Artikel “The A in SPM, the F in PISA: Why Our Exam Miracle Doesn’t Add Up” mengangkat satu persoalan yang wajar dibincangkan. (Baca di sini: https://bernama.com/en/thoughts/news.php?id=2562317). With due respect to Prof Dato Dr Ahmad Ibrahim, saya memberikan respon saya, educationist to educationist. ![]()
Bagaimana mungkin semakin ramai pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM, tetapi pencapaian Malaysia dalam pentaksiran antarabangsa seperti PISA masih belum berada pada tahap yang diharapkan? Ini headlinenya.
Persoalan itu sepertinya valid untuk dibahaskan.
Namun saya fikir, terdapat satu kelemahan asas dalam hujah tersebut. Keseluruhan perbahasan bermula dengan membandingkan keputusan SPM dan PISA, kemudian membuat kesimpulan bahawa peningkatan bilangan A dalam SPM mungkin mencerminkan penurunan standard peperiksaan atau inflasi gred.
Di sinilah saya melihat kesilapan yang agak fundamental. SPM dan PISA bukan instrumen yang setara.
SPM ialah peperiksaan kebangsaan yang dibina berdasarkan kurikulum Malaysia. PISA pula ialah pentaksiran antarabangsa berasaskan sampel yang dibangunkan oleh OECD untuk mengukur kompetensi tertentu dalam konteks yang berbeza.
Kedua-duanya mempunyai tujuan, konstruk dan metodologi yang berbeza. Maka membandingkan kedua-duanya secara langsung, lalu membuat kesimpulan bahawa salah satu daripadanya bermasalah hanya kerana menghasilkan dapatan yang berbeza, merupakan satu lompatan logik yang agak besar.
Peningkatan keputusan SPM tidak semestinya membuktikan standard menurun. Begitu juga pencapaian PISA tidak semestinya membuktikan keseluruhan sistem pendidikan gagal.
Kedua-duanya hanya memberitahu sebahagian daripada cerita yang lebih besar.
Kita perlu memahami satu perkara yang sangat asas. Penandaarasan antarabangsa seperti PISA, TIMSS, PIRLS dan SEA-PLM, peperiksaan awam seperti SPM dan STPM, pendekatan pentaksiran berterusan seperti Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), serta Matriks Pembelajaran Malaysia (MPM) yang sedang dibangunkan, semuanya merupakan instrumen atau mekanisme untuk mengukur dan memahami keberhasilan pembelajaran murid.
Semuanya penting.
Tetapi semuanya tetap instrumen.
Alat, bukan matlamat.
Masalah mula timbul apabila kita memberikan kedudukan yang terlalu tinggi kepada mana-mana satu instrumen sehingga seolah-olah ia menjadi hakim mutlak kepada kejayaan atau kegagalan pendidikan negara.
Akhirnya seluruh perbincangan pendidikan berlegar-legar di sekitar angka, skor dan ranking.
Sedangkan pendidikan jauh lebih besar daripada itu.
Hakikatnya hampir semua instrumen tersebut mengukur dimensi kognitif pembelajaran seperti literasi, numerasi, aplikasi pengetahuan dan penyelesaian masalah. Semua ini penting, tetapi adakah itu keseluruhan tujuan pendidikan?
Sudah tentu tidak.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan bercakap tentang pembangunan insan secara menyeluruh dan bersepadu. Kita bercakap tentang akhlak, nilai, tanggungjawab, patriotisme, kenegaraan, kesejahteraan emosi dan keupayaan hidup bersama dalam masyarakat yang majmuk.
Persoalannya, instrumen manakah yang benar-benar mengukur semua ini?
Jawapannya, tidak ada.
Atau sekurang-kurangnya belum ada satu instrumen yang mampu mengukur keseluruhan keberhasilan pendidikan secara sempurna.
Sebab itulah kita perlu berhati-hati apabila membuat kesimpulan besar tentang pendidikan negara hanya berdasarkan satu instrumen tertentu.
