Daripada 74 sistem pendidikan yang mempunyai data yang boleh dibandingkan antara PISA 2022 dan PISA 2025, hanya 9 sistem pendidikan yang berjaya menunjukkan peningkatan yang signifikan secara statistik dalam Matematik.
Bakinya?
65 daripada 74 sistem, atau hampir 88%, sama ada masih merosot, tidak berubah, atau meningkat sedikit tetapi peningkatan itu tidak signifikan secara statistik, ataupun stagnan.
88%…
Ini peratusan yang besar.
Malah, lebih besar daripada bidang Sains, iaitu sekitar 81%
Dan angka ini memberitahu kita sesuatu yang penting.
Cabaran untuk pulih selepas PISA 2022 itu memang real.
Ia bukan cerita yang dibuat-buat. Ia bukan masalah Malaysia sahaja. Dan ia bukan semata-mata kerana satu kementerian, seorang menteri atau satu dasar pendidikan.
Kita sedang melihat satu cabaran yang lebih luas dalam pendidikan global.
PISA 2022 sendiri berlangsung dalam bayang-bayang gangguan besar akibat COVID-19. Sekolah ditutup, pembelajaran beralih kepada kaedah jarak jauh dan rutin pembelajaran anak-anak terganggu dalam tempoh yang panjang. Tetapi kesannya tidak semestinya hilang apabila sekolah dibuka semula.
Apatah lagi, Malaysia, negara yang mana persekolahannya ditutup, antara paling lama di dunia!
Sebab itu PISA 2025 penting.
Ia memberi kita gambaran sama ada sistem pendidikan sudah mula bangkit, masih dalam proses pemulihan, ataupun terus bergelut.
Dan Matematik nampaknya merupakan antara cabaran paling besar.
Dalam konteks ini, kedudukan Malaysia perlu dibaca dengan jujur.
Skor Matematik kita turun daripada 409 pada 2022 kepada 397 pada 2025. Ya, ini penurunan yang signifikan. Kita tidak perlu mencari alasan untuk menutup perkara itu.
Tetapi kita juga tidak perlu berpura-pura bahawa dunia pendidikan yang lain semuanya sudah pulih dan Malaysia satu satunya sahaja yang masih terhegeh-hegeh di kedudukan bawah.
Tidak. Hampir 88% sistem yang boleh dibandingkan masih belum menunjukkan peningkatan Matematik yang signifikan.
Jadi, kalau kita jujur membaca data, soalan sekarang bukan lagi sekadar, Kenapa Malaysia jatuh? Soalan yang lebih penting ialah Kenapa hanya 9 sistem berjaya menunjukkan pemulihan yang signifikan, dan apakah yang mereka lakukan?
Sebab itulah kita tidak menunggu keputusan PISA 2025 untuk mula bertindak.
Pertengahan tahun ini, kita sudah melancarkan Program Transformasi Pendidikan Matematik (PTPM) 2026–2030.
Fokusnya bukan sekadar mengejar angka PISA. Kita perlu memperbaiki perkara yang berlaku lebih dekat dengan bilik darjah, khususnya pedagogi, penguasaan konsep, dan pentaksiran.
Antara yang akan menjadi intervensi akan datang adalah pelaksanaan penuh Pentaksiran Profisiensi Literasi (PPL), supaya kita lebih awal mengenal pasti apa yang murid tahu, apa yang mereka belum kuasai dan di mana mereka mula tercicir.
Jadi, ya. Matematik kita masih belum pulih.
Tetapi sekarang kita mempunyai data yang lebih jelas tentang cabarannya.
Dan kerja kita bukan untuk mempertahankan angka 397.
Kerja kita adalah untuk memastikan angka itu tidak menjadi titik akhir.
Ini yang saya rasa, apa yang kita perlu berikan tumpuan.
Soalan saya, ada siapa yang sudah membaca penuh Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik Malaysia 2026 – 2035?
Kalau belum, mulakanlah, daripada terlalu asyik menyalahkan dan menuding jari.
DR





