Kisah Abdul Rahman bin Muljam

(1)

Setiap kali nama itu disebut, jangan hanya ingat dia sebagai pembunuh Saidina Ali karamallahu wajhah. Lihatlah siapa dirinya sebelum itu.

Dia bukan musuh Islam.

Dia bukan penyembah berhala.

Dia bukan orang yang hidup bergelumang maksiat.

Dia seorang penghafaz al-Quran. Seorang yang kuat beribadah. Pernah diberikan amanah untuk mengajarkan al-Quran kepada masyarakat. Pada awalnya, beliau juga berada di pihak Saidina Ali RA.

(2)

Tetapi sejarah tidak berubah kerana kurangnya ibadah. Sejarah berubah apabila kefahaman mula tersasar.

Apabila taksub mengatasi hikmah.

Apabila semangat mengatasi ilmu.

Apabila manusia mula merasakan bahawa hanya kelompoknya memiliki seluruh kebenaran.

Daripada situlah lahirnya Khawarij. Daripada situlah lahirnya kebencian sesama Muslim. Dan akhirnya, daripada situlah lahir satu peristiwa yang mengubah sejarah umat Islam buat selama-lamanya.

(3)

Pedang yang mengakhiri hayat Saidina Ali RA bukan dihayunkan oleh musuh Islam.

Ia dihayunkan oleh seorang yang menyangka dirinya sedang mempertahankan agama.

Ironinya, selepas kewafatan Saidina Ali RA, berakhirlah era Khulafa’ al-Rasyidin. Satu zaman yang menjadi contoh terbaik pemerintahan Islam akhirnya ditutup dengan pertumpahan darah sesama umat Islam.

Betapa mahalnya harga yang terpaksa dibayar apabila agama ditafsir melalui ketaksuban, bukan melalui hikmah.

(4)

Saya tidak menulis semua ini untuk mengatakan orang agama itu salah. Sama sekali tidak.

Ulama ialah pewaris para nabi. Mereka mesti dihormati. Mereka mesti dimuliakan. Tanpa mereka, umat akan kehilangan panduan.

Tetapi menghormati ulama tidak pernah bererti menganggap setiap pandangan mereka pasti benar. Mengasihi guru tidak bermaksud kita membina ketaksuban terhadap guru.

(5)

Dalam tradisi keilmuan Islam sendiri, para imam besar saling berhujah, saling menegur dan saling mendoakan. Tidak ada seorang pun yang mendakwa dirinya maksum.

Yang maksum hanyalah Rasulullah SAW.

(6)

Sebab itulah apabila timbul kekeliruan, apabila kita melihat agama dijadikan hujah untuk menghalalkan kebencian, memecahbelahkan umat atau menanam permusuhan yang berpanjangan, jangan terus menyerahkan akal kepada sesiapa.

(7)

Kembalilah kepada neraca yang Allah sendiri tetapkan.

“Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (as-Sunnah), jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (Surah al-Nisa’: 59)

Ayat ini tidak menyuruh kita kembali kepada tokoh tertentu. Tidak juga kepada parti tertentu. Tidak kepada kelompok tertentu.

Allah menyuruh kita kembali kepada Allah dan Rasul-Nya.

(8)

Itulah sebabnya sejarah Ibnu Muljam sangat penting untuk direnungi. Ia mengajar kita bahawa seseorang boleh kelihatan sangat dekat dengan agama, tetapi tetap tersasar apabila kefahamannya menyimpang.

Dan apabila orang yang tersasar itu pula mempunyai pengaruh, kesannya bukan sekadar kepada dirinya, tetapi mampu memecahkan sebuah umat.

(9)

Mudah-mudahan Allah memelihara kita daripada ketaksuban yang membutakan mata hati. Semoga Allah mengurniakan kepada kita keberanian untuk menerima kebenaran, walaupun datang daripada orang yang kita tidak kenal, dan kerendahan hati untuk menolak kesilapan, walaupun datang daripada orang yang kita sangat hormati.

(10)

Kerana akhirnya, kesetiaan seorang Muslim bukan kepada mana-mana manusia. Jauh sekali parti politik waima memakai jenama agama sekalipun.

Kesetiaan kita yang mutlak hanyalah kepada Allah dan Rasul-Nya.

… Apa yang kita belajar?

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top