Apabila kita bercakap tentang pendidikan, kita sering dan suka sekali bertanya, berapa ramai murid lulus? Berapa tinggi skor Matematik? Bagaimana kedudukan Malaysia dalam PISA2025?
Tetapi, sebenarnya ada satu soalan yang sama penting, dan saya fikir, mungkin lebih asas, iaitu adakah murid kita benar-benar sejahtera di sekolah?
Dapatan PISA 2025 yang hangat diwacanakan itu, memberikan kita beberapa petunjuk yang wajar direnungkan. Sambil tidak mengecilkan dapatan bagi domain Sains, Matematik dan Bacaan, petunjuk bagi elemen kesejahteraan wajar kita teliti bersama.
Pertama, isu buli masih serius. Sebanyak 27% murid Malaysia melaporkan bahawa mereka pernah mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk buli beberapa kali sebulan. Angka ini lebih tinggi daripada purata OECD sebanyak 20%.
Buli bukan sekadar masalah disiplin. OECD mendapati pengalaman dibuli berkait dengan pencapaian akademik yang lebih rendah dan rasa belonging yang lebih lemah.
Kedua, kita berhadapan dengan bentuk buli yang semakin sukar dilihat, iaitu cyberbullying. Di Malaysia, 5% murid melaporkan maklumat yang mengganggu tentang diri mereka dikongsi dalam talian tanpa kebenaran sekurang-kurangnya beberapa kali sebulan, berbanding 3% secara purata dalam OECD.
Yang lebih membimbangkan, murid Malaysia yang mengalami bentuk cyberbullying ini mencatatkan purata 40 mata lebih rendah dalam Sains berbanding mereka yang tidak melaporkannya.
Ini menunjukkan bahawa keselamatan murid tidak lagi berhenti di pintu pagar sekolah. Apa yang berlaku dalam WhatsApp, TikTok, Instagram atau ruang digital lain boleh dibawa masuk ke dalam kelas pada keesokan harinya. Murid mungkin duduk diam di hadapan guru, tetapi fikirannya masih bergelut dengan apa yang berlaku di telefon malam sebelumnya.
Ketiga, kita perlu melihat rasa belonging. Menariknya, 78.2% murid Malaysia melaporkan mereka berasa tergolong (sense of belonging) di sekolah, sedikit lebih tinggi daripada purata OECD 76.2%.
Sebanyak 85.5% pula mengatakan mereka mudah mendapat kawan. Ini adalah sisi positif yang tidak boleh kita abaikan. Namun hanya 64.9% bersetuju bahawa rakan sebaya mereka menyukai mereka, berbanding 83.1% OECD.
Angka ini mengingatkan kita bahawa “datang ke sekolah” dan “merasa diterima di sekolah” ialah dua perkara yang berbeza. Seorang murid boleh hadir setiap hari, mempunyai ramai kenalan, tetapi masih berasa tersisih.
Keempat, rasa selamat di sekolah perlu terus menjadi perhatian. OECD mendapati keselamatan dan iklim sekolah mempunyai hubungan dengan pembelajaran.
Pada masa yang sama, dapatan PISA menunjukkan hubungan yang lebih kompleks antara keselamatan, buli dan kesejahteraan. Maka kita tidak boleh mengukur kesejahteraan hanya melalui satu indikator.
Sekolah yang sejahtera perlu menjadi tempat murid berasa selamat secara fizikal, sosial dan emosi.
Kelima, ponteng juga merupakan satu isyarat yang perlu kita fahami, bukan sekadar dihukum. Pada 2025, 12% murid Malaysia melaporkan tidak hadir ke sekolah sekurang-kurangnya satu hari dalam tempoh dua minggu sebelum pentaksiran, 16% pernah ponteng kelas dan 42% datang lewat.
Angka ini masih lebih rendah daripada purata OECD, masing-masing 22%, 24% dan 50%. Tetapi ketiga-tiga indikator tersebut meningkat berbanding Malaysia pada 2022.
Mengapa murid semakin lewat? Mengapa mereka tidak hadir? Mengapa mereka memilih untuk keluar daripada kelas?
Kita tidak seharusnya terus memberikan label malas. PISA sendiri menunjukkan hubungan antara ponteng dengan prestasi, tetapi hubungan itu tidak membuktikan satu sebab tunggal.
Murid yang sudah menghadapi kesukaran akademik mungkin lebih cenderung menjauh daripada sekolah, dan pada masa yang sama ketidakhadiran boleh menyebabkan mereka semakin ketinggalan.
Jadi, murid kita sejahtera?
Sebahagiannya ya. Data menunjukkan banyak kekuatan yang kita ada. Tetapi terdapat juga tanda amaran yang tidak boleh kita abaikan.
Mungkin ukuran sebenar sekolah yang baik bukan hanya berapa tinggi markah muridnya.
Tetapi berapa ramai murid yang selamat, hadir, diterima, tidak takut untuk meminta bantuan dan masih mahu datang ke sekolah esok.
Kerana sebelum kita bertanya bagaimana hendak menjadikan murid lebih cemerlang, kita perlu memastikan mereka terlebih dahulu sejahtera untuk belajar.
Soalan seterusnya, cikgu kita pula… sejahtera?
DR





