DUNIA KERJA GURU PERLU BERUBAH
(1)
Dalam Siri 1, kita melihat perubahan struktur umur guru yang agak besar. Pada 2015, 51.6% guru KPM berumur bawah 40 tahun. Hari ini, angka itu tinggal 34.7%. Sebaliknya, guru berumur 40 tahun ke atas meningkat daripada 48.4% kepada 65.3%.
Dalam Siri 2, kita bertanya tentang kapasiti.
Kali ini, saya mahu membawa persoalan itu satu langkah lagi. Kalau tenaga kerja sepuluh tahun lalu dan kini telah berubah, tidakkah dunia kerja guru juga perlu berubah? Sekurang-kurangnya untuk sepuluh tahun ke hadapan?
(2)
Mungkin ada cara kerja yang sesuai ketika separuh daripada tenaga guru masih berumur bawah 40 tahun. Hari ini, keadaannya sudah berbeza.
Kita mempunyai tenaga guru yang semakin matang dari segi usia dan pengalaman. Ini bukan masalah. Malah, ia satu aset.
Tetapi kita tidak boleh mengharapkan tenaga kerja yang sudah berubah ini terus bekerja dengan reka bentuk kerja yang sama seperti dahulu.
Bukan guru yang perlu dipaksa menyesuaikan diri dengan sistem semata-mata. Sistem kerja juga perlu menyesuaikan diri dengan guru.
(3)
Kerja guru hari ini juga semakin kompleks. Sudah tentu mengajar dalam bilik darjah masih menjadi tugas utama.
Tetapi di sekelilingnya ada pentaksiran, dokumentasi, data, intervensi murid, komunikasi dengan ibu bapa, program sekolah, pelaporan dan pelbagai keperluan digital.
Kemudian, kita ingat lagi, datangnya COVID-19 pada 2020 & 2021. Dalam tempoh yang singkat, guru terpaksa menguasai platform dalam talian, bahan digital dan aplikasi komunikasi. Kita sebut perubahan itu sebagai norma baharu.
Dan sekarang pula AI.
Dunia kerja guru sepatutnya berubah lagi dengan pantas.
Namun, persoalannya, adakah reka bentuk kerja guru berubah pada kadar yang sama? Ingat, umur median guru juga telah berubah sepenuhnya.
(4)
Satu lagi yang berbeza, antara sepuluh tahun lalu dan sekarang, saya juga melihat perubahan besar pada cara guru bersuara.
Dahulu, suara guru banyak kekal di bilik darjah, bilik guru, mesyuarat, persatuan atau seminar. Hari ini kita hidup dalam dunia amplifier yang sangat besar. Kita hidup dalam dunia digital, lebih tepat bersosial media.
Satu hantaran boleh sampai kepada ribuan orang. Satu video boleh menjadi viral. Satu komen boleh membentuk persepsi.
Dan bukan guru sahaja yang bercakap tentang pendidikan. Ya, ada guru yang masih dalam sistem.
Namun, kita melihat juga ada guru yang sudah bersara, ada pensyarah universiti, pesara pensyarah pun ada. Ada penyelidik, ada Selebriti, ada pempengaruh, dan tidak lupa, ada ahli politik yang berkepentingan.
Semua mereka ini mempunyai pandangan. Semua mempunyai pengaruh.
(5)
Sejujurnya, saya tidak melihat perkara ini sebagai sesuatu yang buruk. Pada pandangan saya, pendidikan memang wajar dibincangkan oleh masyarakat.
Guru juga memang patut bersuara. Kalau ada perkara yang tidak kena, bersuaralah. Kalau ada dasar yang perlu diperbaiki, Kritiklah. Kalau ada beban yang tidak munasabah, nyatakan.
Tetapi dalam dunia amplifier yang besar ini, suara yang kuat datang bersama tanggungjawab yang lebih besar. Macam Uncle Ben, pakcik Spiderman cakap, With Great Power, comes with great responsibility. Dalam konteks pendidikan, power itu termasuklah capaian luas ke serata alam digital.
Dan, guru boleh lantang. Tetapi biarlah lantang dengan ilmu. Suara dengan data. Cadang dengan solusi.
(6)
Dan di sinilah guru yang lebih berpengalaman mempunyai peranan yang sangat besar.
Saya tidak boleh mengatakan guru senior lebih emosional, lebih sensitif atau kurang digital hanya kerana umur. Tidak ada asas untuk membuat kesimpulan begitu.
Tetapi kita boleh melihat satu perkara yang nyata, saya tekankan sekali lagi, 65.3% guru kita kini berumur 40 tahun ke atas.
Kelompok yang lebih matang ini mempunyai sesuatu yang sangat berharga, iaitu pengalaman.
Puluhan tahun pengalaman di bilik darjah. Pengalaman mengurus murid.
Pengalaman berdepan ibu bapa.
Pengalaman menghadapi perubahan dasar.
Pengalaman mengetahui apa yang berlaku apabila sesuatu dasar diterjemahkan ke sekolah.
(7)
Sebab itu, apabila guru yang berpengalaman bersuara di media sosial, kita berharap pengalaman itu hadir bersama kematangan, bukan sekadar kekecewaan, atau rengekan atau pesimisme berpanjangan.
