Buli Siber

Saya nak tegaskan begini.

Janganlah kita terlalu obses dengan ranking PISA.

Ya, Sains, Matematik dan Bacaan itu penting. Kita memang perlu melihat pencapaian akademik anak-anak kita dan kita tidak boleh menafikan kelemahan yang ditunjukkan oleh PISA 2025. Tetapi pendidikan tidak seharusnya dibaca hanya melalui kedudukan Malaysia dalam satu senarai ranking.

Ada perkara lain dalam laporan itu yang pada saya jauh lebih dekat dengan kehidupan anak-anak kita hari ini.

Salah satunya ialah buli siber.

Tahukah kita, PISA 2025 menunjukkan 27% murid Malaysia melaporkan mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk buli (fizikal, lisan, buli siber, dll) beberapa kali sebulan atau lebih, berbanding 20% bagi OECD.

Untuk buli siber pula, 5% murid Malaysia melaporkan bahawa maklumat yang mengganggu atau memalukan tentang diri mereka telah disiarkan dalam talian tanpa kebenaran sekurang-kurangnya beberapa kali sebulan. Purata OECD ialah 3%.

Dan ada satu angka lagi yang patut membuat kita renung mendalam.

Murid yang melaporkan pengalaman buli siber tersebut memperoleh skor Sains 40 mata lebih rendah, secara purata, berbanding murid yang tidak melaporkannya.

Sebagai panduan, kita perlu berhati-hati membaca angka ini. Ia menunjukkan hubungan, bukan bukti bahawa buli siber menyebabkan penurunan 40 mata. Walau bagaimanapun, hubungan itu cukup besar untuk tidak kita ketepikan.

Jadi, apa sebenarnya yang sedang berlaku?

Mungkin selama ini kita terlalu melihat dunia digital sebagai soal teknologi. Kita gembira apabila anak-anak semakin celik digital. Kita bercakap tentang AI. Kita mahu mereka menguasai computational thinking, menyelesaikan masalah dan menggunakan teknologi untuk belajar.

Dan memang ada sebab untuk kita berbangga.

PISA 2025 menunjukkan sesuatu yang menarik tentang keupayaan anak-anak Malaysia dalam computational problem solving. Sebanyak 82.6% murid kita menunjukkan prestasi lebih baik daripada yang dijangkakan berdasarkan prestasi Sains mereka, berbanding 56.3% bagi OECD. Tinggi tu!

Ini petanda bahawa ada keupayaan tertentu dalam kalangan anak-anak kita yang tidak semestinya dapat dilihat melalui skor Sains, Matematik dan Bacaan semata-mata.

Tetapi di sinilah paradoksnya.

Sedar atau tidak, kita sedang melahirkan generasi yang semakin biasa dengan dunia digital. Mereka berupaya mencari maklumat, berinteraksi dalam talian, menggunakan aplikasi, berhadapan dengan AI dan menyelesaikan masalah dalam persekitaran digital, lebih baik daripada banyak negara di dunia.

Pada masa yang sama, ruang digital itu sendiri membawa cabaran yang kita mungkin belum benar-benar bersedia untuk menghadapinya.

Seorang anak boleh belajar menggunakan teknologi dengan baik, tetapi belum tentu tahu bagaimana menghadapi penghinaan di media sosial.

Tuan-tuan, Cyber bully is real.

Dia mungkin tahu menggunakan AI, tetapi tidak tahu bagaimana hendak meminta bantuan apabila gambarnya disebarkan tanpa izin.

Dia mungkin cekap menyelesaikan masalah digital, tetapi emosinya tetap seorang remaja 15 tahun yang masih belajar memahami dirinya sendiri. Jangan kita pandang ringan dan remeh soal kesihatan mental yang terjejas akibat buli siber.

Inilah norma baharu yang sedang kita hadapi.

Kita baru sahaja melalui tempoh COVID-19 dan proses pemulihan pembelajaran masih berjalan. Dalam tempoh itu, peranti menjadi sebahagian besar daripada kehidupan pendidikan anak-anak. Dunia pembelajaran berubah. Cara berkomunikasi berubah. Cara mendapatkan maklumat berubah.

Dan sekarang kita sedang berhadapan dengan satu realiti yang lebih besar, di mana anak-anak kita bukan sekadar belajar menggunakan teknologi. Mereka membesar di dalam teknologi.

Sebab itu isu buli siber tidak boleh dianggap sebagai isu sampingan.

Apabila sesuatu berlaku di alam maya, kesannya tidak semestinya tinggal di alam maya. Ia boleh dibawa masuk ke bilik darjah, ke rumah, ke hubungan persahabatan dan akhirnya mempengaruhi keyakinan serta keupayaan anak untuk belajar.

PISA sendiri memberikan petunjuk tentang perkara ini melalui perbezaan pencapaian Sains tadi.

Kita juga perlu melihatnya dari sudut kesejahteraan. Saya tidak mahu membuat kesimpulan bahawa setiap murid yang menjadi mangsa buli siber akan mengalami masalah kesihatan mental atau pencapaian akademiknya akan merosot. Itu terlalu mudah.

Tetapi kita juga tidak boleh bersikap seolah-olah pengalaman itu tidak meninggalkan kesan.

Bayangkan seorang anak yang setiap kali membuka telefon teringat sesuatu yang memalukan tentang dirinya telah tersebar. Kita kemudian meminta dia tumpu kepada pelajaran.

Jangan fikir itu suatu yang mudah.

Jadi, ketika kita sedang bercakap tentang pemulihan pendidikan, kita perlu memahami bahawa pemulihan itu bukan hanya tentang mengejar semula markah Matematik atau Bacaan yang hilang selepas pandemik.

Kita juga sebenarnya sedang memulihkan anak-anak yang hidup dalam norma baharu. Norma yang mempunyai telefon pintar, Media sosial, AI, Permainan dalam talian, WA grup, dll. Tekanan rakan sebaya tidak berhenti selepas waktu sekolah.

Ini bukan dunia yang boleh kita undurkan.

Maka tugas kita bukan untuk menjauhkan anak-anak daripada teknologi. Tugas kita ialah memastikan mereka cukup matang, cukup dilindungi dan cukup disokong untuk hidup dalam dunia tersebut.

Kita boleh terus memperbaiki computational thinking. Kita memang perlu. Sudah tentu kita perlu terus memperkukuh Matematik, Sains dan Bacaan. Itu juga penting. Tetapi dalam masa yang sama, literasi digital mesti datang bersama literasi emosi dan keselamatan digital.

Jadi, jangan terlalu sibuk dengan ranking sehingga kita terlepas pandang perkara yang sedang berlaku di hadapan mata.

5% mungkin kelihatan kecil dalam laporan PISA. Tetapi bagi seorang anak yang menjadi mangsa, angka itu adalah seluruh pengalaman hidupnya pada ketika itu.

DR

Buli Siber

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top