Memahami PISA

PISA sering menjadi rujukan apabila membincangkan prestasi pendidikan sesebuah negara. Namun sebelum kita melihat skor, ranking atau perbandingan antara negara, ada satu persoalan yang lebih penting untuk difahami terlebih dahulu.

Apakah sebenarnya yang diukur oleh PISA?

Ramai mengenali PISA melalui kedudukan sesebuah negara dalam ranking antarabangsa. Namun tidak ramai yang benar-benar memahami apa yang dinilai, bagaimana penilaian itu dibuat, dan apakah konteks yang perlu difahami sebelum membuat perbandingan antara negara.

PISA ialah singkatan kepada Programme for International Student Assessment, iaitu satu kajian antarabangsa yang dikendalikan oleh OECD. Kajian ini dilaksanakan setiap tiga tahun dan melibatkan sampel murid berusia sekitar 15+ tahun.

PISA juga bukan sekadar ujian matematik. Tiga domain utama yang dinilai ialah literasi bacaan, literasi matematik dan literasi saintifik. Selain itu, setiap kitaran PISA turut menilai domain inovatif yang berubah mengikut pusingan penilaian. Sebagai contoh, PISA 2022 turut mengukur pemikiran kreatif (creative thinking).

Di sinilah satu perkara penting yang sering terlepas pandang.

Apabila disebut “15+”, ramai membayangkan murid yang baru berumur 15 tahun. Hakikatnya, peserta PISA berada dalam julat umur sekitar 15 tahun 3 bulan hingga 16 tahun 2 bulan.

Dengan kata lain, majoriti peserta sebenarnya lebih hampir kepada umur 16 tahun berbanding 15 tahun.

Mengapa perkara ini penting?

Kerana murid yang diuji dalam PISA bukanlah murid yang telah menamatkan pendidikan menengah. Dalam konteks Malaysia, mereka masih berada kira-kira satu hingga dua tahun sebelum menduduki SPM.

Terdapat satu lagi perkara yang jarang dibincangkan.

Di banyak negara, persekolahan formal bermula pada umur 5+, iaitu hampir 6 tahun. Di Malaysia pula, murid lazimnya memasuki Tahun 1 pada umur 6+, iaitu hampir 7 tahun.

Ringkasnya:

• 5+ bermaksud hampir 6 tahun.

• 6+ bermaksud hampir 7 tahun.

• 15+ bermaksud hampir 16 tahun.

• 16+ bermaksud hampir 17 tahun.

Ini bermakna apabila murid dari pelbagai negara diuji pada umur yang hampir sama, mereka tidak semestinya mempunyai tempoh persekolahan formal yang sama.

Sudah tentu faktor ini bukan penjelasan tunggal kepada prestasi PISA. Banyak faktor lain turut mempengaruhi pencapaian murid seperti kualiti pengajaran, status sosioekonomi, budaya membaca, penyertaan pendidikan awal kanak-kanak dan akses kepada sumber pembelajaran.

Namun konteks ini penting untuk difahami.

Jika kehilangan beberapa minggu atau bulan persekolahan boleh memberikan kesan yang besar kepada pembelajaran, maka adalah munasabah untuk memahami bahawa perbezaan tempoh pendedahan kepada persekolahan formal antara negara juga merupakan sebahagian daripada konteks yang perlu diambil kira apabila mentafsir keputusan PISA.

Jika tempoh persekolahan, struktur sistem pendidikan dan umur tamat persekolahan berbeza, bolehkah kita terus membandingkan keputusan antara negara secara langsung?

Di sinilah satu perkara yang sering terlepas dalam perbahasan awam mengenai keputusan PISA. Apabila membandingkan pencapaian Malaysia dengan negara lain, kita perlu berhati-hati daripada membuat kesimpulan yang terlalu mudah.

Struktur persekolahan berbeza.

Umur permulaan persekolahan berbeza.

Tempoh pendidikan wajib berbeza.

Kadar penyertaan pendidikan awal kanak-kanak berbeza.

Malah umur tamat pendidikan menengah juga berbeza.

Sebab itu, adalah kurang tepat untuk membuat perbandingan secara langsung dan seterusnya menjatuhkan hukum bahawa sistem pendidikan sesebuah negara lebih baik atau lebih buruk hanya berdasarkan satu skor atau satu kedudukan dalam ranking PISA.

Ini tidak bermaksud keputusan PISA tidak penting. Sebaliknya, PISA menyediakan data yang sangat bernilai untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan sesuatu sistem pendidikan.

Namun data tersebut perlu ditafsir dengan memahami konteks yang melatari setiap negara.

PISA ialah alat diagnostik pendidikan, bukannya mahkamah yang menjatuhkan hukuman terhadap keseluruhan sistem pendidikan sesebuah negara.

