Agama Bukan Untuk Ditunggang, Tetapi Untuk Dihayati

(1)

Saya ada terbaca kenyataan Ketua Pemuda PAS yang mengatakan:

“Kalau kita orang Islam tak tunggang agama, kita nak tunggang apa? Petai? Nak tunggang apa? Kepala bapak? PAS akan terus menunggang agama dalam perjuangan kita menegakkan agama Islam di Malaysia ini.”

Terus terang saya katakan, kenyataan ini sangat mengganggu fikiran saya.

(2)

Bukan kerana saya mahu menyerang mana-mana parti politik. Tetapi kerana saya seorang pendidik.

Saya fikir kita perlu mengajar masyarakat membezakan antara menghayati agama dengan memperalatkan agama, antara memperjuangkan nilai Islam dengan menggunakan sentimen Islam untuk kepentingan politik.

(3)

Sebab itu, daripada kita terus berbalas hujah politik, saya mahu kembali kepada sirah Rasulullah SAW.

Ada tiga kisah yang sangat menarik untuk kita renungkan.

Kisah pertama, tentang peristiwa Masjid Dirar.

Allah SWT menceritakan tentang Masjid Dirar, sebuah masjid yang dibina oleh golongan munafik, maksudnya orang Islam, bersyahadah, tetapi secara politiknya tidak akur dengan pemerintahan Nabi.

(4)

Masjid Dirar ini, pada zahirnya ia rumah Allah, clearly sebuah masjid, tetapi di sebalik pembinaannya ada tujuan untuk memecah-belahkan umat dan menyokong usaha memusuhi Rasulullah SAW.

Perhatikan. Simbolnya agama. Tempatnya masjid. Namanya pun masjid.

Tetapi Rasulullah SAW melihat lebih jauh daripada label.

Ibrahnya jelas, iaitu tidak semua yang menggunakan nama agama itu perjuangan agama.

Jika agama digunakan untuk memecah-belahkan umat, membina permusuhan dan memenangkan kepentingan kelompok, kita perlu berani bertanya: agama sedang dihayati atau sedang diperalatkan?

(5)

Kisah kedua, kisah kewafatan Ibrahim, putera Rasulullah SAW.

Ketika Ibrahim meninggal dunia, berlaku gerhana matahari. Masyarakat ketika itu mengaitkan gerhana dengan kematian putera Rasulullah SAW.

Bayangkan peluang yang ada pada Rasulullah SAW untuk membiarkan persepsi itu berkembang. Baginda boleh sahaja membiarkan masyarakat menganggap alam turut berdukacita kerana kewafatan putera seorang Rasul.

(6)

Daripada aspek politik dan kemukjizatan Nabi, Nabi boleh sahaja menunggang peristiwa itu untuk kepentingan baginda.

Tetapi Baginda tidak mengambil kesempatan daripada emosi masyarakat.

Baginda membetulkan mereka.

Rasulullah SAW menjelaskan bahawa matahari dan bulan tidak gerhana kerana kematian atau kehidupan seseorang.

Nampak tak? Ketika manusia sedang emosi, Nabi tidak menunggang emosi itu. Nabi membetulkan kefahaman umat dengan kebenaran.

Inilah pemimpin Islam.

(7)

Kisah ketiga, iaitu Perjanjian Hudaibiyah.

Para sahabat sangat kecewa dengan beberapa syarat perjanjian yang kelihatan merugikan umat Islam. Antaranya, gelaran “Rasulullah” pada nama Nabi diminta dipadamkan daripada dokumen perjanjian.

Namun Rasulullah SAW memilih jalan damai. Jalan tidak popular.

Baginda tidak membakar kemarahan para sahabat. Baginda tidak menjadikan emosi umat sebagai modal untuk menunjukkan siapa paling tegas mempertahankan Islam.

(8)

Baginda melihat maslahat yang lebih besar. Apa yang kita belajar? Tuan-tuan, mempertahankan agama tidak semestinya bermaksud memilih jalan yang paling keras. Kadangkala ketegasan sebenar ialah kemampuan menahan emosi demi kebenaran dan maslahat umat.

Dalam konteks kita hari ini, apa maslahat umat Islam di bumi Malaysia, yang pelbagai etnik, budaya, agama, suku kaum ini?

(9)

Tiga kisah ini memberikan pengajaran yang sangat besar.

Mana ada Nabi menunggang agama? Sebaliknya, Nabi mengajar umat.

Nabi membetulkan umat apabila mereka tersilap memahami gerhana. Nabi menolak penggunaan agama untuk memecah-belahkan umat melalui Masjid Dirar. Nabi menenangkan umat ketika mereka kecewa di Hudaibiyah.

Baginda tidak mengeksploitasi agama untuk kepentingan dirinya.

Baginda tidak menggunakan ketakutan masyarakat sebagai modal.

Baginda tidak menjadikan setiap perbezaan sebagai peperangan antara “orang Islam” dengan “musuh Islam”.

Baginda mendidik manusia supaya mengenal Allah dan hidup berdasarkan kebenaran, keadilan dan akhlak.

(10)

Sebab itu, apabila ada pemimpin politik muda parti agama mengatakan bahawa agama memang perlu ditunggang, saya kira kita perlu bertanya dengan serius, Adakah itu benar-benar cara Rasulullah SAW membawa agama?

Pada fikiran saya, Islam bukan kuda tunggangan politik. Islam bukan alat kempen. Islam bukan modal pilihan raya. Islam bukan milik mana-mana parti.

(11)

Sebagai pendidik, saya lebih suka mengajar umat supaya menghayati agama, bukan menunggang agama.

Kerana umat yang berilmu tidak mudah ditunggang.

Dan umat yang benar-benar memahami sirah Rasulullah SAW akan tahu bahawa kekuatan Islam bukan pada sejauh mana kita mampu menggunakan agama untuk kepentingan kita, tetapi sejauh mana kita sanggup tunduk kepada nilai yang diajarkan agama.

(12)

Nampak tak? Mana ada Nabi menunggang agama. Nabi mengajar umat. Nabi mendidik umat. Nabi menunjukkan bagaimana agama itu dihayati.

Inilah pemimpin Islam.

Kepada Allah kita berserah.

Semoga Allah menyelamatkan umat Islam kita hari ini daripada penunggang agama.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top