(6)
Malah apabila kita bercakap tentang PISA, ada beberapa perkara yang sering terlepas pandang. Antara dapatan konsisten OECD ialah murid yang mempunyai lebih banyak buku di rumah lazimnya menunjukkan prestasi bacaan yang lebih baik.
Maknanya, di sebalik skor yang tinggi terdapat faktor budaya membaca, akses kepada bahan bacaan dan sokongan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Sebab itu apabila kerajaan memperkenalkan Baucar Buku MADANI, fokusnya bukan sekadar membeli buku. Yang lebih penting ialah membina budaya membaca dan pemilikan buku dalam masyarakat. Jika kita benar-benar mengambil serius dapatan PISA, maka inilah contoh bagaimana data digunakan untuk memperkukuh ekosistem pendidikan, bukan sekadar mengejar ranking.
Begitu juga apabila kita melihat negara-negara yang mencatat pencapaian tinggi dalam pelbagai pentaksiran antarabangsa. Sebahagiannya turut berdepan isu tekanan akademik, kesejahteraan murid dan masalah kesihatan mental yang serius.
Ada juga yang merekodkan kadar bunuh diri yang membimbangkan dalam kalangan remaja dan belia. Kita pun tahu hal ini. Jadi, sudah tentu kita tidak boleh membuat kesimpulan mudah bahawa pencapaian akademik menyebabkan masalah tersebut. Namun hakikat ini mengingatkan dan sepatutnya menyedarkan kita bahawa skor yang tinggi tidak semestinya menggambarkan keseluruhan kejayaan pendidikan sesebuah negara.
Kita tidak menolak PISA, TIMSS atau mana-mana pentaksiran lain. Malah semua dapatan tersebut perlu diambil serius. Namun pengalaman Malaysia sendiri melalui PPPM 2013–2025 mengajar kita bahawa pendidikan tidak boleh dibina semata-mata untuk memenuhi satu indikator tertentu.
Sebab itulah Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 memberi penekanan yang lebih menyeluruh kepada pengukuhan ekosistem pendidikan. Fokusnya bukan sekadar pencapaian dalam ujian, tetapi turut merangkumi kualiti guru, kepimpinan sekolah, TVET, kecerdasan buatan (AI), kokurikulum, sukan, kesejahteraan murid, literasi, numerasi dan pembangunan sahsiah.
Justeru, persoalan pendidikan negara bukan mencari satu indikator yang paling hebat atau paling tepat.
Hakikatnya tidak wujud satu pun instrumen yang mampu mengukur keseluruhan keberhasilan pendidikan.
Yang lebih penting ialah membaca semua dapatan daripada pelbagai instrumen secara bersepadu bagi memahami kekuatan, kelemahan dan cabaran sebenar sistem pendidikan negara.
Daripada situlah kita memperkukuh keseluruhan ekosistem pendidikan, bukannya sekadar mengejar satu skor atau satu ranking tertentu.
Akhirnya, perbahasan sebenar bukanlah sama ada kita perlu memilih SPM atau PISA.
Perbahasan sebenar ialah sama ada sistem pendidikan kita berjaya melahirkan manusia yang mampu berfikir, mempunyai nilai, berintegriti, berjiwa warganegara dan bersedia mendepani cabaran masa depan.
Dan.. Berkenaan MCKK, saya fikir hujah yang dikemukakan juga mengandungi satu ironi yang menarik. MCKK diangkat sebagai contoh kejayaan pendidikan yang membentuk kepimpinan, karakter, keyakinan diri dan pemikiran yang matang,
Namun, bukankah MCKK juga merupakan produk sistem pendidikan Malaysia, beroperasi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, menggunakan kurikulum kebangsaan dan menduduki peperiksaan yang sama.
Jika MCKK dijadikan bukti bahawa pendidikan perlu melahirkan lebih daripada sekadar pencapaian akademik, maka ia sebenarnya mengesahkan bahawa keberhasilan pendidikan tidak boleh diukur melalui SPM mahupun PISA semata-mata.
Nah, contoh yang digunakan untuk mengkritik sistem akhirnya membuktikan bahawa pendidikan jauh lebih besar daripada mana-mana skor atau ranking.
DR