Jadi, apakah sebenarnya yang cuba diukur oleh PISA?

Ramai beranggapan PISA hanyalah peperiksaan matematik antarabangsa. Hakikatnya, PISA bukan sekadar menguji sama ada murid boleh mengira, menghafal formula atau menyelesaikan persamaan.

PISA mengukur sejauh mana murid mampu menggunakan pengetahuan yang dipelajari untuk menghadapi situasi dunia sebenar.

Dalam bahasa yang mudah, PISA tidak bertanya:

“Adakah kamu tahu matematik?”

Sebaliknya, PISA bertanya:

“Bolehkah kamu menggunakan matematik apabila berhadapan dengan masalah kehidupan sebenar?”

Inilah yang disebut sebagai literasi matematik. Saya sertakan contoh item yang mirip item PISA seperti dalam rajah di bawah.

[Boleh rujuk di sini untuk released item PISA]

https://www.oecd.org/…/released-items-from-the-pisa…https://www.oecd.org/en/publications/pisa-2022-results-volume-i_53f23881-en/full-report/released-items-from-the-pisa-2022-computer-based-mathematics-assessment_1983f907.html

Apakah yang dimaksudkan dengan literasi matematik?

Bayangkan sebuah festival makanan menawarkan beberapa pakej kupon yang berbeza. Seorang murid diminta menentukan kombinasi kupon yang paling murah untuk mendapatkan jumlah kupon yang diperlukan.

Pada pandangan pertama, soalan ini kelihatan mudah. Namun murid bukan sekadar perlu membuat pengiraan.

Murid perlu membaca maklumat.

Murid perlu membandingkan beberapa pilihan.

Murid perlu membuat keputusan.

Dan yang paling penting, murid perlu menerangkan mengapa pilihan tersebut lebih baik daripada pilihan yang lain.

Di sinilah bezanya antara item PISA dan soalan matematik tradisional.

PISA bukan sekadar mencari jawapan yang betul. PISA mahu melihat bagaimana murid berfikir menggunakan matematik.

Atas sebab itu, item PISA biasanya dibina menggunakan konteks kehidupan sebenar seperti bil elektrik, pengangkutan awam, penggunaan tenaga, data cuaca, kesihatan, kewangan dan pelbagai situasi harian yang autentik.

Murid bukan sahaja perlu menjawab “berapa”. Mereka juga perlu menjawab “mengapa” dan “bagaimana”.

(11)

Secara ringkas, item PISA mempunyai tiga ciri utama.

Pertama, matematik sentiasa diletakkan dalam konteks dunia sebenar.

Kedua, murid perlu berfikir dan membuat penaakulan, bukan sekadar menghafal prosedur.

Ketiga, murid perlu memberikan justifikasi terhadap jawapan yang dipilih.

Atas sebab itu, PISA dan peperiksaan seperti SPM tidak mengukur perkara yang sama. SPM mengukur penguasaan kandungan kurikulum sehingga tamat persekolahan menengah.

PISA pula mengukur sejauh mana murid yang hampir berumur 16 tahun boleh menggunakan pengetahuan yang dimiliki pada ketika itu untuk memahami dan menyelesaikan masalah dunia sebenar.

Akhirnya, terdapat satu lagi pengajaran penting yang boleh diambil daripada perbincangan ini.

Jika kita menerima hakikat bahawa tempoh pendedahan kepada pembelajaran mempunyai pengaruh terhadap perkembangan literasi murid, maka kita juga perlu memikirkan secara serius tentang pendidikan awal kanak-kanak dan umur permulaan persekolahan.

Perbahasan mengenai kemasukan ke sekolah pada umur 5+ atau 6+ bukan sekadar soal umur. Ia juga berkaitan tempoh masa yang tersedia untuk membangunkan literasi, numerasi, kemahiran berfikir dan asas pembelajaran sebelum murid sampai ke umur yang dinilai dalam instrumen seperti PISA.

Namun apa pun pendekatannya, satu perkara perlu difahami.

Adalah satu falasi yang serius jika kita cuba menilai keseluruhan mutu atau keberhasilan sistem pendidikan hanya berdasarkan keputusan PISA semata-mata.

PISA ialah satu instrumen yang penting, tetapi ia hanyalah satu instrumen.

Untuk memahami mutu pendidikan sesebuah negara secara menyeluruh, kita juga perlu melihat pencapaian peperiksaan kebangsaan, kadar keciciran, akses pendidikan, pembangunan sahsiah, kesejahteraan murid, kemahiran pekerjaan, mobiliti sosial dan pelbagai indikator lain.

Hanya dengan melihat keseluruhan gambaran, barulah kita dapat membuat penilaian yang adil, seimbang dan berasaskan bukti terhadap sistem pendidikan sesebuah negara.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top