(1)
Beberapa hari lalu saya membaca tulisan rakan saya, Ustaz Kharizal Adzemy, tentang satu perkara yang menarik perhatian saya, guru semakin menua.
Saya baca.
Kemudian saya mula menggali semula data KPM. Saya bandingkan 2015, 2020 dan 2025.
Dan saya terhenti pada satu perkara.
Jumlah guru kita tidak berubah banyak. Tetapi umur guru kita yang berubah.
(2)
Pada 2015, guru berumur 40 tahun ke atas membentuk sekitar 48.5% tenaga guru. Pada 2025, angka itu sudah menjadi 65.3%. Daripada belum separuh, kini hampir dua pertiga!
Guru berumur 50 tahun ke atas pula meningkat daripada 16.3% kepada 26.8%. Sebaliknya, guru 30–39 tahun turun daripada 38.8% kepada 24.8%.
Ini bukan perubahan kecil.
(3)
Dengan kata lain, dalam tempoh sepuluh tahun, kita bukan sekadar mempunyai guru yang sama dalam jumlah yang hampir sama. Sebenarnya, kita mempunyai struktur tenaga guru yang berbeza.
Dan bagi saya, inilah angka yang patut kita fikirkan.
Bukan untuk mengatakan guru senior tidak bagus.
Jauh sekali.
Ada guru berumur 55 tahun yang mengajar jauh lebih baik daripada guru berumur 30 tahun.
Pengalaman 20, 25 atau 30 tahun bukan sesuatu yang boleh digantikan dengan kursus tiga hari.
(4)
Guru senior mempunyai pengalaman membaca murid, memahami budaya sekolah, mengurus ibu bapa, menangani kelas dan memahami selok-belok sistem.
Itulah professional capital yang sangat mahal nilainya.
Jadi jangan salah faham.
Umur bukan ukuran kompetensi.
Tetapi umur ialah salah satu pemboleh ubah yang perlu kita lihat apabila kita merancang tenaga kerja untuk sepuluh tahun akan datang. Ini yang saya fikirkan.
(5)
Lebih-lebih lagi apabila guru tipikal kita juga semakin matang dari segi umur. Maksudnya, masuk sekolah, secara amnya, 65% kebarangkalian, kita akan jumpa guru berusia 40 tahun ke atas.
Anggaran median umur guru meningkat daripada sekitar 39 tahun pada 2015 kepada 43 tahun pada 2025.
(6)
Saya semak data OECD. Malaysia pula bukanlah negara yang mempunyai guru paling tua.
TALIS 2024 meletakkan purata umur guru OECD sekitar 45 tahun, manakala Singapura sekitar 42 tahun. Jadi tidak perlu kita panik, “Guru Malaysia sudah terlalu tua!”
Tidak.
Belum lagi…
Tetapi kita juga tidak boleh menutup mata.
Guru Malaysia sedang menua.
(7)
Dan saya nak bawa perhatian, bahawa umur yang sama tidak semestinya bermaksud kapasiti yang sama.
Maksudnya, guru berumur 42 tahun di Singapura bekerja dalam ekosistem yang berbeza daripada guru berumur 42 tahun di Malaysia.
Saiz kelas, kompleksiti murid, MBK dalam kelas arus perdana, sekolah dua sesi, prasarana, sokongan profesional dan tuntutan ibu bapa semuanya membentuk pengalaman pekerjaan. Konteks Singapura tidak sama dengan konteks di Malaysia.
(8)
Sebab itu saya tidak mahu kita hanya membandingkan umur. Kita perlu melihat umur bersama konteks pekerjaan.
Tetapi ketika saya menggali perkara ini, saya menemukan satu lagi data yang lebih membuat saya berfikir. Saya fikir keperluan untuk dikongsikan. Artikel ini dikeluarkan dalam journal 2025.
Satu kajian kohort melibatkan 14,046 guru sekolah di Semenanjung Malaysia dan menjejaki mereka sehingga 2021. Daripada jumlah itu, 209 guru mengalami kejadian penyakit kardiovaskular baharu.
(9)
Kadar mengikut umur menunjukkan perbezaan yang sangat ketara:
30–39 tahun: 478.7 bagi setiap 100,000
40–49 tahun: 1,824.1
50–59 tahun: 3,583.5
Berikan perhatian, daripada 478.7 kepada 3,583.5.
Itu adalah kenaikan lebih kurang 7.5 kali ganda.
Sekali lagi, saya tidak mahu membuat kesimpulan mudah.
(10)
Ini bukan bermaksud guru berumur 50 tahun tidak mampu bekerja.
Bukan.
Ini juga bukan bermaksud umur menyebabkan guru terbeban.
Data ini tidak membuktikan causal seperti itu.
Tetapi ia mengingatkan kita kepada sesuatu yang mungkin selama ini kurang kita fikirkan.
(11)
Headcount tidak semestinya sama dengan capacity. Seratus orang guru tidak semestinya mempunyai seratus unit kapasiti yang sama.
Ada guru muda. Ada guru yang berada pada kemuncak pengalaman dan tenaga.
Jadi, apa yang kita boleh belajar? Ada guru senior yang mempunyai ilmu luar biasa tetapi mungkin memerlukan reka bentuk kerja yang berbeza pada fasa tertentu dalam kerjaya?
Dan inilah persoalan yang saya rasa semakin penting.
(12)
Selama ini kita banyak bertanya, “Berapa ramai guru yang kita ada?” Mungkin selepas ini kita perlu bertanya, “Berapa besar kapasiti tenaga guru yang sebenarnya kita ada?”
Isunya, yang saya nampak ialah KAPASITI.
(13)
Saya belum mempunyai semua jawapan. Dan saya tidak mahu membuat kesimpulan sebelum data mencukupi.
Tetapi angka ini sudah cukup untuk membuat saya bertanya, mengapa guru hari ini terasa berbeza daripada sepuluh tahun lalu?
Lebih lantang.
Lebih terbuka.
Lebih aktif di media sosial.
Lebih berani bercakap tentang beban tugas.
Kadang-kadang lebih “daring”.
Adakah kerana guru berubah?
Adakah kerana dunia berubah?
Atau kerana kedua-duanya berlaku serentak?
Atau faktor umur memang berperanan penting dalam kapasiti keguruan?
Saya tidak tahu.
(14)
Tetapi saya rasa persoalan itu wajar kita gali.
Sebab selepas melihat angka umur ini, saya menemukan satu lagi perubahan besar yang berlaku dalam dunia pendidikan kita, terutama selepas COVID-19, selepas era kita semua mengalami PdPr, persekolahan di rumah selama dua tahun, malah antara yang paling lama di dunia.
Digitalisasi bergerak lebih agresif.
Media sosial menjadi semakin kuat.
Muncul pempengaruh pendidikan.
(15)
Algoritma mula mempengaruhi apa yang kita baca dan percaya. Dan sekarang AI pula masuk ke dalam pekerjaan guru. Mungkin di situlah cerita kita menjadi lebih menarik.
Guru Malaysia bukan sahaja sedang menua. Mereka sedang menua dalam dunia pendidikan yang berubah jauh lebih pantas daripada sepuluh tahun lalu.
DR
Bersambung dalam Siri 2: Bukan soal umur. Tetapi soal kapasiti.