Ada kalanya kita melihat guru yang sangat lantang.
Bagus.
Ada kalanya sangat berani.
Bagus juga.
Tetapi kadangkala… over sedikit. Kadangkala gaya dan laras bahasanya amat mengecewakan juga…
Kita faham.
Namun, apabila kita sudah mempunyai amplifier yang boleh mencapai ribuan orang, setiap perkataan membawa kesan.
Lebih-lebih lagi apabila datang daripada seorang guru yang sudah lama dalam profesion.
Senioriti bukan sekadar tempoh perkhidmatan. Ia datang bersama tanggungjawab menjadi teladan.
(8)
Pada masa yang sama, kita juga perlu berhati-hati dengan pengaruh luar. Tidak salah mendengar guru yang sudah bersara, pensyarah, penyelidik, selebriti atau pempengaruh.
Tetapi guru yang masih berada dalam sistem juga perlu bertanya…
Pandangan ini berdasarkan apa?
Pengalaman?
Kajian?
Data?
Atau sekadar sesuatu yang sedang viral?
Kerana dalam dunia media sosial, yang paling banyak views tidak semestinya paling banyak ilmu.
(9)
Di sinilah kita boleh melihat kekuatan antara generasi.
Maksudnya, guru yang lebih berpengalaman mempunyai modal profesional yang besar.
Guru yang lebih muda pula mungkin lebih dekat dengan teknologi, dunia digital dan cara kerja baharu.
Kita tidak perlu memilih antara kedua-duanya. Kita gabungkan kekuatan mereka. Pengalaman ditambah teknologi, maka kita ada kapasiti profesion yang lebih kuat.
Tetapi untuk itu berlaku, reka bentuk kerja harian juga perlu berubah. Ini yang saya tegaskan. Guru senior perlu mempunyai ruang untuk membimbing. Guru muda perlu mempunyai ruang untuk belajar.
Pengalaman perlu dipindahkan. Teknologi perlu dikongsi. Dan, akhirnya, masa guru perlu digunakan untuk perkara yang benar-benar memberi nilai kepada murid. Inilah komited KPM yang kita suratkan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035, pada nisbah 80:20.
(10)
Kita juga jangan lupa, KPM telah melaksanakan pelbagai usaha untuk mengurangkan beban guru, memperkemas tugas dan menggunakan teknologi.
Tetapi dunia berubah lebih pantas daripada sebelumnya. Jauhhhhh lebih pantas! Maka kita tidak boleh bersikap business as usual.
Bukan kerana sistem gagal. Tetapi kerana konteksnya sudah berubah. Struktur umur berubah. Teknologi berubah. Murid berubah. Ibu bapa berubah. Cara masyarakat mendapatkan maklumat berubah. Dan cara guru bekerja juga berubah.
(11)
Jadi, persoalan kita bukan lagi, Kenapa guru semakin berusia? Kita sudah tahu jawapannya. Persoalan kita ialah, Kalau 65.3% guru kini berumur 40 tahun ke atas, bagaimana kita mahu mereka bekerja dengan lebih baik dalam dunia yang juga sudah berubah?
Bagaimana pengalaman mereka boleh menjadi mentor?
Bagaimana mereka boleh menjadi teladan?
Bagaimana guru muda boleh membawa kekuatan digital?
Bagaimana AI boleh mengembalikan masa kepada guru?
Bagaimana suara guru boleh menjadi lebih berpengaruh tanpa kehilangan profesionalisme?
Make sense, kan?
Saya tegaskan juga, ini bukan soal guru senior lawan guru muda. Ini soal mereka bentuk semula dunia kerja guru berdasarkan realiti tenaga kerja hari ini.
(12)
Saya tidak mahu guru berhenti bersuara. Teruskan bersuara. Lantang pun tidak mengapa. Kritik pun tidak mengapa. Berbeza pandangan pun tidak mengapa. Tetapi gunakan amplifier itu dengan bertanggungjawab. Kita tahu batas-batas profesional kita.
Jangan hanya beritahu apa yang salah. Beritahu juga bagaimana hendak membetulkannya. Guru berpengalaman sepatutnya lebih jelas tentang realiti dan cabaran ekonomi negara, realiti dan cabaran pendidikan negara, realiti dan cabaran mendidik dalam negara majmuk seperti Malaysia.
Sebab itu, saya masih berpegang kepada Jangan hanya kritik. Cadangkan solusi. Solusi dari bilik darjah. Solusi untuk kepentingan pendidikan negara.
(13)
Dan kepada guru yang lebih berpengalaman, dunia sedang melihat. Pengalaman kita bukan sekadar untuk diceritakan. Ia untuk diteladankan dan dipindahkan.
Kerana akhirnya, persoalannya bukan bagaimana kita membuat guru menyesuaikan diri dengan dunia yang berubah.
Persoalannya ialah, Bagaimana kita mereka bentuk dunia kerja guru supaya guru boleh terus mendidik dengan baik dalam dunia yang sudah berubah?
DR
Siri ke-4 akan kita terus kupas perkara ini.





