Saya faham kenapa isu penempatan guru selalu menjadi perhatian. Dapat surat penempatan, buka surat, tengok nama sekolah.
“Jauhnya…”
Kemudian mula fikir tentang rumah sewa, kos perjalanan, pasangan, anak-anak, ibu bapa dan macam-macam lagi. Semua itu benar. Semua itu manusiawi.
Tetapi ada satu perkara yang kadang-kadang kita terlupa. Jawatan guru diwujudkan bukan kerana kita mahu bekerja dekat dengan rumah. Jawatan guru diwujudkan kerana ada murid yang memerlukan guru.
Ini asas yang perlu kita faham sebelum kita bercakap tentang penempatan.
Guru diperlukan di seluruh negara. Ada sekolah di bandar. Ada di luar bandar. Ada di kawasan pedalaman. Ada yang jauh daripada keluarga dan jauh daripada tempat kita membesar.
Akhirnya, soal penempatan kembali kepada satu perkara, iaitu apa yang disebut, ‘keperluan perkhidmatan’.
Maksudnya, di mana guru diperlukan? Opsyen apa yang diperlukan? Berapa orang guru diperlukan? Di situlah sistem penempatan perlu bekerja.
Dalam konteks Sabah dan Sarawak, memang terdapat dasar keutamaan kepada anak negeri. Jadi tidak tepat kalau kita membina naratif bahawa anak Sabah dan Sarawak tidak diberikan keutamaan.
Bagi guru dari Semenanjung pula, tiada kuota sedemikian. Penempatan tetap bergantung kepada keperluan perkhidmatan. Dan saya fikir, di sinilah kita perlu melihat profesion perguruan dengan perspektif yang sedikit lebih luas.
Kita selalu bertanya, Kenapa saya ditempatkan jauh? Mungkin kita boleh tambah satu lagi soalan, Siapa yang sedang menunggu guru di tempat saya ditempatkan? Jawapannya, tentunya anak-anak murid.
Kerana di sebalik setiap sekolah yang jauh itu, ada murid. Ada anak yang datang ke sekolah setiap pagi. Ada anak yang sedang belajar membaca. Ada anak yang sedang mencari keyakinan.
Ada anak yang mungkin suatu hari nanti menjadi guru, doktor, jurutera, ahli akademik atau pemimpin negara. Mereka tidak boleh menunggu sehingga semua guru mendapat sekolah yang dekat dengan rumah masing-masing.
Sudah tentu sistem penempatan boleh diperbaiki. Kita boleh mencari kaedah yang lebih pintar, lebih telus dan lebih sensitif terhadap faktor keluarga, lokaliti dan kebajikan guru.
Tetapi memperbaiki sistem tidak bermaksud setiap guru mempunyai jaminan untuk mendapat sekolah yang mereka kehendaki. Kerana akhirnya, guru diperlukan di tempat murid berada.
Dan kadangkala, kita juga terlalu terpengaruh dengan cerita-cerita lama tentang kesusahan hidup di luar bandar dan pedalaman. Ya, masih ada sekolah yang berdepan kekangan. Masih ada jurang prasarana yang perlu kita tutup.
Tetapi jangan kita bayangkan keadaan hari ini sama seperti lima atau sepuluh tahun dahulu. Banyak perkara sudah berubah. Infrastruktur semakin baik. Kemudahan semakin berkembang. Akses kepada teknologi juga semakin meluas.
Belum sempurna. Masih jauh daripada tahap pembangunan yang kita mahukan.
Tetapi sudah jauh lebih baik.
Jadi, kalau kita mendapat penempatan pertama di luar bandar atau pedalaman, jangan terus melihatnya sebagai hukuman. Lihat sebagai satu peluang. Peluang untuk mengenali Malaysia dari sisi yang mungkin belum pernah kita kenali.
Peluang untuk mendidik anak-anak yang mungkin tidak mempunyai banyak pilihan. Dan peluang untuk menjadi sebahagian daripada cerita hidup seorang murid.
Hampir semua rakan-rakan saya yang mendapat penempatan jauh di Sabah dan Sarawak, setelah kita dapat kembali dan berkhidmat di semenanjung, dan di Putrajaya, masing-masing mengucapkan kesyukuran atas pengalaman yang amat bermakna dalam hidup.
Dan, Insya-Allah, kalau kita betulkan niat sejak awal, kita akan melihat pekerjaan ini dengan cara yang berbeza. Maksudnya, kita bukan sekadar mencari tempat untuk bekerja. Kita sedang mencari tempat untuk memberikan khidmat.
Kepada anak-anak di seluruh negara, khususnya mereka yang berada jauh di luar bandar dan pedalaman, masih ada guru-guru yang sedang diperlukan.
Mereka sedang menunggu. Ada yang sudah lama tidak belajar dengan guru yang beropsyen, hanya kerana tiada guru yang sepatutnya hadir melaporkan diri, tidak muncul tiba. Ya, ada…
Jadi, kalau dapat penempatan dekat, bersyukurlah. Kalau dapat penempatan jauh, bersyukur juga. Kerana di tempat yang jauh itu, ada anak-anak yang memerlukan kita.
Dan jangan lupa, masih ramai di luar sana yang sedang menunggu peluang untuk mengisi tempat kita sebagai guru. Maka pergilah dengan hati yang terbuka.
Bawa ilmu.
Bawa kasih sayang.
Bawa semangat untuk mendidik.
Niatkan perkhidmatan kita bukan sekadar untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi untuk membantu membina generasi Malaysia pada masa hadapan.
DR





