PISA 2025 sebenarnya memberikan jawapan yang agak melegakan. Sebanyak 94.2% murid Malaysia berasa selamat berada di dalam kelas, berbanding 93.3% purata OECD. Ketika pergi ke sekolah pula 94.2% berasa selamat dan 93.7% ketika pulang.
Tetapi ceritanya berubah apabila kita melihat ruang lain di sekolah. Hanya 86.3% murid berasa selamat di kawasan seperti koridor, kantin dan tandas, berbanding 91% purata OECD. Indeks rasa selamat Malaysia juga -0.07, berbanding 0.18 OECD.
Ini bagi saya penting. Sekolah bukan hanya bilik darjah. Di dalam kelas ada guru, struktur dan kawalan yang lebih jelas. Tetapi di koridor, kantin, tandas dan ruang sosial lain, pengalaman murid mungkin sangat berbeza.
Data buli menguatkan perkara ini. 27% murid Malaysia melaporkan menjadi mangsa sekurang-kurangnya satu bentuk buli beberapa kali sebulan atau lebih, berbanding 20% OECD. Sebanyak 44% mengatakan mereka dipersendakan, 37.6% mengalami penyebaran khabar angin buruk dan 12.4% mengatakan mereka diugut.
Angka 27% pada 2025 ini sebenarnya tidak jauh daripada 2022. Pada 2022, 22% murid perempuan dan 29% murid lelaki Malaysia melaporkan pengalaman buli pada kekerapan yang sama. Sebenarnya, peratusan ini lebih rendah ketimbang laporan PISA 2018, yang mencatatkan sekitar 36%.
Yang lebih baharu ialah buli dalam dunia digital. 5% murid Malaysia melaporkan maklumat yang menyakitkan hati tentang mereka diterbitkan dalam talian tanpa persetujuan, berbanding hanya 3% purata OECD. Mangsa bentuk buli siber ini pula mencatatkan skor Sains secara purata 40 mata lebih rendah daripada rakan mereka.
Ukuran khusus buli siber ini baru diperkenalkan dalam PISA 2025, jadi kita tidak boleh membuat perbandingan terus dengan 2018 atau 2022.
Di sinilah saya melihat kepentingan Child Protection Policy, atau Polisi Perlindungan Murid. Pada 2026, KPM telah memperkenalkan SPI KPM Bilangan 4 Tahun 2026: Pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah Bawah Kementerian Pendidikan. Ia hadir bersama garis panduan baharu berkaitan pengurusan sekolah selamat.
Polisi ini tidak sepatutnya dilihat sebagai satu lagi dokumen untuk disimpan di pejabat sekolah. Ia mesti menjadi sistem perlindungan yang memastikan apabila seorang murid dibuli, diugut, dipermalukan atau diganggu, sama ada di koridor sekolah atau di ruang digital, ada orang dewasa yang tahu apa perlu dilakukan.
Kita sebenarnya mempunyai asas yang baik. Iklim disiplin dalam kelas Malaysia lebih baik daripada OECD, dan sokongan guru juga tinggi. Buktinya, 91% murid mengatakan guru membantu pembelajaran mereka, 87% mengatakan guru terus mengajar sehingga mereka faham dan 86% menerima bantuan tambahan apabila diperlukan.
Maka cabarannya bukan untuk melabel sekolah kita sebagai “tidak selamat”. Cabarannya ialah memastikan rasa selamat itu tidak terhenti di pintu bilik darjah.
Kita wajar bimbang apabila kita mengenangkan kehidupan harian anak-anak kita di sekolah. Ada anak yang mungkin masih ketawa di dalam kelas, tetapi takut ke kantin. Anak yang masih hadir ke sekolah, tetapi tidak pernah mengadu kerana tidak tahu kepada siapa hendak bercerita.
Child Protection Policy penting kerana kita mahu setiap anak tahu satu perkara, iaitu apabila sesuatu berlaku kepada mereka, mereka tidak bersendirian.
Ada orang dewasa yang akan mendengar, bertindak dan melindungi mereka. Itu komitmen orang dewasa kepada anak-anak Malaysia.
Itulah makna sebenar sekolah yang selamat.
DR





