Selepas 60 Tahun, Kita Mula Mengajar Mengapa Kita Bersama

Saya ingin ucapkan tahniah kepada Kerajaan MADANI atas langkah memasukkan unsur identiti Sabah dalam kurikulum baharu Tahun 1 dan Tingkatan 1 mulai 2027.

Pada saya, ini nampak kecil. Masuk beberapa elemen Sabah dalam kurikulum. Tetapi kalau kita fikir betul-betul, kesannya mungkin jauh lebih besar daripada apa yang kita nampak.

Malaysia dibentuk pada 1963 melalui penyatuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Kita sudah lebih 60 tahun hidup sebagai sebuah Persekutuan, tetapi dalam pendidikan, kita kadang-kadang masih melihat Malaysia melalui lensa yang terlalu umum dan terlalu berpusat kepada satu naratif.

Jadi, apabila identiti dan pengalaman Sabah mula diberikan tempat yang lebih jelas dalam kurikulum nasional, saya melihatnya sebagai satu langkah yang sangat baik.

Malah, saya fikir ini boleh menjadi game changer.

Bukan sebab memasukkan kandungan Sabah dalam buku teks akan menyelesaikan segala persoalan MA63. Tidak.

Tetapi kerana apa yang kita ajar di sekolah sebenarnya memberitahu anak-anak kita apa yang penting tentang negara ini.

Anak-anak di Semenanjung perlu tahu siapa masyarakat Kadazandusun, Murut, Bajau, Rungus dan komuniti lain di Sabah. Mereka perlu tahu sejarah dan pengalaman Sabah.

Begitu juga anak-anak Sabah perlu lebih mengenali Sarawak dan Semenanjung.

Kita selalu suruh anak-anak hormati kepelbagaian. Tetapi bagaimana hendak menghormati sesuatu yang kita sendiri tidak kenal?

Kita perlu saling kenal sebelum kita boleh benar-benar saling memahami. Ini asas.

Sebab itu saya berharap pendekatan ini bukan berhenti di Sabah sahaja. Kalau kita serius mahu membina identiti Malaysia, pengalaman Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak semuanya perlu mendapat tempat yang sewajarnya dalam pendidikan kita.

Ini bukan soal menjadikan semua orang sama.

Sebaliknya, kita mengajar anak-anak bahawa kita memang berbeza, tetapi perbezaan itulah yang membentuk Malaysia.

Selepas lebih enam dekad, mungkin sudah sampai masanya kita berhenti hanya mengajar anak-anak apa itu Malaysia.

Kita perlu mula mengajar mereka mengapa Malaysia itu terbentuk begini.

Kerana akhirnya, kita tidak perlu mengajar anak-anak menjadi sama untuk menjadi rakyat Malaysia.

Kita cuma perlu memastikan mereka cukup mengenali perbezaan yang membentuk Malaysia, supaya mereka faham mengapa kita memilih untuk terus bersama.

Pada saya, itulah pendidikan untuk sebuah Persekutuan yang matang.

Selamat Hari Malaysia 2026

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top