(1)
Ada sebuah filem Melayu lama yang saya fikir menarik untuk kita tonton semula.
Bukan kerana kita mahu kembali kepada nostalgia filem Melayu zaman dahulu semata-mata. Tetapi kerana ada adegan tertentu dalam filem itu yang, apabila kita dengar hari ini, terasa begitu dekat dengan kehidupan politik kita.
Filem itu ialah Hang Tuah, terbitan Malay Film Productions pada tahun 1956, arahan Phani Majumdar, dengan P. Ramlee sebagai Hang Tuah.
(2)
Menariknya, filem ini muncul hanya setahun sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Ketika sebuah bangsa sedang bersiap untuk membebaskan dirinya daripada penjajahan, kisah seorang pahlawan Melayu yang setia kepada raja, tanah air dan amanah sedang dipersembahkan kepada masyarakat melalui layar perak.
Kisah ini merupakan adaptasi daripada tradisi Hikayat Hang Tuah, sebuah karya besar kesusasteraan Melayu yang telah berabad-abad menjadi sebahagian daripada ingatan dan imaginasi bangsa kita.
(3)
Dalam cerita itu, Hang Tuah bukan sekadar seorang pendekar. Dia ialah hulubalang yang gagah, setia, berani, sangat berjasa, dan yang paling penting, dia mendapat kepercayaan baginda Sultan.
Tetapi begitulah dunia kuasa.
Kadangkala, apabila seseorang terlalu dipercayai, ada yang mula berasa tidak selesa.
(4)
Dalam filem ini, Tun Ali dan Patih Karma Wijaya digambarkan sebagai antara mereka yang tidak senang dengan kedudukan Hang Tuah.
Maka bermulalah sebuah permainan. Bukan dengan pedang atau perang. Tetapi dengan fitnah.
Ada satu adegan yang sangat menarik, digambarkan dalam filem ini.
Tun Ali:
“Hang Tuah sentiasa berjasa. Satu salah pun tiada.”
Patih Karma Wijaya menjawab:
“Kalau tiada salahnya, kita ada-adakan salahnya.”
Tun Ali bertanya:
“Bagaimana?”
Jawab Patih:
“Tetapi biar yang munasabah. Supaya Tuanku Sultan pun percaya.”
(5)
Berhenti sekejap. Baca perlahan-lahan.
“Kalau tiada salahnya, kita ada-adakan salahnya.”
Itu dialog sebuah filem.
Bukan catatan sejarah bahawa perbualan itu benar-benar berlaku. Tetapi kadangkala sebuah filem boleh mengatakan sesuatu tentang manusia dengan begitu tepat sehingga kita sendiri terdiam.
(6)
Kerana fitnah tidak semestinya perlu menjadi cerita yang terlalu besar.
Cukup sesuatu yang munasabah. Cukup ada sedikit keraguan. Cukup diulang berkali-kali.
Lama-lama orang tidak lagi bertanya, “Benarkah dia bersalah?”
Sebaliknya mereka mula bertanya, “Mungkinkah dia bersalah?”
Dan apabila keraguan sudah berjaya ditanam, seseorang yang tidak bersalah pun boleh kelihatan bersalah. ![]()
Itulah permainan yang paling berbahaya.
(7)
Dalam cerita ini, seperti mana dalam Riwayat yang kita baca, akibat fitnah tersebut, Hang Tuah akhirnya dijatuhi hukuman bunuh oleh Sultan.
Tetapi, ada plot twist yang menarik. Hukuman itu tidak dilaksanakan. Bendahara menyelamatkan Hang Tuah dan menyembunyikannya.
Kemudian, Hang Jebat pula menyangka sahabatnya telah dibunuh.
(8)
Maka lahirlah pula satu lagi babak besar dalam kisah Melayu kita, tentang Hang Jebat, tentang kesetiaan, tentang keadilan dan tentang persoalan yang sampai hari ini masih kita perdebatkan:
Siapakah yang sebenarnya setia?
Tetapi kisah Hang Tuah dihukum bunuh dan kisah kebangkitan Hang Jebat itu kita wacanakan dalam hantaran yang lain.
Kali ini, saya mahu kita berhenti pada satu perkara sahaja.
Fitnah.
(9)
Ya, ini wayang.
Ya, ini adaptasi daripada Hikayat Hang Tuah.
Tetapi bukankah kadangkala wayang yang dibuat lebih 70 tahun lalu mampu membuat kita melihat cermin diri kita sendiri? Apatah lagi, hikayat ini tersimpan kemas dalam kitab sejarah terkenal bangsa Melayu.
(10)
Tuan-tuan,
Hari ini kita tidak lagi hidup di istana Melaka. Kita hidup dalam sebuah negara merdeka. Kita mempunyai Perlembagaan. Undang-undang. Institusi. Parlimen. Pilihan raya. Dan rakyat yang mempunyai hak untuk menentukan masa depan negara.
Kita boleh berbeza politik.
Kita boleh berbeza parti.
Kita boleh berbeza pandangan.
Itu bukan masalah.
Yang menjadi masalah apabila kebenaran tidak lagi penting, asalkan cerita yang kita mahu dipercayai dapat dipercayai orang.
(11)
Bersempena Hari Kebangsaan ke-69, mungkin inilah antara perkara yang perlu kita renungkan.
Kita merdeka bukan sekadar untuk mengibarkan Jalur Gemilang.
Kita merdeka untuk membina sebuah negara yang lebih baik daripada sebelumnya.
Negara yang menolak rasuah.
Negara yang tidak meraikan budaya sakau.
Negara yang tidak menjadikan fitnah sebagai senjata politik.
Negara yang menghukum yang bersalah berdasarkan bukti, bukan mencipta kesalahan untuk menjatuhkan seseorang.
Dan yang paling penting, negara yang akhirnya meletakkan rakyat mengatasi kepentingan politik kelompok.
(12)
Kita boleh berbeza. Tetapi jangan sampai perbezaan membuat kita lupa bahawa kita sedang membina negara yang sama.
69 tahun merdeka.
Tugas kita belum selesai.
Kita mahu sebuah Malaysia yang lebih adil, lebih makmur, lebih berintegriti dan lebih sejahtera.
Kita mahu Negara MADANI yang bukan sekadar indah pada nama, tetapi terasa manfaatnya dalam kehidupan rakyat.
(13)
Kerana akhirnya, ukuran sebuah kerajaan bukan berapa banyak musuh politiknya yang berjaya dijatuhkan.
Ukuran sebenar ialah berapa ramai rakyat yang berjaya disejahterakan.
Membina Negara MADANI.
Mensejahterakan rakyat.
Memperkukuh perpaduan.
Dan memastikan Malaysia terus menang.
DR
Selamat Hari Kebangsaan ke-69





