022 kepada 106,160 pada 2024. Itu peningkatan yang nyata. Tetapi kita tidak boleh mengatakan kesemua 34,447 murid tambahan itu berpindah daripada sekolah kerajaan. Hampir separuh daripada pertambahan tersebut datang daripada peningkatan enrolmen bukan warganegara.
Cuma, kita kena jelas, bahawa pertumbuhan enrolmen tidak sama dengan penghijrahan murid. Sebab itu, apabila membaca data pendidikan, kita jangan terlalu simplistik.
Kita juga jangan memperkecilkan sekolah kerajaan hanya kerana sekolah swasta mempunyai bangunan lebih cantik, kemudahan lebih moden atau kelas lebih kecil. Model pembiayaannya memang berbeza.
Sekolah kerajaan dibiayai kerajaan untuk menyediakan pendidikan kepada jutaan rakyat. Sekolah swasta pula mempunyai sumber modal dan struktur yuran yang berbeza.
Ia sedikit sebanyak seperti membandingkan hospital kerajaan dengan hospital swasta. Kemudahan dan suasananya mungkin berbeza kerana model pembiayaannya berbeza. Tetapi itu tidak bermaksud hospital kerajaan tidak berkualiti.
Begitu juga sekolah.
Kita boleh mengkritik kelemahan sekolah kerajaan. Kita boleh bercakap tentang kepadatan kelas, infrastruktur, beban guru dan teknologi. Tetapi jangan sampai kritikan itu berubah menjadi kesimpulan bahawa sekolah kerajaan sudah tidak berkualiti.
Hakikatnya, banyak sekolah kerajaan mempunyai guru yang sangat baik, kepimpinan sekolah yang kuat, budaya pembelajaran yang positif dan pencapaian yang membanggakan. Malah ada sekolah kerajaan yang menjadi rebutan ibu bapa.
Jadi persoalan yang lebih menarik bukanlah Adakah masyarakat telah meninggalkan sekolah kerajaan? Tetapi Mengapa sebahagian keluarga memilih alternatif, dan apakah yang pilihan itu cuba beritahu kita?”
Kalau ibu bapa memilih kerana kelas lebih kecil, kita perlu melihat isu kepadatan.
Kalau kerana kemudahan, kita lihat standard infrastruktur.
Kalau kerana bahasa, kita lihat penguasaan bahasa.
Kalau kerana persekitaran dan budaya sekolah, kita lihat aspek keselamatan, disiplin, kesejahteraan murid dan hubungan sekolah dengan ibu bapa.
Kewujudan sekolah swasta dan antarabangsa tidak semestinya ancaman kepada sekolah kerajaan.
Ia juga boleh menjadi cermin.
Cermin yang menunjukkan apa yang sebahagian ibu bapa cari dan sanggup bayar untuk mendapatkannya.
Dan daripada situ, kita boleh belajar.
Apabila masyarakat mempunyai pilihan, sekolah kerajaan tidak perlu melihatnya sebagai ancaman. Kita boleh bertanya, Apa yang mereka cari di tempat lain, dan apa yang boleh kita lakukan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat?
Ini bukanlah bermakna sekolah kerajaan bermasalah.
We learn to grow.
Kita belajar, memperbaiki dan terus berkembang.
Lagipun, terdapat lebih 10,000 sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di seluruh negara. Skalanya sangat besar, dengan konteks dan keperluan yang berbeza-beza. Tidak mungkin semuanya mempunyai kemudahan dan keadaan yang sama seperti sekolah swasta.
Jadi, yang perlu kita lakukan bukan merendahkan sekolah kerajaan, tetapi terus memperkuatkan sistem yang menjadi pilihan majoriti rakyat Malaysia.
Akhirnya, sama ada anak kita bersekolah di SK, SJKC, SJKT, sekolah agama, sekolah persendirian, sekolah swasta atau sekolah antarabangsa, matlamat akhirnya tetap sama, iaitu menyediakan generasi yang berkualiti untuk masa depan Malaysia.
Dan mungkin di sinilah “dark reality” dalam video tadi perlu kita lihat semula.
Anak yang bersekolah di sekolah swasta boleh menjadi penjawat awam. Anak yang bersekolah di sekolah kerajaan pula boleh menjadi usahawan, profesional atau bekerja dalam sektor swasta.
Pilihan sekolah tidak menentukan di mana seseorang mesti bekerja apabila dewasa.
Jadi, jangan kerana satu video pendek bertajuk “Dark Reality”, kita terus membuat kesimpulan bahawa masyarakat telah meninggalkan sekolah kerajaan.
Yang berlaku ialah pilihan pendidikan semakin pelbagai, dan itu bukan semestinya sebuah “dark reality”.
Dalam konteks kesan sosial jangka panjang, itu perbahasan yang lain… Yang kita juga tidak boleh perkecilkan.
DR





